Tuesday, August 23, 2011

KHUSUK & LALAI KETIKA SOLAT..."


KHUSU' & LALAI KETIKA SOLAT - HANYA SATU PERBINCANGAN ..oleh Fakirabdillah.

PRAKATA.

Allah mewajibkan kita sembahyang atau solah lima waktu sehari semalam. Yang menentukan waktu itu ialah Allah, dan Bilal telah diarahkan untuk melaungkan Azan bagi menandakan masuknya waktu itu, dengan seruan Hai Ya Alas-solah yang bermaksud Marilah Sembahyang, Marilah Sembahyang.

Allah juga mengajar kita menjawab seruan itu dengan ucapan yang disebut sebagai HAUQALAH yaitu LA HAULAWALA QUWWATA-ILLAH-BILLAH yang bermaksud TIADA DAYA UPAYA dan KEHENDAK ( kita sebagai manusia ) MELAINKAN DENGAN DAYA UPAYA dan KEHENDAK ALLAH. ( untuk mendirikan sembahyang itu )


DAYA UPAYA bagi Allah ialah SIFAT QUDRATNYA manakala KEHENDAK pula ialah SIFAT IRADATNYA. Bila anda menjawab seruan Bilal itu anda sebenarnya MENGAKUI dan BERIMAN bahawa anda sebenarnya tiada langsung mempunyai Daya Upaya dan Kehendak. Daya Upaya dan Kehendak ini adalah SIFAT Allah bukannya Sifat anda.


Pengakuan ini hendaklah anda teruskan dan akui ketika anda berwudhu’ hinggalah keakhir sembahyang yaitu ketika memberi salam. Yang terbaik ialah itulah Amalan dan Tauhid anda sepanjang hidup anda yaitu mengakui Yang Berkuasa dan Berkehendak itu ialah Allah semata-mata. Anda TIADA Kehendak dan Daya Upaya.


Jika ini ( pengakuan tadi ) anda tidak lakukan ketika anda berwudhu dan ketika anda sembahyang, maka anda pasti akan mengalami gangguan berupa lintasan fikiran didalam sembahyang anda. Untuk menjiwai perkara ini maka anda perlulah memahami akan perkara Daya Upaya dan Kehendak ini Maka cubalah fahamkan dengan membaca huraian huraian berkaitannya didalam Risalah Kecil ini.


KENYATAAN ALLAH BERKAITAN SOLAT


Allah Berfirman didalam Al-Quran Yang Bermaksud :-

a. CELAKALAH bagi orang orang yang LALAI didalam solatnya dan NERAKA WAIL-lah tempatnya.

b. Sesungguhnya SOLAT itu AMAT BERAT SEKALI bagi orang yang mengerti.

Maka adalah amat perlu kita memahami akan pengertian dua perkataan yaitu LALAI dan KHUSU’ ( lawan lalai ) dan maksud Allah dalam kalimah AMAT BERAT sekali dan maksud orang yang mengerti itu.

MAKSUD LALAI.


Dari segi bahasa LALAI maksudnya CUAI. Cuai pula menghasilkan KESALAHAN . Biasanya KECUAIAN berlaku akibat perkara seperti disebutkan dibawah :-

a. Melakukan sesuatu perkara tanpa ILMU atau tanpa ada kefahamam yang sebenarnya berkaitan dengan apa yang dilakukan itu,

b. Melakukan sesuatu perkara tanpa memberi tumpuan atau perhatian yang sepenuhnya, atau melakukan sesuatu dengan sambil lewa sahaja

c. Menyatakan atau mengungkapkan percakapan percakapan atau sebutan sebutan tanpa faham akan apa yang diucapkan atau yang disebutkan itu, atau memahami akan ma’ana apa yang dicakapkan dan apa yang disebutkan itu . Maksudnya, orang yang bercakap atau yang menyebut tidak faham atau tahu akan apa yang dicakapkannya.

Dari segi akal pula LALAI atau CUAI berkemungkinan besar berlaku akibat orang yang melakukan sesuatu itu TIDAK IKHLAS dalam melakukan sesuatu itu.

Dalam hal ini maksud perkataan IKHLAS itu hendaklah benar benar difahami. Ikhlas bermaksud melakukan sesuatu tanpa ada niat sedikitpun untuk mendapatkan BALASAN dalam apa bentuk sekalipun dan dari sesiapapun termasuk juga dari Allah.



MAKSUD KHUSU’

Khusu’ adalah lawan kepada perkataan Lalai. Maksudnya dari segi bahasa ialah BERTUMPU DENGAN SEPENUH TUMPUAN kepada apa juga yang dilakukan dengan niat untuk mendapatkan hasil ( dari apa yang dilakukan itu ) sebaik mungkin atau yang paling sempurna yang memuaskan hati pelakunya. Atau melakukan sesuatu dengan bermutu tinggi ( kualiti )

Khusu’ yang berkaitan dengan solat atau sembahyang ialah semasa sembahyang tumpuan dapat diberikan secara 100% kepada Allah tanpa ada lintasan lintasan fikiran. Atau orang yang sembahyang itu tidak memikirkan hal lain selain dari memikirkan akan Tuhan yang sedang disembahnya. Jadi yang dikatakan Khusu’ itu ialah menjiwai sepenuhnya akan sembahyang itu.

Orang yang KHUSU’ dalam sembahyangnya mendapat NIKMAT dari sembahyangnya itu. Apakah yang dikatakan NIKMAT SEMBAHYANG itu ?



GANGGUAN DALAM SEMBAHYANG.

Soal-selidek yang dijalankan secara rambang oleh penulis menunjukkan bahawa LALAI dalam sembahyang adalah berkaitan ada GANGGUAN dalam BENTUK LINTASAN FIKIRAN .

