Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lahi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbh
Saya mulakan tulisan kali ini dengan meng”copy paste” satu artikel yang saya petik dari laman http://www.apisbp.com/v3/USRAH/Amar-Maruf-Nahi-Mungkar.html :
*****************
Amar Ma’ruf Nahi Mungkar
Muqaddimah
adalah suatu usaha yang paling mulia, tinggi kedudukannya, sangat dititikberatkan di dalam Islam. Ianya mesti dilaksanakan agar manusia sentiasa berada di atas landasan yang betul dan tidak menyimpang dari jalan yang sebenarnya. Lantaran itulah jemaah Islam ditubuhkan supaya dapat membimbing hati manusia.
Islam adalah agama samawi yang datangnya dari Allah swt. Islam mementingkan aspek kemasyarakatan dari sudut kekeluargaan, rumahtangga, masyarakat, pergaulan, dan kenegaraan. Islam adalah agama yang bukan hanya mementingkan individualistik (individu tetapi ia mementingkan ummah. Lantaran hidup manusia yang dikenali sebagai golongan yang mudah lupa, lemah dan serba kekurangan, didatangkan para Nabi as sebagai pencetus kebangkitan dan penegur atas segala kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Oleh kerana itulah disyaratkan bahawa hukum Amar ma’ruf nahi Mungkar adalah wajib yang tidak boleh dinafikan lagi. Berikut adalah dalil-dalil kewajipan menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar.
Dalil kewajipan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar
Abul -Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Umar bin Abdul-Aziz berkata: “Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menyiksa orang-orang umum kerana dosa-dosanya orang-orang yang tertentu tetapi apabila perbuatan dosa itu merahajalela dan terang-terangan kemudian tidak ada yang menegur, maka bererti semuanya sudah layak menerima hukuman.”
Dan diriwayatkan bahawa Allah s.w.t. telah mewahyukan kepada Yusya bin Nun.:
“Aku akan membinasakan kaummu empat puluh ribu orang yang baik-baik dan enam puluh ribu orang yang derhaka.”
Nabi Yusya bertanya: “Ya Tuhan, itu orang derhaka sudah layak, maka mengapakah orang yang baik-baik itu?”
Jawab Allah s.w.t.: “Kerana mereka tidak murka terhadap apa yang Aku murka, bahkan mereka makan minum bersama mereka yang derhaka itu.”
Abu Hurairah r.a. berkata:
“Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud): “Anjurkan lah kebaikan itu meskipun kamu belum dapat mengerjakannya dan cegahlah segala yang mungkar meskipun kamu belum menghentikannya.”
Anas r.a. berkata:
“Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud): “Sesungguhnya diantara manusia itu ada yang menjadi pembuka untuk kebaikan dan penutupan dari kejahatan, dan ada juga manusia yang menjadi pembuka kejahatan dan penutupan kebaikan, maka sesungguhnya untung bagi orang yang dijadikan Allah s.w.t. sebagai pembuka kebaikan dan binasa bagi yang dijadikan Allah s.w.t. pembuka kejahatan itu ditangannya.”
BEBERAPA KEPERLUAN KESEDIAAN AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR
1. Keimanan yang mendalam.
Ia bermaksud menganggap Islam itu adalah petunjuk yang benar dan selain dari itu adalah kebatilan. Keyakinan terhadap kebenaran itulah yang menjadi prinsip yang tidak boleh ditawar-tawarkan lagi. Setiap penyelewengan dari prinsip itu adalah kesesatan yang lahir dari nafsu keinginan yang merupakantanda kurang sempurnanya iman.
2. Ilmu yang hak
Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu yang bersandarkan kepada AlQur’an dan AsSunnah yang mulia. Seseorang daie perlu mengetahui segala nas-nas yang berakitan serta hukum supaya ia dapat mengetahui kedudukan sebenar orang yang ingin ditegahnya.
3. Matlamat untuk keredhaan Allah
Tiada yang lebih tinggi dari mendapat keredhaan dan kecintaan Allah. Inilah matlamat setiap para nabi dan Rasul dan juga para sahabat di dalam menempuh amar ma’ruf nahi mungkar ini.
MATLAMAT YANG INGIN DICAPAI MELALUI DAKWAH:
Ada beberapa matlamat umum yang digariskan adalah:-
1. membawa kepada Islam bagi orang yang belum menganut Islam.
2. mempertingkatkan mutu kefahaman dan penghayatan Islam.
3. mendirikan sebuah negara yang diredhai Allah.
4. menuju kepada keselamatan dan kebahagiaan.
5. mendapat Keredhaan Allah.
KAEDAH AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR
Sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Nabi saw, iaitu:-
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya(kuasanya). Jika sekiranya ia tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Dan jika ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman”. (HR Muslim)
1. Dengan tangan ( Kuasa / pemerintahan)
Pemerintahan mempunyai kuasa mutlak untuk menegah dan melarang suatu perbuatan mungkar itu. Ia boleh mengubah atau meletakkan hukuman serta pencegahan bagi rakyat atau orang yang di bawah pimpinannya. Oleh itu, pemimpin akan ditanya lebih dari rakyat atau orang biasa di hari akhirat kelak. Justeru itulah jemaah islam wajib mendapatkan kuasa / pemerintahan sebagai batu asas untuk mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan mungkar kepada masyarakat di bawahnya.
Dalam konteks kemsyarakatan pula, dengan kuasa bermaksud dengan organisasi yang ditadbir. Sebagai contoh, jika seseoang itu menjadi pengarah syarikat atau organisasi pentadbiran, dia boleh melaksanakan sesuatu arahan contohnya mewajibkan kakitangan atau pekerjanya menutup aurat, berkelakuan sopan, mengasingkan antara lelaki dan perempuan, menepati masa dan sebagainya. Mana-mana perlanggaran kepada syariat Islam bolehlah diambil tindakan.
2. Dengan lidah / ucapan / lisan
Kaedah ini hanya boleh dilaksanakan sekiranya seseorang atau kumpulan tidak mampu mengubah dengan kuasa- yang beerti ia mesti dilaksanakan melalui kaedah lidah lisan. Banyak cara atau kaedah yang boleh dilakukan dengan cara ini termasuk;
a.) Nasihat / peringatan – sewaktu Nabi-nabi dan Rasul-rasul menjalankan misi dakwah mereka, mereka menggunakan kaedah nasihat atau peringatan tentang ganjaran dan siksa yang bakal manusia itu tempuh di akhirat kelak. Para diae diingatkan supaya menggunakan kaedah nasihat yang baik terlebih dahulu sebelum menggunakan kaedah ancaman. Cara ini boleh dilakukan melalui ceramah, majlis ilmu, penerangan, dan juga secara peribadi (fardiyah)
b.) Penerangan – Ia meliputi aspek yang meluas seperti ceramah, risalah dan majalah, poster, kempen dan sebagainya
c.) Penulisan – ia juga adalah suatu aspek dakwah yang berkesan. Para daie perlu menguasai ilmu penulisan dan sebarkan kepada masyarakat tentang kebaikan Islam, keburukan kemungkaran yang dilakukan. Penulisan adalah berbentuk komentar, risalah, poster, majalah, surat khabar, memorandum dan sebagainya.
3. Dengan Hati (membenci dan tidak meredhai)
Nabi saw menyatakan bahawa ini adalah kaedah yang paling nipis iman bagi umat Islam. Kaedah ini hanya boleh dilakukan setelah berikhtiar melalui kaedah kuasa dan lidah yang tidak memberikan kesan bahkan memudharatkan seseorang daie atau jemaah Islam itu sendiri. Ini beerti seseorang daie tidak dibenarkan sama sekali meredhai maksiat dan kemungkaran tersebut dan berusaha menjauhinya sedapat mungkin dengan membawa bersama pengikut-pengikut ke tempat lain. Ini kerana untuk mengelakkan kemurkaan dan bala Allah swt di tempat tersebut. Namun jika tidak terdaya membencilah sedapat mungkin sambil berdoa supaya masyarakat yang jahil supaya mereka sedar.
*********************************
Artikel ini sudah amat jelas kepada kita semua tentang pentingnya melakukan amar makruf nahi mungkar. Redha dengan kemungkaran adalah satu musibah amat besar kerana ini menggambarkan orang yang redha ini tidak beriman. Berdasarkan hadis dari Nabi SAW di atas, selemah-lemah iman adalah dengan menolak dengan hati. Redha dengan kemungkaran adalah bermakna tidak menolak dengan hati menjadikan orang tersebut redha dengan kemungkaran tersebut. Ingatlah bahawa selemah-lemah iman adalah dengan menolak dengan hati maka tidak beriman sekiranya tidak menolak dengan hati (redha dengan perbuatan jahat tersebut).
Di Malaysia ini terrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrsangat banyak kemungkaran yang dilakukan sama ada oleh orang Islam mahu pun orang bukan Islam. Melihat kemungkaran yang semakin bermaharajalela, saya alhamdulillah mengorak langkah untuk menyahut hadis Nabi SAW ini (Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya(kuasanya).) dengan menubuhkan Laman Emjay. Bidang yang saya titik beratkan di sini adalah bidang kerosakan akidah memandangkan tidak banyak orang yang melakukan usaha ini. Dengan tangan ini, saya alhamdulillah telah, sedang dan insya-Allah akan terus menentang kemungkaran kerosakan akidah dengan tulisan di Laman Emjay!.
Sudah lama saya di tanya oleh para pembaca Laman Emjay mengenai satu pusat rawatan yang kononnya mengamalkan secara Islam iaitu AKADEMI RAWATAN ISLAM NUR EHSAN (AKRINE) ATAU PUN PUSAT RAWATAN ISLAM NUR EHSAN. Laman web pusat ini dapat diakses melalui http://akrine.blogspot.com
Pada sebelah kanan laman blog tersebut tertera iklan buku Akrine seperti tersebut:
“Tempahan secara on-line
Buku ini juga menggariskan panduan-panduan mengesan tanda-tanda gangguan serta perkara-perkara yang membantu pembaca mengesan dan merawat secara individu gangguan pada peringkat asas.
Bahagian kedua buku ini mengandungi panduan merawat yang lengkap termasuklah teknik penyediaan air penawar, mengikat, menikam serta menyembelih jin, menarik jin menggunakan serban, menyedut jin masuk botol, memindah jin, mengikat secara ayat, memukul, memancung, ayat-ayat rukyah dll teknik yang digunakan oleh AKRINE.”
Buku ini menurut laman ini, boleh ditempah secara on-line dan harga buku termasuk pos adalah RM35.00 (Semenanjung) RM40.00 (Sabah & Sarawak).
Daripada sedikit sinopsis tentang buku Akrine ini, buku ini akan mengajarkan secara lengkap ilmu untuk mengikat, menikam serta menyembelih jin, menarik jin menggunakan serban, menyedut jin masuk botol, memindah jin, mengikat secara ayat, memukul dan memancung. Marilah kita sebagai umat Islam membuka minda dan berdoa-doa bersungguh-sungguh kepada Allah SWT minta ditunjukkan “adakah buku Akrine ini dibenarkan menurut Islam yang sebenar???”.
Kebelakangan ini bab memindah jin makin kerap saya dengar. Di dalam tulisan saya bertajuk Histeria di SMK Tanjung Lumpur - satu kupasan di http://emjayjb.multiply.com/journal/item/206 saya ada menceritakan tentang Sahabudin Sham Sudin yang menunjukkan van yang digunakan untuk membawa keluar 'anasir' (Jin) dari SMK Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang. Di U** satu ketika dahulu pun sebuah rumah besar yang kerap ada gangguan telah menggunakan kaedah yang sama dimana jin-jin atau anasir jahat ini telah dipindahkan dengan menggunakan bas. Untung juga jin-jin ini kerana merasa naik bas!!
Adakah kerja memindahkan jin sebagaimana dilakukan oleh Akrine ini memang satu ajaran Islam? Kalau ia adalah satu ajaran Islam, adakah dalilnya? Sepengetahuan saya belum pernah saya terdengar Nabi SAW atau para sahabatnya menggunakan unta atau kuda untuk memindahkan para jin?? Janganlah kita mudah sangat percaya cerita karut khurafat seperti ini. Para pengamal Akrine ini macam lebih hebat berbanding Nabi SAW dan para sahabat. Hanya Nabi Sulaiman sahaja yang diberikan Allah kelebihan untuk mengawal jin namun ini adalah kelebihan Allah yang hanya diberikan kepada Nabi Allah Sulaiman. Tentang kisah Nabi Sulaiman ini, silalah para pembaca Laman Emjay membaca semula artikel saya bertajuk “Kisah tangkap jin dan masukkan ke dalam telur & hafiz pangkat besar menyesatkan!” di http://emjayjb.multiply.com/journal/item/129 yang telah saya tulis pada 7 June 2007. Di dalam artikel ini menceritakan bagaimana nabi Muhamad SAW mencekik jin yang melintasinya sewaktu solat dan kemudian melepaskannya kerana teringatkan doa Nabi Sulaiman agar kelebihan mengawal jin biarlah menjadi kelebihan Nabi Sulaiman sahaja sesuai dengan doa Nabi Sulaiman dan keizinan yang telah diberikan Allah SWT.
Adalah benar dan sahih bahawa kerja pindah-pindah jin ini sama sekali tidak pernah termasuk di dalam syariaat Nabi Muhamad SAW. Segala bentuk meruqyah telah jelas disyariaatkan dalam Islam jadi dengan itu kerja memindah jin tu datang dari syariaat mana?? Menambah syariaat Islam jikalau menurut Imam Syafiee adalah merosak akidah. Atau adakah kita dibenarkan untuk menurut syariaat nabi Sulaiman?? Seandainya bab mengawal jin ini dibolehkan, kelak bagaimana pula sekiranya ada orang lelaki berkahwin 20 isteri dengan hujah mengikut syariat Nabi Sulaiman????
Secara mudahnya saya melihat amalan memindahkan jin-jin ini seolah-olah pengamal Akrine dan bomoh sesat lainnya lebih hebat daripada nabi Muhamad SAW serta para sahabat!!! Mungkin kalau beginilah hebatnya pengamal-pengamal ini, saya mencadangkan selepas ini pengamal di Akrine boleh mengusahakan perusahaan pelancongan khusus untuk membawa para jin melancung ke Hawaii atau Gold Coast Australia.
Satu persoalan yang boleh ditimbulkan sekiranya jin boleh dipindahkan ialah sekiranya selepas dipindahkan jin ini adakah jin-jin tersebut tidak boleh balik semula ketempat asalnya tadi?? Jadi sekiranya jin-jin tadi boleh kembali semula, bukankah elok jika diwujudkan pula penjara untuk jin-jin??? Itulah sekiranya seseorang memulakan sesuatu yang bukan-bukan seperti memindahkan jin ini, fantasi seseorang boleh menerobos kepada perkara yang pelik-pelik tidak habis-habis dan tiada kesudahan!!!
Marilah kita ambil iktibar dari saranan Nabi Muhamad sepertimana riwayat daripada Anas Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika hendak masuk TANDAS, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam berdoa:
Maksudnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari syaitan khubtsi (lelaki) dan syaitan khaba’its (perempuan)” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Marilah kita memahami hadis sahih ini bahawa kita hanya meminta perlindungan kepada Allah SWT dari jin yang mendiami tandas ini dan sama sekali kita tidak disarankan untuk berdoa agar Allah SWT memindahkan jin-jin ini dari tandas. Maknanya sekiranya orang berdoa sebelum masuk tandas dan Allah memakbulkan doa tersebut maka mungkin banyak jin berkeliaran dalam tandas namun jin-jin ini tidak dapat memberikan mudharat akibat perlindungan dari Allah. Manakala orang yang tidak berdoa, banyaklah jin-jin yang memudharatkan manusia di dalam tandas tersebut.
Seterusnya di dalam iklan buku Akrine sebagai dijelaskan di atas, pengamal Akrine seolah-olah diberikan ilmu Nabi Sulaiman sehingga mereka boleh pula mengikat, menikam serta menyembelih jin, menarik jin menggunakan serban, menyedut jin masuk botol, mengikat secara ayat, memukul dan memancung. Saya apabila membaca kenyataan ini kadang-kadang hendak marah tetapi kadang-kadang macam hendak ketawa!! Sekali lagi saya minta para pembaca bacalah dan fahamilah artikel yang saya tulis bertajuk “Kisah tangkap jin dan masukkan ke dalam telur & hafiz pangkat besar menyesatkan!” di http://emjayjb.multiply.com/journal/item/129 .
Sekiranya orang Islam menurut syariat Nabi Muhamad SAW dibolehkan untuk mengikat, menikam serta menyembelih jin, menarik jin menggunakan serban, menyedut jin masuk botol, mengikat secara ayat, memukul dan memancung, adalah wajar sekali Nabi Muhamad SAW dahulu beserta Abu Bakar dan para sahabat juga mengistiharkan perang kepada sekalian jin dan iblis. Pastinya jikalau sudah banyak iblis dan jin syaitan yang dibunuh oleh Nabi Muhamad SAW dan para sahabat, kuranglah gangguan kepada umat Islam dan kepada orang kafir. Jikalau seandainya Nabi Muhamad SAW mempunyai keistimewaan ini, pastinya nabi telah mencekik dan mencincang syaitan jin yang mengganggu bapa saudara baginda Abu Talib sewaktu Abu Talib dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan sekiranya syaitan jin ini semuanya telah berjaya dibunuh, tidaklah Nabi Muhamad SAW amat bersedih hati kerana pastinya Abu Talib ini akan memeluk Islam diakhir hayatnya. Namun hakikatnya ialah Nabi Muhamad amat bersedih hati kerana bapa saudara kesayangan Nabi ini mati dalam keadaan kafir. Jadi jikalau ada orang bercerita si polan dan si polan mampu membunuh jin, janganlah percaya cerita karut ini kerana sesungguhnya Nabi Muhamad tidak pernah membunuh walau pun seekor jin!
Sesiapa yang ingin lebih memahami konsep Iblis, jin dan syaitan, silalah ke http://emjayjb.multiply.com/journal/item/93/Iblis_syaitan_dan_jin?replies_read=19 .
Sekiranya iblis iaitu satu makhluk dari golongan jin boleh menurut Akrine boleh dibunuh, disembelih dan dicincang, maka adakah ayat Al Quran berikut MENIPU manusia?? Lihat terjemahan ayat Al Quran berikut iaitu Al A’raaf:14 – 18:
14. Iblis berkata: berilah tempoh kepadaKu hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)".
15. Allah berfirman: "Sesungguhnya Engkau (iblis) dari golongan Yang diberi tempoh
16. Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus;
17. "Kemudian Aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".
18. Allah berfirman: "Keluarlah Engkau dari syurga sebagai makhluk Yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka Yang menurutmu, tetaplah Aku akan memenuhi neraka jahanam Dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya;
Dari keterangan Al Quran Al A’raaf:14-18 di atas, dapat ditafsirkan bahawa Allah telah memberi izin kepada iblis untuk panjang umurnya (hingga beribu tahun?) untuk memainkan peranannya iaitu tidak lain dan tidak bukan untuk menyesatkan manusia dan jin lainnya.
Tambah gelihati saya apabila mendengar ada orang yang mampu ikat jin guna ayat atau masukkan jin ke dalam botol. Agaknya botol yang digunakan untuk menangkap jin ini berapa tebalnya dan ditutup dengan gabus atau logam? Agaknya tidak adakah jin lain yang akan menolong membuka penutup botol tersebut apatah lagi jin pada waktu zaman Nabi Sulaiman mampu membina bangunan besar tersergam indah? Kalau bangunan besar boleh dibina, apakah menjadi masalah untuk rakan-rakan jin lainnya membuka penutup botol tersebut? Jin yang bodoh atau manusia yang dungu?
Dalam bab kisah jin dalam botol ini, ingin saya bawakan satu hadis dari Jabir bin Abdullah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, "Bila hari telah senja, laranglah anak-anak keluar rumah kerana pada ketika itu setan berkeliaran. Seketika (~1 jam) sesudah itu bila telah malam maka biarkanlah mereka. Kuncilah pintu dan sebutlah nama Allah, kerana setan tidak dapat membuka pintu yang bertutup/berkunci. Tutup tempayanmu dengan menyebut nama Allah. Tutup semua bekas makanan mu dengan menyebut nama Allah, sekalipun dengan meletakkan sesuatu di atasnya dan padamkan lampu (ketika hendak tidur). Hadis riwayat Muslim.
Dalam kes menutup tingkap dan pintu ini, itulah sebabnya ramai orang tua menyuruh kita semua mengamalkannya sebelum masuk waktu maghrib. Setelah pintu dan tingkap ini ditutup, bagaimana dengan lubang “ventilation” dan perbagai lubang lain seperti di bawah pintu? Adakah segala lubang ini perlu ditutup dengan kedap udara?? Kalau sudah kedap udara bagaimana pula nak bernafas? Kalau rumah dibuat dari kayu dengan banyak sekali lubang angin di sana sini, adakah syaitan akan masuk ke rumah??
