Friday, August 27, 2010
PERKAITAN TUMBUHAN DAN PETUA MENJAGA KECANTIKAN
Oleh : Abdul Hafidz bin Abdul Kudus
PENDAHULUAN
Sememangnya tumbuhan memainkan peranan penting dalam perubatan, kesihatan dan kecantikan. Di Malaysia sahaja terdapat lebih daripada 7000 spesis tumbuhan yang dapat menghasilkan unsur-unsur kecantikan yang dikira dapat memberi manafaat kepada manusia khasnya kaum wanita.
Menjadi harapan setiap wanita agar kelihatan cantik sentiasa terutamanya yang sudah dan bakal mendirikan rumahtangga agar kebahagiaan berkekalan dan keremajaannya dapat dipertahankan walaupun sudah berusia. Pelbagai cara dilakukan agar tampak awet muda, terutamanya menerusi rawatan tradisional yang menggunakan bahan-bahan asli yang berasaskan tumbuh-tumbuhan. Apabila melihat kulit mulus mula berkedut, rambut hitam mula beruban, timbul semacam perasaan dan rasa rendah diri jika dibandingkan dengan wanita yang seusia tetapi masih kekal muda.
Sebelum berkahwin ramai wanita tidak terlalu memikirkan kehalusan kulit, bentuk tubuh mahupun keremajaan kulit. Amalan dan petua orang dulu-dulu sudah lama ditinggalkan. Perawatan tradisional diganti dengan perubatan moden sehingga rahsia alam terkubur begitu sahaja. Alangkah sayangnya jika keadaan ini terus berlaku. Kerancakan negara barat mengkaji khasiat tumbuh-tumbuhan tropika, samada untuk rawatan pelbagai penyakit ataupun sebagai ramuan kosmetik menunjukkan mereka mula menghargai dan mengkormesilkan tumbuhan yang biasa dijadikan ulam atau rencah masakan masyarakat kita.
Berikut disertakan beberapa petua khasnya kepada bakal-bakal pengantin untuk persiapan ke gerbang perkahwinan merangkumi persiapan luaran dan dalaman.
MENJAGA KESIHATAN KEPALA DAN KECANTIKAN RAMBUT
Rambut sememangnya mahkota wanita. Beberapa petua yang sering diamalkan oleh orang dulu-dulu nyata kebanyakannya membawa kesan yang mujarab jika selalu diamalkan walaupun sukar dibuktikan dengan menggunakan kaedah saintifik. Bagi wanita yang ingin mendapatkan rambut yang hitam berkilat dan tidak cepat beruban, minyak kelapa hijau (dibuat sendiri) dan dimasak bersama daun kermak (dibiarkan sejuk), kemudian dilumurkan pada rambut semalaman sebelum dicuci dikatakan membawa kesan yang sangat mujarab. Bagi yang berambut nipis dan ingin melebatkan rambut pula, petua yang harus diamalkan ialah menggunakan air embun yang bertakung pada pangkal pokok pisang dan dilumurkan ke rambut. Cara ini dikatakan dapat menyelesaikan masalah rambut nipis.
Selain itu, serai juga boleh digunakan sebagai 'syampu' rambut selain daripada digunakan sebagai perencah di dalam masakan. Caranya, tumbuk batang serai hingga pecah dan gosokkan pada kepala ketika mandi. Bau harum serai akan melekat pada rambut dan menghilangkan kotoran pada kulit kepala.
Mandi wap juga dikatakan boleh merawat rambut. Rawatan ini menggunakan bahan-bahan seperti daun pandan, minyak kelapa, telur, adpokat, lobak merah, lidah buaya ataupun daun semangkuk. Tetapi, tidak semua bahan ini digunakan bersama. Lumrahnya, daun pandan dan minyak kelapa antara bahan yang tidak ditinggalkan. Penggunaan bahan lain bergantung kepada keadaan. Jika rawatan ini selalu diamalkan, ia dipercayai dapat menghitam dan melebatkan rambut dan sentiasa kelihatan bermaya. Ia juga dikatakan dapat membantu mengatasi masalah keguguran rambut, menghilangkan kelemumur dan memulihkan masalah rambut bercabang. Cara ini juga dikatakan membantu merehatkan fikiran dan dapat menghilangkan penyakit migrain atau pening kepala. Sejauh mana kebenarannya, sukar untuk dibuktikan.