Maksud Lintasan Fikiran ialah semasa melakukan sembahyang itu secara tiba tiba sahaja teringat akan perkara perkara lain yang tiada kaitan dengan Allah.

Kebanyakan responden memberitahu bahawa perkara lintasan fikiran ini berlaku semasa ianya MEMBACA FATIHAH. Kadang kadang pada setiap kali pembacaan Fatihah ( pada setiap raka’at ) Ada juga berlaku lintasan semasa ianya membaca TAHYAT. ( tetapi kurang )

Yang jelas lintasan ini berlaku bukan dengan kehendak yang disengajakan oleh orang yang sembahyang itu. Maksudnya ianya berlaku diluar kawalan orang yang sembahyang itu. Orang yang sembahyang itu tidak dapat berbuat apa apa untuk menghalang kedatangan Lintasan itu.



KENAPA BERLAKU LINTASAN FIKIRAN.


Ada dua soalan yang bermain dikepala kita :-

Pertama kenapakah berlaku Lintasan Fikiran semasa kita sedang membaca Fatihah ?

Kedua adakah dengan berlakunya Lintasan Fikiran ini bermakna kita Lalai dalam sembahyang kita, sedangkan Lintasan Fikiran itu bukan atas kehendak kita atau kita sengajakan ? Ianya datang tanpa diundang dan kita tidak merelakan kedatangannya ?

Jika kedatangan Lintasan Fikiran itu menunjukkan LALAI maka berdasarkan Ayat Al-Quran yang disebut diatas maka kita telah mendapat sumpahan Allah yaitu Celaka dan sudah pastilah kita tidak mahu ditempatkan di Neraka Wail.

Berkaitan dengan Kedatangan Lintasan Fikiran ini hanya Allah sahaja yang mengetahui sebab sebenarnya.

Sebagai hambanya kita hanya cuba mencari jawapan dengan ILMU yaitu cuba mencari jawapan jawapan berdalilkan Ayat Ayat Al-Quran dan Hadith Hadith Nabi saw. Jadi terpulanglah kepada pembaca sama-ada yakin atau tidak kepada hujah hujah penulis ( berkaitan cara untuk Khusu’ dalam Solat ) yang akan dinyatakan didalam Risalah ini.



MAKSUD SOLAT ITU AMAT BERAT SEKALI

( bagi orang yang mengerti )


Yang dikatakan BERAT SEKALI itu ialah berkaitan SOLAT bukan berkaitan SEMBAHYANG. Yang mengatakan demikian ialah ALLAH sendiri.

Jadi Solat itu tidak sama maksudnya dengan Sembahyang. Untuk mengetahui perbezaannya kenalah kita mendalami Ilmu Agama.

Risalah ini tidak dapat menjelaskannya kerana penjelasannya adalah panjang dan lebar.

Apakah maksud BERAT SEKALI itu ? . Kalau terlalu berat sudah pastilah manusia yang lemah ini tidak akan dapat memikulnya !!! Adakah cara untuk meringankannya ?

Ada banyak Hadith yang menganjurkan agar kita sembahyang sepertimana Nabi saw sembahyang. Malangnya kita tidak akan dapat melihat dengan mata kepala tentang bagaimana caranya Nabi saw sembahyang. Yang didengar ialah penceritaan ulama’ ulama ‘. Ulama’ ialah Pewaris Nabi.

Banyak Hadith menerangkan bahawa ramai para sahabat melihat jasad Nabi BERGEGAR dan BERGOYANG GOYANG ketika baginda bersembahyang. Bergegar dan bergoyang goyang ini disebut sebagai GEMENTAR.

Yang perlu kita tanyakan ialah kenapa jadi begitu halnya ? Adakah Bergegar atau Bergementar itu akibat Khusu’ atau akibat Berat Sekali sembahyang Nabi saw itu ? Siapakah yang boleh memberi jawapan kepada soalan kita ini ? Kita amat memerlukan jawapan kerana kita hendak KHUSU’ dalam sembahyang kita dan kita AMAT TAKUT disumpah oleh Allah dan dihumbankan ke Neraka Wail. Tidak ada siapa yang dengan sengaja ingin hidup di Neraka. Na-u- zubillah- min-zalik !



JAWAPAN


BARANGKALI jawapan jawapan kepada soalan soalan yang dikemukakan diatas ialah seperti berikut. Ya barangkali sahaja bukan jawapan yang sebenar-benarnya yang muktamad. Penulis hanya CUBA menjawab. Jawapan sebenarnya Hanya Allah Yang Tahu kerana Allah itu Maha Mengetahui. Terpulanglah kepada pembaca untuk membuat tafsiran dan keputusan masing masing berkaitan jawapan jawapan ini.

Untuk menjawab soalan ini kita WAJIB merujuk kepada Dalil Dalil NAQLI yaitu Ayat Ayat Al-Quran dan Hadith Hadith Nabi saw. Inilah yang akan dikemukakan oleh penulis.


Pertamanya penulis merujuk kepada Hadith Nabi saw yang bermaksud :

Sembahyang yang sempurna ialah dengan WUDHU yang sempurna.


Untuk faham maksud Wudhu Sempurna maka kita perlulah tahu dan faham akan tujuan berwudhu itu. Kenapa kena berwudhu sebelum kita sembahyang ? Adakah untuk membersihkan diri kita ? Kalau tujuannya adalah untuk membersihkan diri, kenapakah kita tidak diperintahkan untuk membersihkan seluruh anggota badan yaitu dengan MANDI ? Kenapa hanya MENGENAKAN air kepada anggota anggota tertentu sahaja ?

