Wednesday, June 29, 2011

KHAZANAH ALAM SUMBER KECANTIKAN

SUHAIZA ABD GHANI - A 61301
http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s2_99/a61301.htm


ISI KANDUNGAN

PENGENALAN

RAHSIA KULIT CANTIK BERSERI

PETUA MENJAGA 'MAHKOTA'

TUMBUH-TUMBUHAN BERNILAI ESTETIKA

KESIMPULAN

BIBLIOGRAFI



PENGENALAN

Gambaran nenek atau opah menjerang minyak berjam-jam di atas dapur kayu ataupun menyapu santan pada rambut, pasti terbayang di ruang mata setiap kali bercerita mengenai penjagaan kecantikan secara semulajadi. Maklumlah, ketika itu belum ada teknologi canggih. Lantas wanita silam bergantung kepada sumber asli bagi mengekalkan kecantikan mereka.

Mungkin leluhur kita dahulu kurang arif mengenai kandungan vitamin atau garam galian yang terkandung dalam akar-kayu, daun-daun atau rempah herba yang digunakan. Bagaimanapun, kerana hidup yang sangat rapat dengan alam, mereka berupaya menyelongkar rahsia atau misteri kecantikan yang terkandung di sebalik tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan.

Ternyata keinginan wanita tampil cantik berseri tidak pernah pudar. Walau pada zaman kekurangan, mereka tetap berusaha mencipta petua mengekalkan kecantikan. Akan tetapi, kaedah yang digunakan tidak secanggih sekarang kerana wanita dahulu hanya bergantung kepada bahan sedia ada.

Lagipun masalah kecantikan ketika itu tidaklah serumit sekarang. Wanita silam hanya ingin mengekalkan kecantikan, bukan mengubah wajah, rambut atau kulit mereka. Berbeza wanita penghujung abad ini, bukan sahaja mahu cantik, tetapi mahu tampil berbeza berbanding sedia kala.

Misalnya, rambut hitam mahu diperangkan. Jika lurus, teringin kerinting. Hidung sudah mancung, ditinggikan lagi. Apalagi yang kemik dan pesek. Selain itu, masalah pencemaran alam serta penipisan lapisan ozon membuatkan lebih banyak timbul masalah kecantikan yang pelik dan rumit.



RAHSIA KULIT CANTIK BERSERI

Wanita silam mengutamakan kecantikan kulit dan rambut. Justeru, mandi lulur sangat digemari. Mungkin kerana mereka kerap berjemur di bendang dan ladang. Kesannya kulit mudah dibakar matahari, menjadi gelap, kering dan bersisik. Lantas mereka rajin menyediakan ramuan mandi lulur, sama ada menggunakan beras tumbuk ataupun rempah-ratus.

Ia bertujuan melembut serta menghaluskan kulit. Biasanya, padi yang baru dituai diasingkan secupak dua, dibuang kulit dan direndam berhari-hari. Airnya mesti diganti dua kali sehari agar tidak busuk. Setelah separuh lembut, ia ditapis dan ditumbuk separuh lumat.

Setiap kali sebelum bersiram, beras lumat yang dicampur perahan limau nipis disapu pada seluruh badan. Apabila separuh kering, baru disental untuk mengeluarkan daki degil dan sel mati. Selain berlulur, amalan mandi susu (berendam), juga disukai untuk mencerahkan kulit.

Jika mahu berseri, sesekali mereka mandi bunga dengan mencampurkan tujuh jenis bunga bersama sedikit perahan limau. Bagi wanita bersalin, mandian daun-daun kayu paling digemari untuk membuang angin di dalam badan, melancarkan peredaran darah serta mengharumkan badan.

Hampas kelapa digunakan untuk menyental daki. Selain itu, campuran kapur makan dan perahan limau nipis pula untuk menyental daki pada ketiak dan pelipat kaki.

Ada juga menggunakan beras pulut. Caranya mudah- goreng beras pulut tanpa minyak hingga kuning, kemudian tumbuk lumat. Ambil segenggam, titikkan air agar lembap,gosok pada bahagian bermasalah. Bagi mengelakkan kulit kering, mereka sapukan pula gel aloe vera (lidah buaya) ataupun minyak sayur-sayuran.