MENCANTIKKAN KULIT MUKA DAN PENJAGAAN KULIT
Manakala khasiat pinang muda pula tidak ramai yang mengetahuinya, tetapi pada seorang pengamal petua kecantikan tradisional, Puan Hamadah Datuk Ghazali, 53 tahun, ia sudah menjadi amalan keluarganya menggunakan pinang muda (yang bijinya masih berlendir) disapukan pada muka. Ianya dikatakan dapat melicinkan kulit muka dan awet muda. Selain itu, beliau juga mengamalkan 'bersabun' belimbing besi dan asam jawa. Belimbing besi yang masak ranum diramas bersama asam jawa lalu dilumurkan pada badan untuk meninggalkan kotoran dan bertindak sebagai antiseptik kulit yang gatal-gatal. Bagi menghaluskan kulit pula, beras pulut goreng yang ditumbuk halus (seperti tepung) dicampur bedak sejuk dan dijadikan lulur dan digosok seminggu sekali pada badan. Ia dikatakan berfungsi menanggalkan daki dan sel-sel mati. Tapak kaki pula boleh dihaluskan dengan menggosok asam jawa.
Selain itu, wanita juga dinasihati menjalani rawatan kecantikan merangkumi lulur, manggir, bleaching (mencerahkan kulit) dan mandi pupur. Lulur dikatakan dapat mengurangkan parut muka, menguning dan melicinkan kulit. Bahan lulur mengandungi kunyit, beras yang dijadikan tepung dan daun pandan serta temu giring. Manggir pula dipercayai dapat membantu memutihkan kulit, menegang dan memejalkan kulit badan. Ianya boleh dijadikan penyental dan pupur, diperbuat daripada beras pulut ditumbuk halus dan ramuan dedaunan khusus manggir. Ia elok dilakukan seminggu sekali.
Bleaching yang mengandungi kayu cendana dan lavendar pula dikatakan dapat memutih dan mencerahkan kulit dengan lebih pantas. Manakala mandi pupur pula boleh menjadikan kulit gebu, halus, lembut dan sentiasa lembap. Ramuannya ialah kacang soya yang dikisar halus, dadih, serbuk badam dan madu. Semua bahan ini disatukan dan digosok ke seluruh badan hingga kering. Ia dikatakan cara yang paling berkesan.
Selain itu, cara yang agak jarang digunakan ialah mandi Cleopatra. Ianya menggunakan pupur daripada lumpur yang bercampur madu, telor, minyak zaitun, minyak bunga matahari dan bahan lain. Caranya, bahan berkenaan disapu seluruh badan, dibiarkan kering dan kemudian dibersihkan dengan air sambil digosok rata. Mandian ini dipercayai membantu menegang, memejal, menghalus dan memberikan khasiat pada kulit. Hasilnya, kulit terasa lembut dan lambat berkedut.
Disamping itu, hampas kelapa dikatakan berkesan menanggalkan daki pada badan dan melembut serta melembapkan kulit. Selain itu, kacang soya yang dijadikan serbuk sesuai dijadikan penyental pada kulit muka dan badan. Dicampur air mawar atau air biasa, ia melembut, memutih dan menggebukan kulit, sesuai kepada semua jenis kulit. Manakal taufu daripada kacang soya juga boleh beri kesan yang sama dan boleh digunakan terus pada badan atau wajah.