Kalau begitu tujuan berwudhu bukanlah untuk membersihkan badan. Mesti ada tujuan yang lain. Ulama mengatakan bahawa Wudhu itu Pemisahan dan Solat itu Penyatuan. Apakah yang dipisahkan dan apa pula yang hendak disatukan ? Tiada jawapan didalam Risalah ini.


Pada penulis Wudhu itu ialah sebahagian Rukun Sembahyang. Rukun sembahyang ada 13, jika dimasukkan Wudhu maka ia jadi 14 dan yang pertama ialah Wudhu Yang Sempurna itu dan selepas itu barulah rukun 13 yang lain lain itu. Ini adalah kerana tidak sah sembahyang tanpa wudhu. Kerja sia-sia namanya. Maka tertakluklah wudhu itu kepada Hukum Sembahyang yaitu Feqli. Qauli dan Qalbi.


Pada penulis adalah benar Wudhu itu adalah upacara Pembersihan, malah ianya upacara Penyucian Batin yang disebut sebagai NAFI & ISBAT. Didalam wudhu kita wajib melakukan upacara NAFI dan ISBAT. Nafi maksudnya MENIDAKKAN. Apa yang di-TIDAK-KAN ? ISBAT maksudnya MENG-IYA-KAN. Apa pula yang di-IYAKAN ? Yang di-TIDAKKAN ialah BADAN dan yang di-IYAKAN ialah NYAWA.


Maksud sebenarnya ialah MENGAKUI bahawa yang MELAKUKAN perbuatan berwudhu ( dan sembahyang yang akan didirikan itu ) itu termasuk menyuarakan Lafaznya bukanlah BADAN atau anggota Badan seperti mulut, tangan, kaki dan sebagainya TETAPI YANG BERBUAT DENGAN SEBENAR-BENARNYA atau pada HAKIKATNYA ialah NYAWA.


Ini adalah kerana BADAN ( yang kita anggap Hidup itu ) itu adalah MATI dan YANG HIDUP lagi MENGHIDUPKAN itu ialah NYAWA. Nyawalah yang menghidupkan Badan. Yang demikian PELAKU SEBENAR ialah NYAWA bukan BADAN. Orang mati tidak lagi ada NYAWA.


Maksud ( Nafi & Isbat ) yang LEBIH BENAR ialah MENGAKUI bahawa NYAWA itu BERSIFAT KETUHANAN kerana NYAWA itu MEMILIKKI SIFAT SIFAT TUHAN. ( Belajarlah tentang Sifat 20 Allah yang dimilikki oleh Nyawa anda ) Maka Tuhan Allah-lah yang menjadi PELAKU SEBENAR bukannya kita sebagai manusia. Oleh kerana itulah kita menjawab Lafaz Bilal : Hai Ya Alas- Solah dengan HAUQALAH yang bermaksud : Tiada Daya Upaya kita untuk Solat melainkan dengan KUDRAT dan IRADAT ALLAH.


Jika tiada Daya Upaya kita melainkan Kudrat dan Iradat Allah !!! , jadi siapakah yang berwudhu dan yang akan Solat itu ? Jawapannya ialah yang memilikki atau yang Bersifat dengan Kudrat dan Iradat Allah itu yaitu NYAWA bukannya kita manusia tetapi kita juga !!! ( Fahamkanlah )


Yang demikian penulis menyarankan kepada pembaca supaya BERWUDHU’ dengan penuh tertib dan berbudi bahasa agar mendapat Wudhu’ Yang Sempurna itu agar Solat juga Sempurna tanpa Lintasan Fikiran tanpa Gangguan.


Jika ada juga lintasan dan gangguan, maka ianya bukan lagi bolih disabitkan kepada kita. Bila bukan kita yang disabitkan maka bukanlah kita yang mendapat Sumpahan CELAKA dari Allah. Maka bukanlah kita yang dihumbankan ke Neraka Wail. Setidak-tidaknya inilah yang menjadi Keyakinan atau Iman kita yaitu keyakinan 100%.



CARA BERWUDHU YANG DISARANKAN

1 Kita pandai berwudhu kerana diajar oleh Nabi kita. Maka sewajarnyalah anda mulakan wudhu anda dengan berselawat kepada Nabi anda,

2. Allah memberi kelebihan kepada Nabi Allah Hidir berkaitan AIR. Anda berwudhu dengan menggunakan air, maka berilah salam kepada Sultanul Anbia’ itu . Katakan : Assalamu-alaika Ya Nabi Allah Hidir Bulya Mulkan.

3. Air yang anda gunakan untuk berwudhu itu HIDUP dan MENGHIDUPKAN ( Air Al-Hayat ) air yang SUCI lagi MENYUCIKAN ( Air Al-Kautsar ), maka berilah salam kepada air itu dan mintalah izin untuk menggunakannya untuk berwudhu.

( Janganlah kurang ajar kepada air. Kena sumpahan air bala jadinya kerana anda itu 85% air. )

4. Selepas itu bacalah Lafaz Wudhu anda untuk menzahirkan Niat yang ghaib itu.

5. Tatkala membasuh muka kali pertama : lafazkanlah dengan keyakinan pada hati : Ya Allah aku ini mati dan dihidupkan. Aku hidup dengan HAYAT mu. Zat Hayatmu-lah yang menghidupkan aku. ( Muka ialah lambang hidup )

6. Tatkala membasuh muka kali kedua lafazkanlah dengan keyakinan pada hati : Ya Allah aku tidak bolih MELIHAT. Aku melihat dengan BASAR mu.

7. Tatkala membasuh muka buat kali ketiga : lafazkanlah dengan keyakinan pada hati : Ya Allah aku tidak bolih BERKATA-KATA. Aku berkata-kata dengan KALAM mu.

8. Tatkala membasuh tangan : lafazkanlah dengan keyakinan pada hati : Ya Allah aku tidak ada KUASA dan tidak bolih bergerak . Aku berkuasa dan bergerak dengan KUDRAT mu.

