“Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah)." (Surah An-Naml : ayat 30-31)
Ayat Al-Quran yang saya nyatakan di atas terdapat dalam Surah An-Naml,ayat 30-31, adalah satu perkhabaran tentang Nabi Sulaiman a.s dan Kerajaannya.Surat tersebut dihantar oleh Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis.Ternyata didalam surat tersebut mengandungi ucapan Basmalah.
Banyak ahli tafsir berpendapat ayat Basmalah ini telah diturunkan buat pertama kalinya kepada Nabi Sulaiman a.s dan telah diturunkan kali keduanya kepada Nabi Muhammad saw.Bukankah Nabi Sulaiman a.s mempunyai sebuah kerajaan yang hebat? Banyak ulama berpendapat kehebatan kerajaannya juga adalah berkait rapat dengan ayat Basmalah ini, malah Firaun juga amat mengkagumi ayat Basmalah ini sehingga dia menulis ayat ini diatas Pintu Gerbang Istananya. Apakah rahsianya Firaun berbuat demikian? Bukankah Firaun yang sezaman dengan Nabi Musa as dalam sejarahnya mengaku menjadi Tuhan?(tidak semua Firaun kufur , ada Firaun yang beriman).Firaun sendiri amat tahu sebenarnya Tiada Tuhan melainkan Allah swt, Cuma dia sendiri tidak mahu mengaku dan beriman dengan Allah swt Tuhan Nabi Musa as.
Bukankah ketika perjalanan Nabi Muhammad saw dalam peristiwa Israk mikrajnya ,Baginda telah melihat kalimah Basmalah ini telah ditulis dalam syurga dan ada beberapa mata air sungai yang keluar dari lubang huruf-hurufnya?
Sebagaimana yang kita sedia maklum, keseluruhan Kitab-Kitab suci yang diturunkan oleh Allah swt sebelum ini semuanya terkandung didalam Al-Quran, dan keseluruhan isi Al-Quran itu terkandung dalam Surah Al-Fatihah.Kata seorang penulis buku iaitu Khairul Ghazali dalam bukunya “Misteri Aura & Energi Surah Al-Fatihah” (m/s 117 ):
[“Kandungan utama Al-Fatihah itu adalah ringkasan atau kesimpulan dari kandungan keseluruhan Al-Quran.Sedangkan kandungan Surah Al-Fatihah telah terhimpun di dalam kalimat “Bismillahir rahmanir rahim” dan kalimah Basmalah tersimpul lagi dalam titik ba’ Bismillah”].
Tulis Khairul Ghazali lagi dalam bukunya diatas ketika menerangkan tafsir Basmalah seperti berikut (m/s 120-121):
[“Basmalah” adalah satu ayat yang tersendiri, diturunkan oleh Allah untuk menjadi induk atau ‘pembuka’ bagi setiap surah dan dan sekaligus sempadan antara satu surah dengan satu surah yang lain”
Imam Malik beserta ahli qira’at dan Fuqaha Madinah,Basyrah dan Syam, dan juga Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa Basmalah bukanlah satu ayat dari surah Al-Fatihah atau dari satu surah lain yang dimulakan dengan Basmalah itu.Basmalah tidak dibaca kuat dalam Solat Jahr(solat yang dibolehkan menguatkan bacaan).Sedangkan menurut Imam malik dibolehkan tidak membaca Basmalah sama sekali.
Basmalah adalah satu ayat dari Surah Al-Fatihah dan dari surah yang lain,yang dimulakan dengan Basmalah.Ini adalah pendapat Imam Shafie beserta ahli Qira’at Makkah dan Kufah.Oleh itu menurut mereka, Basmalah boleh dibaca dengan suara keras dalam solat jahr.
Kalau kita perhatikan bahawa sahabat Rasulullah saw telah sependapat( ijmak) menulis Basmalah pada permulaan setiap surah kecuali surah At-Taubah kerana memang dari mula turunnya tidak dimulakan dengan Basmalah.
Rasulullah saw melarang menulis sesuatu yang bukan Al-Quran supaya tidak bercampur aduk dengan Al-Quran.Oleh itu mereka tidak menuliskan ‘aamiin’ di akhir surah Al-Fatihah kerana tidak ada arahan secara langsung dari Rasulullah saw.]
Tulis beliau lagi dalam buku yang sama pada m/s 122-123 berkaitan dengan kalimah Allah, Ar-Rahman dan Ar-Rahim :
[ ‘Allah’ ialah nama bagi Zat yang ada dengan sendiriNya atau Zat Wajibul Wujud.Perkataan ‘Allah’ itu hanya digunakan oleh bangsa Arab kepada Tuhan yang sebenarnya, yang berhak disembah dan yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.Mereka tidak menggunakan perkataan itu untuk tuhan atau dewa-dewa mereka yang lain.
Perkataan ‘ar-Rahman’ berasal dari ‘ar-Rahmah’ yang bererti ‘belas kasihan’. Iaitu satu sifat yang timbul dari perbuatan memberi nikmat dan kurnia.Jadi erti ar-Rahman ialah yang berbuat(memberi) nikmat dan kurnia yang banyak.
Perkataan ‘ar-Rahiim’ juga berasal dari ‘ar-Rahmah’.Erti ‘Rahiim’ ialah ‘orang yang mempunyai sifat belas kasihan dan sifat itu ‘tetap’ padanya selama-lamanya’.