Manakala serbuk beras pulut dan beras pulut hitam khusus menanggalkan sel kulit mati, mengurangkan parut disamping memerah dan memutihkan kulit wajah dan badan. Selain itu, air kelapa, adpokat dan lobak merah dikatakan juga amat berkesan dalam menjadikan kulit gebu putih dan halus. Selain itu, daun inai juga boleh memerah dan menghaluskan kulit muka dan menghilangkan jerawat dan bekas parut pada muka. Caranya mudah, tumbuk halus dan sental pada kulit muka. Begitu juga dengan kulit pisang, sengkuang dan kentang yang dikatakan dapat menghilangkan parut di muka. Selain itu, untuk menambah vitamin, menghalus serta menyegarkan kulit, minum perahan epal, tomato, oren dan buah-buahan lain setiap hari. Khasiatnya sama jika dimakan setiap hari dan tidak memudaratkan jika makan berlebihan.
MENAIKKAN SERI WAJAH
Bagi bakal pengantin yang ingin menaikkan seri wajah pula amat dinasihatkan melakukan petua turun temurun orang tua iaitu mandi bunga. Selain itu, mandi bunga juga dilakukan untuk mencari jodoh dan membuang sial. Sejauh mana keberkesanannya tidak diketahui. Kadangkala, ada juga wanita yang sudah menjalankan adat mandi bunga ini lebih daripada tiga kali, namun hasilnya tetap sama, masih belum dipinang orang. Tetapi, walaupun begitu manusia hanya dapat berikhtiar dan berusaha.
Berbalik tentang petua menaikkan seri wajah, mandi bunga juga boleh dilakukan. Ia juga dipercayai boleh menolak bala di samping menyegar dan merehatkan badan. Bunga yang digunakan termasuk melati, melur, tanjung, mawar, kekwa, cempaka dan pelbagai bunga lain asalkan merangkumi tujuh jenis bunga dan pelbagai warna. Hirisan limau purut dan limau nipis boleh dicampur bersama untuk menambah haruman. Selalunya orang-orang tua turut membaca ayat Al-Quran pada mandian ini.
Selain itu, rawatan lebih sempurna jika bahagian dalaman diambil kira. Jelas beberapa pengamal petua lama, kunyit juga boleh digunakan untuk menaikkan seri wajah. Ambil sebesar ibu jari, tumbuk dan perah untuk mengambil patinya (jangan campurkan air). Lakukan dua atau tiga kali seminggu, dua bulan sebelum berkahwin.
Selain itu, mungkin ada yang pelik apabila mendengar makan bunga mawar untuk menaikkan seri wajah. Kunyah sekuntum sehari, sepanjang 44 hari, disertai selawat nabi. Begitu juga dengan pengamalan kurma Cina yang lazimnya digunakan oleh orang Cina. Tetapi masih ramai yang tidak mengetahui bahawa ianya bagus untuk menambah darah dan menaikkan seri wajah. Caranya, rebus ia dengan air hingga warnanya menjadi seperti warna teh. Amalkan seperti minum air suam.
MENGHILANGKAN BAU BADAN
Masalah bau badan memang memeningkan kepala. Walaupun sebotol minyak wangi digunakan, namun badan tetap berbau bila kesan minyak wangi yang digunakan hilang kesannya. Tahukah anda semua, zaman datuk, nenek dan moyang kita tidak memerlukan minyak wangi (mungkin kerana belum wujud lagi). Mereka hanya menggunakan bahan-bahan asli untuk mengatasi masalah bau badan. Daun sirih dikatakan tumbuhan yang paling sesuai untuk mencegah hal ini. Daun ini diramas dan disapukan pada badan terutama ke bahagian tubuh yang berbau. Insya-Allah, berkesan.
Selain itu, mandi susu juga boleh dilakukan. Rawatan ini mengandungi campuran susu soya, susu kambing, madu dan aromaterapi. Semuanya dimasukkan di dalam tab mandian berisi air suam. Kemudian, berendam selama 15-20 minit. Lakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali.
MENGEKALKAN KEDARAAN SELEPAS BERKAHWIN (BERSALIN)
Petua orang tua disebelah pantai Timur pula, pada malam pertama selepas bersama suami, mereka menyarankan kepada bakal pengantin agar membasuh alat sulit dengan menggunakan air ramasan sirih untuk menolak angin dari dalam faraj ke luar. Selain itu daun sirih juga dikatakan boleh berguna untuk mencuci alat sulit selepas datang haid.