Bagi pandangan saya, pintu dan tingkap dapat mengelakkan syaitan masuk waktu maghrib adalah bukan dengan sebab fizikal pintu dan tingkap tersebut namun ALLAHlah yang memberikan rahmat dengan menghalang masuknya syaitan ke dalam rumah akibat kepatuhan manusia dan bukan akibat fizikal tingkap dan pintu. Jikalau hanya dengan menutup pintu dan tingkap akibat patuh dengan perintah dapat mengelakkan syaitan masuk rumah, apalah ada dengan usaha menggunakan botol untuk menangkap jin?
Seterusnya mari kita lihat pula kaedah perawat Akrine merawat berdasarkan petikan yang saya ambil dari web mereka di sini seperti berikut:
“Saya: (Membaca Selawat Tarfijiyah sambil gaya hembus membayangkan kepala isterinya).”
Rupa-rupanya para perawat Akrine macam sealiran dengan Darus Syifak atau mungkin mereka ini adalah bekas murid guru dari Darus Syifak. Berkenaan merawat menggunakan Selawat Tafrijiah ini, silalah baca artikel saya bertajuk Penjelasan berkenaan Selawat Syifak dan Selawat Tafrijiah dan #2 Penjelasan berkenaan Selawat Syifak dan Selawat Tafrijiah BAHG. 2 . Berkenaan perawat yang menggunakan selawat ini, nasihat saya ialah jauhilah mereka kalau boleh sejauh antara timur dengan barat. Berikhtiar melalui mereka ini seolah-olah menghabiskan beras sahaja.
Hujah saya seterusnya berkenaan perawat Akrine adalah berkenaan tulisan yang juga terdapat di http://akrine.blogspot.com/2009/06/pengalaman-merawat-21-merawat-migraine.html seperti berikut:
“Saya: "Ok sekarang baca ayatul kursi untuk melindungi diri kamu. Pastu baca Yaasin ayat 9 pada tapak tangan kamu dan hembus. Terus tadah tangan kamu untuk saya baca ayat untuk dihembus dari jarak jauh."”
Sekiranya mengikut perawat Akrine ini, Ayatul Kursi sungguh hebat sekali sehingga boleh melindung diri. Kalau beginilah, Allah boleh berehat dari memberikan rahmatNya maklumlah ayatul Kursi sudah boleh melindungi manusia!!!!?? Untuk memahami perkara ini dengan lebih lanjut, pembaca boleh membaca artikel saya bertajuk INGAT ALLAH DAPAT RAHMAT, INGAT AYAT KURSI AZAB BERTAMBAH dan SAMBUNGAN CERITA 6 KALI BERANAK ..... KENA TINDIH WAKTU TIDUR serta Jampi boleh bawa syirik tulisan dari Amran Kasimin.
Saya ingin mengulang semula kata-kata Amran Kasimin dalam artikel “Jampi boleh bawa syirik” sebagai berikut:
“Menurut keterangan hadis ini, jampi mantera ada kalanya boleh menyebabkan seseorang itu syirik. Di antara sebutan yang boleh menyebabkan syirik ialah ungkapan meminta perlindungan kepada makhluk seperti jin, menyamakan qudrah Allah dengan keupayaan makhluk-makhluk, beriktikad keberkatan jampi mantera yang boleh menyembuhkan penyakit, memberi kuasa, kekuatan atau hikmat terhadap objek-objek tertentu.”
Itulah sebabnya saya katakan bahawa meminta perlindungan dari ayat Kursi menurut Amran Kasimin membawa Syirik! Bacalah artikel dari Amran Kasimin ini sambil berdoa semoga diberikan Allah kefahaman darinya.
Tulisan saya bukanlah berniat untuk memfitnah atau kerana hasad dengki namun adalah atas dasar amar makruf nahi mungkar. Sekiranya saya tersilap dengan mana-mana bahagian yang telah saya utarakan, jawablah dengan baik secara ihsan. Mudah-mudahan wadah ini dapat kita semua manfaatkan untuk mencari redha Allah SWT.
Sekian wassalam wallahuaqlam
Emjay
yang penting,niat,doa,rukyah dan teknik
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeletesekadar baca buku tu xcukup ye,kena berguru,faham...dan yang penting,niat,doa,ruqyah dan teknik
ReplyDeletesekadar baca buku tu xcukup ye,kena berguru,faham...dan yang penting,niat,doa,ruqyah dan teknik
ReplyDelete