9. Tatkala membasuh kepala : lafazkanlah dengan keyakinan pada hati : Ya Allah aku adalah bodoh dan dungu. Aku berilmu dan tahu dengan ILMU mu.

10. Tatkala membasuh telinga : lafazkanlah dengan keyakinan pada hati : Ya Allah aku tidak bolih MENDENGAR dan aku sebenarnya pekak. Aku mendengar dengan SAMA’ – Mu.

11. Tatkala membasuh kedua kakimu : lafazkanlah dengan keyakinan pada hati : Ya Allah aku tidak ada KEHENDAK semuanya adalah IRADAT-Mu yang menentukan jalannya kehidupanku yaitu Qada’ dan Qadarku yang telah Engkau tentukan dan aku redha Ya Allah.

Setelah selesai berwudhu : Maka ucapkanlah Dua Kalimah Syahadah : tasdiqkan dihatimu :

"Ya Allah tiada yang wujud dan yang nyata didalam diriku melainkan Engkau Ya Allah : ZatMu yang meliputi diriku adalah Zatku, Jasadku ialah SifatMu. Aku adalah Penampakan ZahirMu ( Tajalli ) untuk menunjukkan Keagungan ( Jalal ) Keindahan ( Jamal ) dan KesempurnaanMu ( Kamal ) Ya Allah, Ya Diri Hakikiku."


Kemudian anda melangkahlah ke Sejadah anda untuk memulakan Solat anda.


Keduanya ( berkaitan sebab lalai ) penulis ingin merujuk dan mengemukakan beberapa Ayat Ayat Al-Quran. Yang pertama ialah ayat ayat yang merujuk kepada definasi Iman seperti yang dijelaskan oleh Allah sendiri ( didalam Al-Quran ) yang bermaksud :-

a. Orang orang yang beriman itu ialah orang orang yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan percaya kepada Hari Akhirat.

Maksudnya orang orang yang tidak bersolat enggan menunaikan zakat dan tidak percaya kepada Hari Akhirat ialah orang orang yang tidak beriman.

b. Orang orang yang beriman itu ialah orang orang yang tidak takut berkurangan pahala dan tidak pula takut bertambah dosa.

Maksudnya ialah orang orang yang bermal ibadah seperti bersolat kerana takut berdosa atau inginkan pahala maka orang orang itu tidak beriman. Intipatinya ialah orang yang inginkan pahala dan takut berdosa itu tidak ikhlas. Orang yang tidak ikhlas menurut Allah ialah orang yang tidak beriman.

c. Orang orang yang beriman itu ialah orang orang yang apabila disebut sahaja Nama Allah maka GEMENTAR-lah JIWAnya. ( Yang gementar itu ialah JIWA bukan badan, dan Gementar itu bukan bermaksud takut . Takut ialah GENTAR )

Maksudnya ialah orang orang yang apabila disebut sahaja Nama Allah walaupun sampai beribu kali, tidak merasa apa apa pun, apatah lagi Gementar belum lagi beriman atau tidak beriman ( menurut Allah bukan menurut kata kata ulama ‘ )

Penulis juga ingin merujuk kepada beberapa lagi Ayat Ayat Al-Quran yang bermaksud :-

a. Bukanlah kehendak kamu, kesemuanya adalah Kehendak Allah jua ( belaka. )

Maksudnya ialah manusia itu walaupun kelihatan banyak kehendak atau kemahuan sebenarnya - tidak langsung mempunyai kehendak kerana ( melalui Ayat diatas ) Allah menegaskan bahawa kehendak kehendak kita itu pada hakikatnya bukanlah kehendak kehendak kita. Kesemuanya adalah Kehendak Allah yang disampaikan melalui kita sebagai manusia. Kehendak atau Iradat didalam bahasa Arab itu adalah Sifat IRADAT Allah pada hakikatnya. Berkaitan sembahyang kita telahpun menafikan kehendak kita dan mengakui akan Kehendak Allah bila menjawab lafaz Bilal ketika bilal menyuarakan azan itu. ( Hauqalah )

b. Allah menjadikan kamu dan segala perbuatan kamu.

Maksud ayat ini sangat jelas dan itulah maksudnya. Cuma kerana ianya amat jelas barangkali sebab itulah ramai diantara kita ambil mudah sahaja dan terus berkeyakinan bahawa perbuatan perbuatan manusia itu tiada kaitan langsung dengan Allah, kerana pada mereka Allah itu Tuhan dan mereka sebagai manusia adalah hamba.

Perbuatan disebut juga sebagai Af’al atau Fi’il. Untuk melakukan sesuatu kita mestilah ada Daya atau Kuasa. Sifat Allah yang bererti Berkuasa ialah Sifat QUDRAT-NYA. Berkaitan sembahyang kita telah-pun mengakui bahawa tidak ada daya kita melainkan DAYA dan QUDRAT Allah jua ketika menjawab Lafaz bilal juga . ( Hauqalah )

c. Setiap sesuatu adalah KOSONG melainkan ZATNYA ( Zat Allah )

Maksudnya ialah setiap benda termasuk kita adalah KOSONG pada hakikatnya. Semua benda dijadikan oleh Allah. Maksud kosong ialah TIADA. Maksudnya ialah kita ini pada hakikatnya tidak mempunyai wujud. Wujud maksudnya ADA. Yang ada pada setiap sesuatu itu pada hakikatnya atau sebenarnya ialah Zat Allah.

Maka zat kita sebagai manusia yang kelihatan ADA itu ialah Zat Allah. Yang menanggung atau yang mengandung Zat Allah itu ialah Badan atau jasad kita. ( Inilah yang dirujuk oleh Allah sebagai AMANAH atau RAHSIA ALLAH yang kita kandung.) Maka menjadilah Badan atau Jasad kita itu sebagai Sifat Allah.

Untuk apa dan untuk siapa ? Jawabnya ialah untuk Allah jua yaitu untuk menunjukkan akan KeagunganNya ( Sifat Jalal ), KeindahanNya ( Sifat Jamal ) dan KesempurnaanNya ( Sifat Kamal )

Penulis ingin mengajak pembaca menghuraikan kesemua ayat ayat diatas untuk mencari sebab sebab kenapa berlaku Lintasan Fikiran ketika membaca Fatihah ( didalam sembahyang ) hingga menjadikan sembahyang sesaorang itu LALAI dan dikutuk / disumpah oleh Allah.

Jika orang yang menyumpah kita, kita bolih kata “ tak mengapa “ . Jika yang menyumpah itu Allah – maka ianya AMAT BERAT SEKALI. Jadi – janganlah kita sekali-kali lalai dalam sembahyang kita. Yang ganjilnya ialah Allah tidak pula menyumpah CELAKA bagi orang yang tidak sembahyang. Orang yang kena sumpah itu orang yang sembahyang TETAPI LALAI. Fahamkanlah.


Allah menegaskan TIADA KEHENDAK KITA – SEMUANYA KEHENDAK atau IRADAT ALLAH. Jadi ingatlah Yang Hendak sembahyang itu bukanlah kita tetapi Allah. Kalau kita kata dan yakin kitalah yang hendak sembahyang maka kita derhaka terhadap Firman Allah ditas. Orang derhaka memang patut kena SUMPAH lebih lebih lagi kita telahpun mengaku bahawa kita tiada kehendak sebelum kita mendirikan sembahyang itu yaitu ketika mengatakan La Haulawala ………….. ( Hauqalah )


Allah juga menegaskan bahawa kita ini sebagai manusia tidak ada daya upaya sehingga segala gerak dan diam kita setiap detik dan ketika adalah Perbuatan atau Af’al Allah kesemuanya. ( rujuklah Firman Allah diatas : Aku jadikan kamu dan segala perbuatan kamu. )


Yang demikian kenapakah anda mengaku anda yang sembahyang menyembah Tuhan anda yaitu Allah. Sekali lagi anda derhaka terhadap Firman Allah. Ingatlah : Orang derhaka memang patut kena SUMPAH lebih lebih lagi kita telahpun mengaku bahawa kita tiada kehendak sebelum kita mendirikan sembahyang itu yaitu ketika mengatakan La Haulawala…….


Melalui Ayat No : 3 yang dirujuk diatas, Allah menegaskan atau memberitahu kita bahawa semuanya adalah kosong melainkan ZatNYa yaitu ZAT ALLAH. Jika kita ini kosong yang bermaksud TIADA atau TIDAK WUJUD maka bolihkah kita menjadi HAMBA untuk MENYEMBAH KHALIK atau TUHANNYA ?. Sekali lagi kita melakukan KEDURHAKAAN TERHADAP ALLAH. Ingatlah : Orang derhaka memang patut kena SUMPAH lebih lebih lagi kita telahpun mengaku bahawa kita tiada kehendak sebelum kita mendirikan sembahyang itu yaitu ketika mengatakan La Haulawala ………….. ( Hauqalah )


Saudaraku …………………


Barangkali inilah sebab sebab kita LALAI. Lintasan Fikiran itu sebagai petanda Allah membatalkan solat kita. Tetapi kita teruskan juga sembahyang kerana kalau tidak sembahyang BERDOSA dan akan MASUK NERAKA. Ingatlah jika anda sembahyang kerana hendakkan pahala dan anda takut tidak sembahyang kerana anda takut berdosa anda tidak beribadah kepada Allah dengan ikhlas. Menurut Allah …… anda tidak beriman …. Sembahyang orang yang tidak beriman tidak diterima oleh Allah…… ya barangkali.


RUMUSAN


Berdasarkan penerangan penulis maka barangkali sebab lalai itu bolihlah dirumuskan seperti berikut :-

a. Disebabkan wudhu kita tidak sempurna.

b. Disebabkan Niat anda sembahyang takut berdosa dan inginkan pahala.

c. Disebabkan anda mengertikan sembahyang itu ialah hamba MENYEMBAH Tuhannya yaitu Allah sedangkan menurut Allah anda itu kosong. Maka tiadalah Yang Menyembah dan Yang Disembah.

d. Disebabkan oleh kejahilan anda tentang Hakikat Diri anda. Ini adalah kerana anda tidak mahu mengikut Perintah Allah yaitu : Awal Awal Agama ialah Mengenal Allah. Anda juga enggan mendengar apa lagi mengkaji dan mempelajari Perintah Allah yaitu : Siapa yang mengenal DIRINYA sungguh telah Mengenal Tuhannya. Sesiapa Yang Mengenal Tuhannya BINASA-lah DIRINYA.

Namun begitu, rumusan ini hanyalah merupakan PERCUBAAN penulis untuk mencari jawapan kepada persoalan LALAI itu. Andalah yang memberi penilaian atau markahnya. Kalau anda fikir apa yang penulis tulis ini BETUL, maka ikutlah jika anda berpendapat penulis hanya MENGARUT maka KARUT-lah kesemuanya ini.


APAKAH YANG BOLIH DILAKUKAN – SUPAYA SOLAT TIDAK LALAI

FAHAMILAH ERTI SOLAT

Ya, saudaraku apakah yang perlu kita lakukan supaya sembahyang kita khusu’ dan kita tidak lagi dikatakan LALAI ?

Sebelum itu eloklah kita perhatikan kata kata Ulama’ berkaitan SOLAT atau SOLAH atau apa yang kita sebut sebagai SEMBAHYANG. Pertamanya kita rujuk pendapat Sultan Kepada Para Wali : Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani melalui Kitab beliau : SIRRUL ASRAR :-


Menurut Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani ada DUA JENIS SOLAT yang disebutnya sebagai :-


a. SOLAT SYARIAT : Solat lima waktu sehari semalam.

b. SOLAT WUSTHA : Solat Hati Selama-lamanya

Solat Wustha juga dirujuknya sebagai SOLAT TARIQAT. Disalin semula petikan dari Kitab Sirrul Asrar untuk pemahaman saudara pembaca :-

Firman Allah : Al-Baqarah : Ayat 238

Hendaklah kamu menjaga solat solatmu dan solat wustha ( yang ditengah )

Solat Syariat ialah solat seluruh badan yang zahir dengan gerakan tubuh, seperti badan berdiri, lidah membaca, ruku’ sujud, duduk, mengeluarkan suara dan bacaan bacaan. Solat Syariat mempunyai waktu tertentu didalam satu hari satu malam lima kali beserta sunatnya. Solat Syariat dilakukan dimesjid dengan berjamaah sama sama menghadap Ka’bah dan mengikuti Imam, tanpa riak, ujub dan sum’ah.

Adapun Solat Tarikat adalah solat hati selama-lamanya dan dirujuk oleh Allah sebagai SOLAT WUSTHA yang bermaksud SOLAT HATI, kerana hati manusia itu berada ditengah badan, antara kanan dan kiri antara atas dan bawah dan diantara bahagia dan celaka.

Solat Tariqat dilakukan selamanya tanpa batas waktu selama kita hidup didunia dan juga diakhirat. Mesjidnya bukan bangunan tetapi HATI. Berjemaahnya ialah terpadunya kesucian batin dengan selalu memperdengarkan TAUHID dengan lisan batin. Imamnya ialah Rasa Rindu didalam hati untuk sampai kepada Allah. Kiblatnya ialah Hadrat dan Keindahan Allah. Itulah Kiblat Hakiki. Hati dan Ruh selamanya tidak terlepas dari solat ini.

Solat Hati dilakukan dengan hidupnya hati TANPA SUARA, berdiri dan duduk : ia selalu berhadapn dengan Allah dengan ucapan : KepadaMu kami beribadah dan kepadaMu kami memohon pertolongan.

Solat yang pokok ialah Solat Hati. Bila solat hati dilupakan maka rosaklah solatnya, dan bila rosak solatnya rosak pula solat seluruh badannya.

Sabda Nabi saw:-

Tidaklah sah solat sesaorang kecuali disertai dengan hadirnya hati.


Sesungguhnya orang yang solat itu sedang bermunajat ( berdialog ) dengan Tuhannya. Alat munajat ialah hati. Bila hati lupa maka batallah solatnya dan solat badannya, kerana hati itu pokok utama dan anggota badan yang lain mengikutinya.

Bila dua solat : solat syariat dan solat hati telah berpadu lahir dan batin maka sempurnalah solat itu dan pahalanya pun sangat besar.

Syeikh Muhammad Ibrahim Gazur – i – Ilahi didalam kitabnya Ana Al-Haq menjelaskan bahawa :-


Solat atau Solah itu diambil dari perkataan WASLAT yang ertinya ialah Lekat atau Menghampiri. Beliau juga mengatakan ada dua jenis solat yang perlu dilakukan oleh sesaorang muslim itu yaitu :-


a. Solat Lima Waktu

b. Solat Yang Berkekalan


Firman Allah : Al-Mikraj : 23


Al-lazi nahum ala solatihim daa-I muun

Mereka yang solatnya berkekalan.


Firman Allah : Al-Baqarah : 115


Fa-ai-na-maa tuwallu fa-sam-ma – wajhullah

Kemana sahaja kamu menghadap muka kamu disitu ada wajah Allah


Diperturunkan petikan petikan dari Kitab Ana Al-Haq untuk renungan saudara pembaca :-


a. Sembahyang lima waktu menghadap Ka’abah. Sembahyang yang berkekalan menghadap kepada Wajah Allah.

b. Sembahyang orang yang cinta ( kepada Allah ) ialah memfana’kan diri ( menganggap diri itu kosong – tiada wujud ) sembahyang orang awam ialah rukuk dan sujud.

c. Sembahyang ini ialah MIKRAJ bagi orang mukmin. Setelah mengosongkan dirinya daripada dirinya, beliau sampai kepada yang dicintai ( Allah ) Ini dikatakan sebagai Maqaman Mahmudan oleh Allah yang bermaksud Makam Terpuji. Pada peringkat ini dia memperkatakan ucapan sembahyangnya kepada dirinya.

d. Sembahyang mempunyi dua aspek – badan dan ruh. Zahirnya berkaitan dengan peraturan peraturan dan hukum hukum dan batinnya berkaitan dengan ruh. Jika yang berkenaan dengan badan itu sahaja yang dipentingkan tetapi yang berkenaan dengan ruh – yang memandang Allah dan memfana’kan diri – tidak dicapai maka jadilah sembahyang itu badan yang tidak bernyawa. Jika ruh sahaja dipentingkan dan badannya tidak dipedulikan maka jadilah sembahyang itu umpama nyawa tanpa badan.

e. Sujud menghadap Kiblat adalah syirik jika tidak disertakan sujud kepada Allah dalam kesedaran jiwa. Oleh itu simukmin hendaklah menukarkan hadapnya dari kiblat kepada Haq dan ini dilakukan semasa berniat didalam sembahyang.

f. Menghadap kepada Allah itu ialah sembahyang yang berkekalan. Sembahyang yeng berkekalan ini tidak bolih ditangguh-tangguh. Sembahyang lima waktu bolih ditangguh.

g. Lalai semasa sembahyang bermaksud LALAI KEPADA WUJUD MUTLAK yaitu Allah.