Bedak sejuk daripada beras juga sangat elok untuk menyejukkan muka, menghilangkan ruam serta menghaluskan kulit. Biasanya beras direndam berbulan-bulan hingga lembut, dititik di atas daun pisang dan dijemur berhari-hari. Setelah kering, disimpan di dalam mangkuk tanah dan dicampur hirisan daun pandan, bunga melati atau mawar agar berbau harum.

Bagi mengelakkan jerawat atau gatal-gatal, kunyit hidup yang ditumbuk lumat disapu pada seluruh wajah kerana ia mengandungi antiseptik semulajadi. Parutan buah jambu muda juga elok untuk menghilangkan jerawat. Bagi menegangkan kulit muka, putih telur segar (baru bertelur) disapu, manakala pupur parutan lobak dan timun untuk menyegarkan kulit.

Selain itu, pupur kacang hijau dan badam juga kerap digunakan untuk menjaga muka. Gel aloe vera boleh digunakan sebagai pelembap. Bagi menghilangkan parut yang masih baru pada muka, kulit pisang emas (bahagian dalam) disental pada kulit muka ataupun buih daripada kayu api (misalnya kayu getah) disapukan.



PETUA MENJAGA 'MAHKOTA'

Walaupun pelbagai teknologi canggih diperkenalkan bagi merawat serta mencantikkan rambut, masih ramai wanita suka mengamalkan petua orang tua-tua untuk menjaga ‘mahkota' mereka.

Antara yang paling terkenal dikalangan orang Melayu ialah penggunaan santan. Khasiatnya memang terkenal untuk melembut serta melebatkan rambut. Caranya mudah, ambil kelapa tua dan perah pekat-pekat. Biarkan sejam agar patinya naik, baru disapu pada rambut. Gunakan jari atau sikat bergigi jarang. Balut dengan tuala bersih dan perap setengah jam.

Selain itu, minyak kelapa yang dibuat sendiri juga elok untuk merawat rambut kering, pecah hujung serta mudah gugur. Caranya mudah- perah santan daripada dua atau tiga biji kelapa tua. Ambil yang pekat sahaja (dua kali perahan). Kemudian jerang di dalam kuali besar tebal. Sebaik-baiknya guna dapur kayu kerana tempoh memasak minyak kelapa ini sangat lama (hampir sehari). Kemudian biarkan ia sejuk dan baru dijaram pada kepala.

Selain itu, minyak bijan juga elok untuk melebatkan serta menghitamkan rambut. Agar lebih harum, minyak dicampurkan dengan bunga melati atau daun pandan. Bagi mengelakkan rambut hapak, sisa minyak dipastikan telah dibasuh sebersih-bersihnya.

Wanita Jawa pula gemar menggunakan abu batang padi untuk mencuci rambut. Biasanya batang padi yang baru dituai, dibakar. Kemudian direndam semalaman, baru ditapis. Hampas tapisan batang padi digunakan untuk mencuci rambut kemudian dibilas dengan air rendamannya. Selepas itu baru dicuci dengan air biasa sebersih-bersihnya.

Bagi menghilangkan kelemumur, campur air perahan limau nipis dengan sedikit air dan genyeh pada kulit kepala. Ada juga yang rajin, mengumpul embun pada awal pagi dan diusap-usap pada pangkal rambut. Ia dipercayai mampu mempercepatkan pertumbuhan rambut serta mengelakkan sakit kepala.

Selain itu, lendir daun bunga raya atau gel lidah buaya elok disapu pada kulit kepala untuk menyejukkannya serta mengelakkan rambut gugur. Ia juga bertindak sebagai perapi.

Dikalangan wanita Barat, penggunaan minyak buah pic, ginseng (Notoginseng) dan minyak bunga kesumba (safflower) digunakan secara meluas untuk mengatasi rambut gugur. Ada yang menggunakan gel kaktus dan lidah buaya (aloe vera). Wanita Cina dan Jepun pula menyukai pelbagai jenis akar ginseng, akar Dong Quoi, teh herba Cina dan halia untuk merawat rambut mereka.