Dengan demikian ‘ar-Rahmaanir Rahiim’ bererti “Tuhan telah memberi nikmat yang banyak dengan kemurahanNya dan telah melimpahkan kurnia yang tidak terhingga, kerana Dia adalah bersifat belas kasihan kepada makhlukNya”.
Oleh kerana sifat belas kasihan adalah satu sifat yang tetap padaNya, maka nikmat dan kurnia Allah tidak akan putus.]
Persoalan berkenaan samada Basmalah termasuk dalam Surah Al-Fatihah atau tidak, maka pendapat yang arjah(terkuat) ialah seperti pendapat Imam Shafie, iaitu ia termasuk dalam surah Al-fatihah lalu Surah Al-Fatihah dikira tujuh ayat.Inilah yang dimaksudkan dengan Firman Allah swt yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya” (Al-Hijr : 87)
Basmalah maksudnya : Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Makna ayat ini ialah, akan memulakan menyebut nama Allah sebelum setiap sesuatu dengan memohon pertolongan kepada Allah dalam segala urusan, kerana Allah bersifat Maha Perkasa di atas setiap sesuatu.
Ibn Jarir berkata : Sesungguhnya Allah mendidik nabi-Nya Muhammad s.a.w. dalam melakukan segala pekerjaan hendaklah dimulakan dengan nama-nama-Nya yang mulia dan dijadikan sunah bagi sekalian makhluk-Nya sama ada percakapan, surat, kitab dan hajat-hajat.
Gesaan ini jelas dengan arahan Allah dalam ayat pertama yang diturunkan dalam surah al-`Alaq. Justeru Allah mukadimahkan ayat ini pada semua surah kecuali surah at-Taubah. Ini kerana mengikut sebahagian ulama, ayat ini untuk memohon rahmat sedangkan surah at-Taubah mengkisahkan tentang perang atau hukuman Allah.
Dicabut
Dinaskan dalam hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya : Setiap sesuatu yang tidak dimulakan dengan basmalah, ia akan terputus. Hadis ini dihasankan oleh an-Nawawi, maksud `terputus' di sini adalah dicabut daripada kebaikan dan berkat.
Al-Alusi dalam kitabnya - Ruh al-Ma'ani berkata : Ulama khilaf adakah ayat ini khusus untuk umat ini atau tidak? Abu Bakar at-Tunisi menaqalkan ijma' ulama bahawa Allah mukadimahkan setiap kitab-Nya dengan basmalah.
Dalam basmalah terdapat tiga nama Allah, iaitu Allah, ar-Rahman dan ar-Rahim. Allah adalah nama bagi zat yang wajib ada yang bergantung segala alam dengan-Nya seperti firman Allah s.w.t : Hai manusia, kamu semua fakir (berhajat) kepada Allah, dan Allah bersifat Maha Kaya lagi Terpuji.
Satu-satunya nama yang dikaramahkan Allah ialah nama-Nya sendiri `Allah' yang tidak disekutukan oleh mana-mana makhluk termasuk manusia yang Islam atau bukan, yang bertamadun atau tidak. Semuanya tidak menamakan anak-anak mereka dengan nama Allah.
Inilah ajaib nama ini.
Perbezaan antara Allah dan ilah, iaitu Allah menunjukkan kepada nama khas bagi zat yang Maha Suci tidak disekutukan dengan yang lain, yang bermaksud Tuhan yang diabdikan dengan sebenarnya. Sebaliknya ilah menunjukkan umum, sama-ada kepada Allah, Tuhan yang sebenar atau tuhan-tuhan lain yang bathil.
Ar-Rahman dan ar-Rahim menunjukkan rahmat Allah yang meliputi sekalian makhluk. Ar-Rahman dan ar-Rahim apabila disekalikan sebutannya memberi makna yang berbeza. Ar-Rahman lebih umum dan di dunia ini, sedangkan ar-Rahim khusus untuk ahli taat di Hari Akhirat. Sebaliknya apabila disebut ar-Rahman atau ar-Rahim sahaja, ia mewakili antara satu sama lain seperti pendapat Syeikh Abdullah Sirajuddin di dalam tafsir surah al-Fatihah.
Hikmah dikhususkan sebutan ar-Rahman dan ar-Rahim dalam basmalah kerana beberapa perkara :
1. Supaya hamba-Nya tahu bahawa Allah Tuhan mereka bersifat Rahman dan Rahim untuk menjadikan mereka taat dan beribadah memohon kepada-Nya.
2. Nama ar-Rahman meliputi segala alam yang kesannya dapat dilihat dan dibuktikan. Dan semua makhluk seperti manusia, jin dan lain-lain dicipta dengan rahmat Allah, justeru dengan menghayati kalimat ini menambahkan lagi ketaatan kita kepada Allah.
Kenapa disebut dengan nama Allah, bukan Allah sahaja?
Persoalan ini timbul adakah diminta harap atau doa kepada Allah atau nama Allah. Jawabnya : Dengan Allah, tetapi Allah sendiri yang menyuruh bertawassul dengan nama-Nya, justeru tidaklah menjadi masalah.
Kedua, al-Allamah Abu Su'ud membezakan antara sumpah dan minta berkat, ini kerana kenyataan seseorang dengan Allah boleh diandaikan sebagai sumpah dan juga tabarruk. Oleh itu diletakkan nama Allah untuk membezakannya. Inilah yang sahih seperti kenyataan ahli tahqiq daripada kalangan mufassirin. ]
Sekian, Wassalam.
No comments:
Post a Comment