Wudhu’ itu ialah penceraian dan solat itu ialah penyantuman. Yang telah bersatu hendaklah diceraikan dahulu semasa berwudhu dan disatukan semula semasa solat. Anda tidak akan bolih melakukan solat yang kekal ini jika anda belum bolih menceraikan diri anda.



Saudara pembaca,


Petikan petikan diatas mungkin sukar untuk difahami jika anda tidak belajar Ilmu Tasauf. Namun jika dibaca berulang-ulang Allah akan memberi anda kefahamannya. Percayalah. Janganlah bimbang cuba lakukan solat anda seperti cara cara yang dijelaskan dibawah :-



APAKAH YANG BOLIH DILAKUKAN – SUPAYA SOLAT TIDAK LALAI

BATINKANLAH SOLAT ANDA & SEMUA IBADAH ANDA.


Pertamanya anda hendaklah faham kepada apa yang disebut sebagai HATI itu. Ianya bukan sejenis anggota didalam tubuh anda. HATI disini bermaksud NYAWA atau RUH anda. Jadi sembahyang hati bermaksud Nyawalah yang sembahyang bukan badan. Badan hanya menjadi pengikut atau makmumnya. Didalam sembahyang anda hatilah yang menjadi pelaku utamanya kerana hatilah yang ada Iradat dan Kudrat bukannya badan.


OLEH ITU BATINKANLAH SOLAT ANDA – yaitu – semua BACAAN ANDA DALAM SOLAT ANDA HENDAKLAH DILAFAZKAN HANYA DIDALAM HATI KERANA NYAWA ITU BERKATA-KATA TANPA HURUF DAN TANPA SUARA.


Sebelum anda mendirikan solat anda yaitu ketika anda QIAM serahkanlah tugas solat ini kepada Nyawa anda dengan melafazkan pengakuan dan penyerahan. Caranya adalah seperti berikut :-

1. Qiam diertikan sebagai berdiri betul. Berdiri yang betul ialah berdiri seperti ALIF. Maka berdirilah anda SEPERTI ALIF dan hendaklah diam, maksudnya jangan bergerak gerak. Solat anda bermula ketika anda sedang Qiam. Tutuplah mata anda ketika Solat.

Dalam QIAM ini, anda perlulah menghadapkan muka anda kearah Ka’abah yaitu Kiblat Zahir anda terlebih dahulu, eloklah anda memandang Ka’abah itu dengan mata batin anda, selepas itu wajiblah anda menukarkan Ka’abah itu dengan memandang wajah anda sendiri kerana Diri Batin atau Nyawa anda itu sesifat anda, Cuma ianya terdiri dari Lapisan Lapisan Cahaya atau Nur.


Anda disarankan oleh Ulama’ agar memandang Wajah Allah, tetapi perkara ini mustahil dapat anda lakukan kerana anda belum pernah bertemu Allah. Allah memerintahkan anda mengenal diri anda untuk MengenalNya.


2. Angkatlah kedua tangan dan minta ampunlah kepada Allah dengan ISTIGHAFAR didalam hati tanpa huruf dan tanpa suara. Minta ampunlah kepada Allah yang DEKAT yaitu Zat Yang Meliputi diri anda. Seterusnya BERHAUQALAH dengan membaca La Haula-wala.. ….. dan seterusnya didalam hati tanpa huruf dan tanpa suara. Akuilah dengan sepenuh dan seikhlas hati bahawa sememangnya anda sebagai manusia TIADA MEMPUNYAI SEDIKITPUN DAYA UPAYA PUN, SEMUANYA DAYA UPAYA ALLAH yaitu ZAT YANG MELIPUTI SELURUH JASAD dan RONGGA anda.


3. Seterusnya buatlah PENGAKUAN dengan melafazkan KALIMAH SYAHADAH didalam hati tanpa huruf dan tanpa suara sebanyak 3 kali dengan mestasdiqkan dihati pengakuan pengakuan dibawah :-


a. Syahadah Pertama : Aku mengaku bersaksikan diri aku sendiri bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh Allah.

b. Syahadah Kedua : Aku mengaku bersaksikan diri aku sendiri bahawa Tiada Yang Wujud Dan Nyata Didalam Diri Aku Melainkan Allah Semata-mata dan Akulah Muhammad Menyampaikan Haq Allah. ( Yang mengaku ialah Yang Bersuara itu yaitu Nyawa anda dan yang menjadi saksi ialah Yang Menyampaikan Suara itu yaitu mulut atau Jasad anda )


c. Syahadah Ketiga : Tiada Yang Wujud Didalam diriku dan di seluruh Alam Maya ini melainkan Allah. La Maujuda Illallah.


4. Seterusnya didalam QIAM anda anda berselawatlah didalam hati tanpa huruf dan tanpa suara sebanyak 2 kali. Yang pertama tujukan kepada Junjungan kita Nabi Muhammad bin Abdullah yaitu Bapa Nyawa anda ( Bapa segala Ruh ). Yang kedua tujukan kepada Nabi Muhammad MUSTAFFA Rasullullah yaitu Nyawa anda. ( Nyawa anda ialah Pentajallian Nabi Muhammad – Aku dari Allah kamu semua dari Cahaya Aku – Hadith )


5. Selepas Selawat : Lafazkanlah niat SOLAT anda di-dalam hati ( tanpa huruf dan tanpa suara ) seperti berikut :-


Ya Allah aku solat zuhur ( contoh zuhur ) …. 4 rakaat untuk mengaku, menyatakan dan bersaksi bahawa tiada yang wujud dalam diriku ini melainkan ZatMu, Zatmu adalah Zat aku dan Jasadku adalah SifatMu . Aku adalah Pentajallian Mu ( penampakan zahir ) untuk menunjukkan Sifat Sifat KeagunganMu ( Jalal ) KeindahanMu ( Jamal ) dan KesempurnaanMu ( Kamal )


Dan INGATLAH bahwa perkataan LILLAH HI TAALA yang bermaksud Kerana Allah didalam Lafaz tadi tidak membawa erti kerana Perintah Allah-lah kamu sembahyang tetapi DENGAN Allah-lah kamu sembahyang yaitu dengan KUDRAT dan IRADATNYA seperti yang diajarkanNya kepada kamu semasa menjawab seruanNya didalam Azan.


6. Kemudian TAKBIR ( Allah Hu Akbar ) lah ALLAH disuarakan HU dan AKBAR didalam hati tanpa huruf dan tanpa suara : Semasa melafazkan HU tarik nafas sedalamnya, tahan nafas itu dan ketika itu sebutlah didalam hati : Ya Allah hapuskanlah wujudku didalam WujudMu dan adalah baik jika lafaz AKBAR itu anda lafazkan serentaknya dengan jatuhnya kedua tangan anda menutup pusat anda.


7. Teruskanlah solat anda dengan membaca doa IFTITAH didalam hati tanpa huruf dan tanpa suara. Ketika membaca ayat terakhir janganlah LUPA gantikan pekataan MINAL dengan AWALUL …. Yaitu La Syari-kalahu – wa biza liqa – umirtu- wa –ana – AWALUL MUSLIMIN. ( Tuhanku tidak bersekutu, begitulah yang diperintahkan kepadaku dan akulah orang yang awal awal telah Islam – yang telah awal awal di-islamkan oleh Allah ialah Nyawa anda – semasa Azali lagi . ) teruskan solat anda seperti-mana anda biasa lakukan tetapi hedaklah didalam hati tanpa huruf dan tanpa suara termasuk membaca FATUHAH , ayat dan lain lain..


8 Semasa membaca TAHYAT didalam hati tanpa huruf dan tanpa suara dan ketika melafazkan : Assalamualaika Ai- yuhan - Nabi Warahmatullah – hi – Wabaraa-katu ( Salam sejahtera wahai Nabi semuga diRahmati dan di Berkati Allah ) ingatlah ucapan itu ialah ucapan Jasad anda mendoakan Nyawa anda yaitu Rasulnya ) dan ……. Semasa melafazkan ….. AssalamualaiNA wa –ala – ibadillah – hi – solihin ( salam sejahtera wahai aku, akulah hamba Allah yang soleh ) ingatlah ucapan itu ialah ucapan balasan dari Nyawa anda kepada Jasad anda sebagai SifatNya – Nyawa anda telah mengaku bahawa jasad adalah SifatNya


9. Semasa memberi Salam KEKANAN lafazkanlah didalam hati tanpa huruf dan tanpa suara: Assalamualaikum Warahmatullah – Hi - Wabaraakaatu : Inni – Ana - Zatul – Haq – Innallah ( Salam sejahtera semuga diRahmati dan diBerkati Allah Inilah Aku Zat Allah dan Akulah Allah ( Nyawa itu mengaku dan mengistiharkan RahsiaNya yaitu Nyawa anda itulah Zat Allah : yaitu Allah yang anda cari cari itu )


10. Semasa memberi Salam KEKIRI lafazkanlah didalam hati tanpa huruf dan tanpa suara: Assalamualaikum Warahmatullah – Hi - Wabaraa – kaa - tu – In-ni – Ana - Sifatul – Haq – In - nallah ( Salam sejahtera semuga diRahmati dan diBerkati Allah : Inilah Aku Sifat Allah dan Akulah Allah : Nyawa itu mengaku dan mengistiharkan RahsiaNya bahawa Jasad anda itu ialah SifatNya yaitu Sifat Allah. )


Sekian, jika sekiranya masih lagi berlaku LINTASAN FIKIRAN …. Janganlah anda RISAU kerana anda telahpun menyerahkan diri anda kepada Allah sepenuhnya dan katakanlah kepada DIRI HAKIKI anda bahawa segala lintasan itu adalah Kudrat dan IradatNya jua kerana ianya bukan lakuan atau kemahuan anda sebagai manusia.


SEDIKIT BERKAITAN INTIPATI PUASA / SAUM


Al-Quran merujuk Puasa sebagai SAUM. Mengikut As-Syeikh Abd Qadir Jailani didalam kitabnya Sirrul Asrar, ada tiga jenis Puasa yaitu :-

1. PUASA SYARIAT – yaitu menahan diri dari makan, minum dan bersetubuh pada siang hari sepanjang Bulan Ramadhan.

2. PUASA TARIQAT – yaitu menahan seluruh anggota badan dari segala perbuatan terlarang dan menjauhi sifat sifat tercela seperti ujub, riyak dan sum’ah. Puasa ini dilakukan sepanjang hayat.

3. PUASA HAKIKAT – yaitu menjaga hati dari selain Allah dan menjaga rasa agar tidak mencintai selain Allah. Puasa ini juga dilakukan sepanjang hayat.


Hadith Nabi saw : berkaitan hasil puasa :-

Ramai orang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga. Ramai juga yang berpuasa tetapi berbuka dan ramai juga yang berbuka tetapi berpuasa. Maksudnya perut mereka tidak berpuasa tetapi anggota lain dan hati mereka berpuasa yakni mereka sentiasa mengingati dan mencintai Allah. Begitulah tingginya tahap Puasa Tariqat dan Puasa Hakikat hingga dibolihkan makan dan minum disiang hari pada Bulan Ramadhan.

No comments:

Post a Comment