Sebenarnya, setiap wanita dari negara berbeza mempunyai cara tersendiri untuk merawat masalah kecantikan. Tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, bunga dan daun kayu yang digunakan juga berbeza, bergantung keadaan geografi serta cuaca dan musim di negara berkenaan. Misalnya, wanita New Zealand memanfaatkan buah kiwi untuk mengatasi seribu satu masalah kecantikan dan kesihatan mereka.



TUMBUH-TUMBUHAN BERNILAI ESTETIKA

Perkembangan pesat dunia sains secara global menyaksikan pelbagai penyelidikan dibuat pada pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Ini bertujuan untuk mengeksploitasi khasiat tumbuh-tumbuhan ini sebagai ramuan dalam menghasilkan produk penjagaan kecantikan. Berikut diberikan beberapa contoh tumbuhan yang mempunyai nilai estetika yang tinggi dan sering menjadi tumpuan pakar-pakar kecantikan.


Khasiat Limau Purut

Limau purut atau Citrus Hystrix DC tergolong dalam buah-buahan sitrus yang amat terkenal dalam sejarah penjagaan rambut. Sebelum perapi rambut diperkenalkan, perahan limau yang turut mengandungi asid sitrik digunakan serata dunia untuk merapi dan menyinarkan rambut.

Asid sitrik kini lebih dikenali sebagai AHA dengan khasiat tersendiri, sentiasa digunakan membuat krim kulit yang dirumus daripada AHA. Kandungan asidnya membantu mengekalkan kelembapan kulit.

Terkenal sebagai sumber asid sitrik terbaik, buah limau purut berbentuk bulat dan kulitnya hijau berkedut. Pokoknya pula kecil. Batang dan rantingnya dipenuhi duri. Daunnya berbentuk kembar dua, berwarna hijau dan selalunya digunakan sebagai penambah aroma makanan. Ada kala daunnya dijadikan air rebusan mandian terutama ketika dalam pantang.

Buahnya boleh digunakan terus untuk mencuci kepala, dipercayai boleh menghilangkan kelemumur, melegakan kulit kepala dan mengharumkan rambut. Ia juga boleh digosok pada seluruh badan untuk menghilangkan bau badan.

Kini, limau purut turut dijadikan bahan asas barangan dandanan diri terutama syampu dan sabun mandi.



Khasiat Adpokat

Adpokat (bahasa Inggeris avocado), tergolong dalam kumpulan pokok renek, terkenal zaman-berzaman. Bagi puak India Amerika, ia sumber makanan dan agen lemak serta penyembuh penyakit. Sebab itu ramai wanita menggosok minyak daripada buahnya pada kulit agar kulit kekal muda.

Mereka yang tinggal di kawasan tropika menggunakan minyak adpokat untuk melindungi kulit daripada kering atau merekah kesan pencemaran.

Berasal dari Amerika Tengah , ada yang mengatakan negara asalnya Mexico dan perkataan avocado sendiri berasal daripada nama orang Mexico, Ahuacale.

Kini, kebanyakan pokok adpokat ditanam di kawasan tropika dan separuh tropika seperti di California, Florida, Mexico, Amerika Selatan, Sepanyol, Portugal, Israel dan Afrika Selatan. Jenisnya melebihi 400.

Daunnya kusam, berbentuk bujur dan tajam di hujung. Ukurannya 8-20 cm panjang dan 4-9 cm lebar. Bunganya halus berwarna coklat kekuningan dan berada di celah daun.

Manakala buahnya berbentuk bujur seperti pir, bijinya satu dan berisi tebal, lembut, manis dan wangi. Ukurannya antara 7-20 cm dan kulitnya berwarna hijau tua hingga coklat kemerahan seakan ungu serta mudah dikupas.

Adpokat dipercayai ada khasiat semula jadi tersendiri. Daunnya berkhasiat melawas kencing, membuang angin, membetulkan perjalanan haid dan membuka selera.

Buahnya yang mengandungi minyak lemak, lesitin dan phistosterin, digunakan untuk mengubat luka, membetulkan perjalanan haid dan merangsang syahwat.

Selain buahnya dimakan begitu sahaja, minyak adpokat digunakan untuk menyediakan mayonis. Ramai tidak tahu, adpokat kering boleh dikisar untuk dibuat tepung.

Keistimewaan adpokat turut mendapat perhatian pengeluar alat solek dan barangan penjagaan diri kerana berkhasiat melegakan rengsa, menyaman dan melindungi kulit. Ia amat sesuai dan berkesan untuk kulit peka dan kering. Sebab itu, ia digunakan dalam minyak mandian, krim dan losyen khusus untuk kulit kering. Tidak ketinggalan, ia dijadikan bahan utama dalam syampu dan perapi rambut, terutama bagi rambut kering.


Khasiat Zaitun

Pokok zaitun atau olive dalam bahasa Inggeris, sejenis pokok hijau di kawasan separuh tropika, terkenal tumbuh di hampir seluruh Mediterranean terutama kawasan kering.

Berbatang menggerutu hijau kelabu, dengan ketinggian 7-12 meter. Daunnya halus meruncing berwarna hijau kelabu dan sedikit keras. Berbunga halus keputihan, buah yang dihasilkan berwarna hijau kekuningan berbiji ungu seakan batu.

Sejenis tanaman ladang, buahnya dipungut dengan hanya menggoncang pokok. Lalu ia disatukan sama ada untuk membuat minyak atau dimakan begitu sahaja.

Dipercayai minyak zaitun antara minyak masak terbaik, berperisa dan mudah dicerna. Ia juga bahan mentah asas untuk menghasilkan alat solek bermutu. Perahan buah zaitun pada cuaca sejuk boleh menghasilkan 40% hingga 60 % minyak yang mengandungi 75% gliserad (glycerides) daripada asid oleic dan selebihnya daripada asid linolenik dan palmatik. Di bawah suhu tinggi, minyak yang dihasilkan lebih rendah mutunya dan terdedah kepada asid lemak bebas.

Sebagaimana minyak badam dan adpokat, minyak zaitun juga digunakan untuk membersih kulit peka di samping melindungi kulit daripada kering dan tua sebelum waktu, kerana ia berkhasiat melembap dan memulihkan. Sebab itu ia sering digunakan untuk menghasilkan pelembap, krim tangan dan antikedut. Ia boleh digunakan terus tanpa pewangi atau selepas diproses menjadi barangan kecantikan seperti krim, syampu, buih dan minyak mandian.

Difahamkan, losyen dan krim terbaik yang dihasilkan daripada minyak asli khusus untuk kulit kering selalunya mengandungi minyak zaitun atau bijan.

Dari sudut perubatan, minyak zaitun dijadikan perantara kepada ubat yang dilarutkan di dalam minyak seperti untuk mengubati perut memulas, mengeluarkan batu karang halus atau dijadikan julap.

Tergolong antara buah-buahan terkenal, zaitun enak dimakan sama ada sebelum masak atau masih hijau, dibuat jeruk ataupun apabila masak dan berwarna hitam. Kayunya yang keras turut digunakan sebagai bahan ukiran.



Khasiat Urang-aring

Urang-aring (bahasa Inggeris Eclipta atau Daun Siput dalam dialek Sumatera) sejenis tumbuhan liar bertangkai banyak. Tumbuhnya di tempat terbuka seperti di bahu jalan, tanah lapang dan di tepi pantai yang ketinggiannya 1,500 meter dari paras laut.

Tanaman renek ini hanya setinggi 80 cm dalam keadaan tumbuh menegak atau kadangkala terbaring. Batangnya bulat hijau keperangan, berbulu kasar warna putih. Daunnya berwarna hijau bentuk bujur telur, kelilingnya bergerigi halus dan ada kala hampir rata, manakala hujungnya meruncing. Kedua-dua permukaan daun berbulu kasar. Bunganya berbentuk bongkol, kecil, berwarna putih dan di tengahnya berwarna kuning. Buahnya memanjang, pipih, keras dan berbulu.

Dari segi sifat kimia, rasanya bergabung manis dan masam serta sejuk. Ia berkesan menghentikan pendarahan, menurunkan darah dan antitoksin. Kesannya masuk menerusi hati dan ginjal.

Untuk merawat, biasanya seluruh bahagian pokok digunakan, sama ada segar atau kering. Ia turut dipercayai menghentikan muntah darah, batuk darah, kencing darah, berak darah, pendarahan rahim, kurang gizi pada kanak-kanak, keputihan, rambut beruban sebelum waktu dan banyak lagi.

Kini herba yang tumbuh meluas di sepanjang daratan India ini, turut digunakan sebagai bahan kecantikan terutama untuk merawat rambut. Jika dulu ia terkenal dijadikan bahan minyak rambut generasi demi generasi, kini ia dijadikan bahan utama syampu yang dikatakan berkesan mengekalkan seri rambut di samping memantapkan keaslian warnanya.

Dalam bentuk tulen, pokok ini juga digunakan sebagai pewarna semula jadi pada rambut. Ia menyerap cahaya UV dengan berkesan dan menggalakkan peredaran darah pada kulit kepala. Secara umum ia juga membantu pertumbuhan rambut dan mengurangkan keguguran rambut.



KESIMPULAN

Tuntutan hidup yang kian bertambah dan semakin rumit menyebabkan amalan penjagaan kecantikan berasaskan sumber asli kian dilupakan. Tambahan pula kebanyakan wanita sentiasa sibuk dengan kerja dan tugas harian menyebabkan mereka tidak sempat lagi menumbuk beras atau menjerang santan untuk merawat kecantikan.

Bagaimanapun, kesedaran mengenai khasiat semula jadi daripada alam membuatkan kita menghargai kembali barangan penjagaan kecantikan berasaskan bahan semulajadi. Ia mendorong banyak pengeluar menggunakan bunga, daun, akar kayu atau buah-buahan dalam pembuatan kosmetik, krim muka, minyak atau tonik rambut.

Penggunaan bahan semula jadi juga meningkat kerana kecenderungan saintis mengkaji kandungan tumbuh-tumbuhan serta manfaatnya kepada kecantikan. Hasilnya terbongkarlah rahsia garam galian, vitamin A,B,C,D dan E serta asid linolik, asid nucleic, asid alfa hidroksida, asid beta hidroksida, protein dan kalsium.

Bahan -bahan ini sangat penting untuk membaiki tisu atau sel rosak, mengukuhkan struktur rambut, menggalakkan pertumbuhan rambut, merangsang pengaliran darah, menganjalkan semula sel kolagen dan elastin serta melindungi kulit daripada pencemaran alam. Misalnya, kandungan beta kerotin dalam lobak dan tembikai sangat elok untuk membaiki sel dan tisu rosak.

Kini, terpulanglah kepada wanita sama ada mahu memilih barangan kecantikan berasaskan bahan semula jadi untuk merawat kecantikan ataupun mengadun sendiri ramuan dihajati bagi mengatasi masalah kulit atau wajah juga rambut mereka. Walau apa jua kaedah dipilih, berhati-hati dan pastikan bahan digunakan atau disediakan bersih, tiada kesan sampingan dan tidak digunakan berlebih-lebihan. Jika masih ragu-ragu, rujuk kepada yang lebih arif.



BIBLIOGRAFI

1) Siti Haidah Asri; Ubat Awet Muda; Wanita; Ogos 1997; Bilangan 373; Halaman 96
; Utusan Melayu (Malaysia) Berhad

2) Zunairah Radzi; Kenali Khasiat Tumbuh-tumbuhan; Jelita; Jun 1999; Bilangan 274
; Halaman 99; Berita Publishing Sdn. Bhd

3) Wan Normi Hassan; Keajaiban Minyak Mawar; Kosmik; Mei 1999; Halaman 38; Media
Network Sdn. Bhd

4) Azizah Ismail; Tip Kesihatan; Mastika; September 1998; Bilangan 688; Halaman
78; Utusan Melayu (Malaysia) Berhad

5) Salawati Haris; Petua Berubat Menggunakan Buah-buahan Dan Tumbuh-Tumbuhan;
Wawancara; April 1999; Bilangan 24; Halaman 87; Perdana Production House Sdn
Bhd

No comments:

Post a Comment