Selain itu, keremajaan dan kejelitaan wanita dipercayai boleh dikekalkan dengan mengamalkan ulam. Daun legundi, daun bebuas, pucuk kaduk, daun mengkudu, pucuk belantas, cekur, daun serindit burung, ulam raja, daun selom, mata kunyit, temu kunci dan peria adalah tumbuhan yang patut dijadikan santapan harian. Temu kunci dipercayai berkhasiat mengembalikan kedaraan wanita selepas bersalin. Segala maklumat mengenai pelbagai khasiat tumbuh-tumbuhan ini terkandung di dalam Kitab Tib Melayu Lama yang berusia lebih daripada 500 tahun yang kini disimpan di Arkib Negara.
Berpandukan buku inilah, seorang pengamal petua kecantikan, Puan Hasnah Abdul Naim, 61 tahun, yang sejak kecil dipaksa makan beberapa jenis daun mengikut malam tertentu. Salinan buku itu kini terdapat dalam simpanannya yang dalam tulisan jawi. Malam Isnin dan malam Khamis, beliau dipaksa makan daun legundi dan daun inai. Pada malam lain, lain pula ulamnya. Jadi, tidak hairanlah jika ada yang menyangka beliau baru berusia lewat 30an. Katanya, orang dulu-dulu tidak menerangkan khasiatnya secara jelas tetapi berkias. "Orang beranak biar banyak kali tetapi biar seperti kain basuh sekali". Maksudnya, biar berapa kali beranak pun, kewanitaan tetap akan terpelihara seperti waktu mula bersama. Umpamakan diri seperti kain, jika dibasuh berkali-kali, tentu luntur warnanya, tetapi dengan mengambil ulam-ulam ini, Insya-Allah, kewanitaan akan kekal lama.
Akar inai juga juga bagus dijadikan tasak untuk mengemaskan rahim bagi mereka yang lepas bersalin. Mereka yang ingin dapat anak lambat selepas berkahwin ataupun menjarangkan anak, boleh juga mengamalkannya. Caranya, ambil sembilan urat akar, rebus dan minum setengah cawan, dua kali seminggu. Jika ingin berehat setahun daripada bersalin, amalkan sepanjang tempoh itu.
KESIMPULAN
Seperti yang dijelaskan, memang tidak dapat dinafikan bahawa tumbuh-tumbuhan sememangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan kecantikan, kesihatan dan pelbagai faedah yang lain. Dengan menggunakan tumbuhan, bagi oarang Islam khasnya, mereka selalu mengamalkan pemakanannya seiring dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran kerana sesungguhnya Allah sahaja yang menentukan segalanya. Walaupun seribu ikhtiar dilakukan, jika Allah tidak mengizinkannya, gunalah apa cara sekalipun, pasti tidak akan berjaya. Di dalam Al-Quran sendiri pun ada menyebut setiap penyakit mempunyai penawarnya kecuali maut.
Apapun petuanya, yang penting ketekunan mengamalkannya. Janganlah baru sekali dua mengamalkannya, sudah terus mahukan perubahan yang mendadak. Setiap petua yang diturunkan, keyakinan dan kesabaran adalah yang paling penting. Andainya tiada faedahnya, pasti nenek moyang kita tidak menurunkan pesanannya kepada anak cucunya. Selain itu, penggunaan bahan asli ini tidak perlu untuk dirisaukan penggunaannya, kerana ianya tidak akan memudaratkan jika diguna berlebihan, tidak seperti bahan-bahan moden yang menggunakan banyak bahan-bahan tambahan dan campuran kimia.
RUJUKAN
1) Amran Kasimin, 1989, Istiadat Perkahwinan Melayu: Satu Kajian Perbandingan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.
2) Suraiya Mohd Noor, Seperti Dara Selepas Beranak, Jelita Oktober 1999, Halaman 164
3) Zunairah Mohd. Radzi, Persiapan Bakal Pengantin, Keluarga Julai 1999, Halaman 75
4) Faizah Sainah Borhan, Petua Kecantikan, Nona Disember 1998, Halaman 181.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment