Monday, August 16, 2010

KHASIAT TERAPI MANDIAN BUNGA-BUNGAAN





MANDI BUNGA

Oleh: Noor Hasnah Adam (BH 09APR2008)

Mandi Bunga dalam hubungannya dengan budaya orang Melayu memang sudah tidak asing lagi. Mandi bunga adalah antara amalan yang masyhur. Mandi bunga dilakukan kerana dua sebab. Yang pertama semata-mata untuk mewangikan badan dan menyegarkannya. Sebab kedua pula memiliki tujuan-tujuan tertentu seperti menghilangkan sial dan sebagainya.

Bagi tujuan kedua, mandi bunga adalah salah satu cara pengawalan atau penyembuhan, dalam sistem perubatan Melayu tradisional. Selain bertujuan membuang sial, mandi bunga juga merupakan rawatan untuk menyingkir tenaga asing seperti kuasa sihir, membuang penyakit, menemukan jodoh, menaikkan seri, mendatangkan tuah dan mencapai hajat tertentu.

RAMUAN MANDI BUNGA

Mengikut istiadat, mandi bunga perlu dilakukan dengan syarat yang ditentukan oleh tukang ubat. Limau bersama-sama sirih pinang dan sireh adalah merupakan ‘tiang seri’ dan ramuan utama dalam adat-istiadat orang Melayu. Daun, bunga dan limau dengan sifat tertentu seperti contoh daun bertemu urat, warna tertentu, bilangan tertentu (contoh tujuh jenis bunga dipetik ketika pagi masih berembun) merupakan syaratnya. Hanya bunga-bunga yang sudah mekar sempurna digunakan.

Antara jenis bunga yang biasa digunakan ialah melur, cempaka, mawar putih, mawar merah, melati, lili, krisan, lotus, kenanga, anggerik ungu, dan raya putih. Pelbagai ramuan turut dicampur seperti daun sireh dan daun serai wangi. Dipercayai, aroma daun, bunga dan limau dalam mandi bunga akan menjauhkan makhluk jahat tertentu dan mendatangkan makhluk lain yang ‘baik’ sebagai khadam atau ‘pendamping’.

SYARAT DAN PETUA

Masukkan bunga-bunga itu ke dalam bekas berisi air. Bekas kristal lebih baik. Ada yang menggunakan air sejuk yang telah dijampi kerana dipercayai boleh dijadikan penawar. Air jampi atau penawar ini boleh diminum, disapu atau digunakan untuk mandi. Sebagai air mandi, air penawar atau jampi akan dicampur dengan air biasa kerana air jampi biasanya disediakan hanya segelas atau semangkuk sahaja

Ada yang mensyaratkan bunga perlu direndam semalaman. Ada pula yang mensyaratkan bahawa bunga dalam air harus mendapat sinar matahari langsung selama beberapa jam sampai bunga layu, yang menandakan energi bunga itu telah larut dalam air. Sinar matahari mampu melepaskan energi bunga ke dalam air.

Kemudian, campurkan air bunga dengan air untuk mandi. Dikatakan, air bunga untuk mandi lebih baik ketika masih hangat (tak lama setelah terkena sinar matahari)
Menyiapkan air bunga sebaiknya dilakukan sendiri. Campur tangan orang lain, terutama jika orang lain ikut menyentuh air bunga, dikhuatirkan mengurangi energi bunga akibat perpindahan energi.

Mengikut pantang larang Mandi bunga, kita tidak boleh membersihkan sendiri sisa mandian. Orang lain yang kena bersihkan sisa mandian sebab ‘sial’ itu sudah ‘tumpah’ ke bahan-bahan mandian. Justeru kalau orang yang mandi sendiri yang bersihkan sisa tersebut, ‘sial’ itu boleh ‘hinggap’ semula. Tuah yang dijemput akan lari dan apa yang dihajati tidak dicapai.

HARI DAN WAKTU

Mandi bunga perlu dilakukan pada waktu dan hari tertentu yang baik, mengikut ramal kiraan si tukang ubat. Ada bomoh yang menentukan bahawa mandi bunga hanya boleh dilakukan pada tengah malam. Namun ada pula yang menentukan mandi bunga wajar dilakukan ketika air bunga yang dijemur pada terik matahari masih hangat.

MANTERA DAN DOA

Mandi Bunga juga diiringi dengan bacaan mantera dan doa. Mantera yang dibaca oleh bomoh akan mendatangkan ‘mana’ (semangat) atau tenaga tak berperibadi yang tersendiri dan dipercayai akan mendatangkan manfaat yang diinginkan.

Unsur-unsur ‘Islam’ akan ketara apabila bacaan mantera akan dimasukkan lafaz bismalah, dan diakhiri dengan hamdalah dan syahadah. Orang yang mandi akan disuruh berselawat, membaca surah-surah tertentu, malah ada yang disuruh menghadap kiblat dan mandi ketika azan bergema. Semua ini lebih ketara apabila mandi bunga dianggap sebagai suatu wasilah kepada ‘ikhtiar dan tawakkal’. Biasanya, bomoh akan berpesan ‘Allah sahajalah yang menolong awak, saya cuma berikhtiar’.

Berikut adalah antara mantera khas mandi, mengikut amalan orang Jawa.

‘Bismillah, niat ingsun adua ing telaga sari,
Banju sutji den edusi para Nabi,
Den kosoki para Wali, den turuni tjahjaning para widadari,
Bjar mubjar gumebjar badan sariraku
Lailaha illa’llah Muhammad Rasullullah’
.

KAJIAN SAINTIFIK

Mandi bunga bukan sahaja petua tetapi telah dikaji secara saintifik dan ia memang benar-benar bermanfaat kepada tubuh badan manusia. Dengan mandi bunga kita akan dapat menyeimbangkan aura tubuh badan kita ke tahap normal (warna pelangi). Apabila aura kita stabil maka semua masalah tadi tidak akan timbul.

Penelitian terakhir di Eropah mengungkapkan, mandi ternyata tidak hanya baik untuk membersihkan tubuh dari kotoran dan menjauhkan stres, tetapi juga memiliki peranan penting dalam meningkatkan sistem kekebalan. Hasil kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine menunjukkan, penderita diabetes yang menghabiskan hanya 30 minit berendam dalam air hangat dapat menurunkan tingkat gula darah sekitar 13 persen.

Sementara itu, penelitian di Jepun mengungkapkan kebiasaan berendam selama 10 minit dalam air hangat dapat memperbaiki kesihatan jantung, membantu berolahraga dengan lebih baik, dan mengurangi rasa sakit.

Pada hakikatnya air dan bunga merupakan dua elemen yang mampu dijadikan bahan penenang. Dalam falsafah pengubatan tradisional Cina, air adalah elemen yang sangat kuat dalam penyembuhan energi.

Menurut ahli antropologi perubatan moden, sebenarnya di dalam tubuh pesakit, terutamanya pada bahagian pusat dalam kedudukan usus besar, telah wujud satu frekuensi tekanan yang amat rendah. Ini sememangnya akan mengundang pelbagai bentuk tenaga asing yang jahat bagi menambahkan kesakitan dan gangguan fikiran.

Rawatan yang boleh digunakan ialah dengan cara mandian dengan air disiram di atas kepala dengan serentak si pesakit menghentakkan kakinya ke tanah berulangkali. Tujuannya ialah apabila frekuensi hentakan sama dengan frekuensi asli tanah tersebut maka satu amplitud maksimum akan dihasilkan. Selain itu, kaedah mandian pati bunga-bunga ros putih juga berkesan kerana bunga jenis ini mempunyai frekuensi yang amat laju dan mempu meleraikan gelombang yang tidak stabil di dalam dan di persekitaran tubuh si pesakit.

KESIMPULAN

Sistem perubatan warisan Melayu ialah sektor amalan perubatan dan kesihatan berasaskan ilmu pengetahuan yang diwarisi dari generasi terdahulu. Terdapat pelbagai cara diperlukan dalam pengubatan dan pemulihan untuk mengubati pelbagai jenis keuzuran. Gabungan kaedah kimia dan sosial atau sisio-bio-kimia sememangnya diperlukan dalam pengubatan dan pemulihan. Gabungan kaedah-kaedah ini sebenarnya sudah menjadi asas dalam perubatan Melayu.

Mandi bunga bukanlah perubatan Islam yang Rasulullah sarankan kepada para sahabat yang tidak menemui jodoh. Perkara ini tidak pernah berlaku di zaman baginda. Namun mandi bunga yang diamalkan dalam perubatan Melayu tidaklah menjadi kesalahan selagi tidak diitikadkan yang ianya boleh mendatangkan sesuatu kemudaratan atau boleh mendatangkan sesuatu kemanfaatan, kerana kuasa berbuat demikian hanya ada pada Allah SWT sahaja. Justeru janganlah terlalu taksub kepada nasib dan ramalan tentang mandi bunga sehingga menjejas akidah kita.

No comments:

Post a Comment