Tidak dapat dinafikan betapa pentingnya ilmu itu dalam kehidupan. Tanpa ilmu, manusia akan menjadi kaku. Hendak berbuat, tak tahu caranya. Hendak bergerak, tak tahu langkahnya. Hendak berpergian, tak tahu arahtujuannya. Untuk menguruskan hal dunia, kita perlu kepada ilmu. Untuk menguruskan hal Akhirat pun, lebih-lebih lagi kita perlu kepada ilmu.
Islam amat menitikberatkan tentang ilmu. Tidak serupa orang yang berilmu itu dengan orang yang tidak berilmu. Allah mengangkat orang-orang yang berilmu itu beberapa darjat. Allah lebih suka kepada ulama yang fasiq daripada orang jahil yang taat. Orang yang jahil itu adalah seteru Allah.Ilmu itu ibarat obor yang menyuluh. Dengan ilmu, kita dapat melihat jalan-jalan yang patut ditempuh. Dengan ilmu, kita dapat melihat mana jalan yang benar dan mana jalan yang salah; mana jalan yang baik dan mana yang buruk; dan mana jalan yang hak dan mana jalan yang batil. Orang yang mempunyai ilmu itu ibarat orang yang mempunyai obor di malam yang gelap-gelita. Dia boleh menerangkan kegelapan untuk dirinya dan juga untuk orang lain.dengan ilmunya. Hanya setakat tahu, belum tentu ilmu itu dapat memberi kebaikan atau manfaat kepada yang memilikinya. Berlainan dengan faham. Faham itu ialah tahu lahir dan batinnya, tahu yang tersurat dan yang tersirat di sebaliknya.
Akan tetapi, ilmu semata-mata tidak menjamin apa-apa. Kalau banyak pun ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu, tidak bermakna dia akan selamat dari terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat. Seperti juga orang yang mempunyai obor, tidak semestinya dia tidak akan sesat atau tidak akan tersungkur.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:“Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan baginya, Dia akan memberinya faham tentang agama.”
Tidak dikatakan “… akan diberinya ilmu tentang agama.” Jadi, orang yang mempunyai ilmu itu tidak semestinya dia faham dan tidak semestinya dia dapat beramal, sesuai dengan ilmunya. Hanya setakat tahu sahaja, belum tentu ilmu itu dapat memberi kebaikan atau manfaat kepada orang yang memilikinya. Berlainan dengan faham. Faham itu ialah tahu lahir dan batinnya, tahu yang tersurat dan yang tersirat di sebaliknya.
Di samping ilmu, apa yang sebenarnya kita perlukan ialah taufiq iaitu pimpinan Allah. Dengan taufiq, segala amal perbuatan kita akan setentang atau tepat dengan ilmu. Barulah ilmu itu menjadi ilmu yang bermanfaat bagi kita dan dapat kita menjadi orang yang beramal dengan ilmunya. Islam itu ialah iman, ilmu dan amal.
Tanpa taufiq inilah maka kita sering lihat orang yang amalannya tersimpang dari ilmunya. Tidak kurang kita lihat orang yang mengajar ilmu tauhid tetapi dia sendiri tidak mampu berjiwa tauhid. Atau orang yang alim tentang hukum sembahyang, tetapi dia sendiri tidak mendirikan sembahyang. Atau ulama-ulama yang secara terus-menerus terlibat dengan dosa-dosa besar. Atau ulama-ulama yang mengubah hukum-hakam untuk menjaga kepentingan pangkat, jawatan dan kedudukannya, dan yang menggunakan ilmunya untuk membenarkan tindak-tanduknya yang salah.
Malahan ada manusia yang bertaraf profesor di universiti universiti di Barat yang hafaz Al Quran dan hafaz beribu-ribu hadis, lengkap dengan perawinya, bahkan pula layak memberi ijazah dan Phd. pengajian Islam kepada graduan-graduan Islam, tetapi mereka sendiri tetap kufur dan tetap tidak beriman kepada Allah.
Ulama yang tidak beramal dengan ilmunya akan masuk Neraka 500 tahun lebih dahulu dari penyembah berhala. Dan di kalangan ulama ada yang digelar ulama “suk” atau ulama jahat yang kerjanya melarang manusia menuju kepada Tuhan dan menyusahkan manusia membuat kebaikan dan kebajikan. Maksiat dan kemungkaran tidak pula dilarang atau ditegurnya. Rasulullah SAW memerintahkan kita supaya lari dari ulama jahat seperti ini seperti mana kita lari dari singa yang ganas. Dunia telah masuk dan bersarang di dalam hati-hati mereka. Mereka merosakkan agama di atas nama agama.
Ilmu itu amanah Allah. Kalau kita diberi ilmu, kita bertanggungjawab. Kita perlu mengamalnya, menyampaikan atau mengajarnya dan memperjuangkannya. Di Akhirat nanti, kita akan disoal tentang ilmu yang ada pada kita itu.
=== sekian ===
No comments:
Post a Comment