Sunday, July 24, 2011

ULAMA, PENDAKWAH & BUDAYA CARI MAKAN

Oleh : Fauzi Sabri

Saya tertarik untuk berkongsikan artikel tulisan seseorang ini. Pedas tapi mungkin ada benarnya....Wallahualam. Jemput terus membaca...bukan untuk merendah-rendahkan golongan ini, tetapi inilah realiti. Selalu kita dengar, apabila ulama dan umara' rosak, maka rosaklah masyarakat tersebut. Maka agaknya, siapakah yang rosak dahulu? ulama' atau umara'? Jika umara' yang rosak...masih ada ulama' yang berperanan menegur. Tetapi jika ulama' yang rosak, siapa pula hendak tegur? Teruskan membaca....

Ulama, Pendakwah & Budaya Cari Makan

Tajuk ini bukan mencela atau menghina golongan yang tersenarai sebagai sabda nabi sebagai kumpulan yang perlu dihormati malah disifatkan nabi sebagai pewarisnya. Namun perkataan ulama terutamanya hari ini hanyalah satu gelaran ataupun panggilan yang dalam banyak keadaan si empunya panggilan ini langsung tidak memiliki keperibadian seorang ulama, kecuali mulut yang petah berkata-kata kerana mereka memiliki berbakul-bakul ilmu.

Ulama, pendakwah umpamanya kini telah pun menjadi golongan elit ataupun disindirkan sebagai golongan bangsawan Islam yang kedudukannya sangat tinggi bukan di atas tingkat kerusi atau pangkat tetapi seakan-akan bersila di atas timbunan buku-buku dan kitab–kitab ilmuan mereka.

Bagi saya perkataan ulama hari ini tidak ubah seperti pergelaran Datuk yang bersepah dan lebih menyedihkan ulama hari ini menggunakan status quo piawaian Islam terhadap kemurniaan gelaran itu untuk kepentingan peribadi bagi permainan duniawi mereka dengan menjual segala pengetahuan dunia akhirat.

Saya tidak takut untuk mencela golongan ini malah sudah sampai masanya insan biasa seperti saya selaku umat Islam menuding jari ke batang hidung ulama supaya segera bermuhasabah, sedar diri dan paling penting kalau merasa diri tidak layak eloklah memakai gelaran Pak Lebai sahaja.

Apabila isu lapan pengidap HIV Melayu Islam terpaksa menumpang di sebuah gereja di Rawang kerana ketiadaan tempat tinggal ia bukan isu baru tentang bagaimana gereja “tanpa sebarang prejudis saya tidak menggangap usaha ini sebagai satu taktik mengkristiankan orang Islam, tetapi sebagai nilai murni orang Kristian yang menyeru kepada kasih sayang dan kebaikan”.

Bagi organisasi gereja, peranan mereka turut membabitkan usaha membela golongan terbiar. Adalah tidak adil, sekiranya usaha kemanusiaan itu dianggap sebagai misi kristianiti, hanya kerana gereja turut menyediakan khidmat kemanusiaan kepada orang Islam yang tersisih dan terbiar.

Kita tidak boleh lagi menggunakan alasan Tok Kaduk: Sentiasa menyalahkan orang lain apabila kita gagal menjalankan tanggungjawab terhadap bangsa dan agama sendiri.

Kenapa ulama dan pendakwah yang saya bantai?

Kerana ulama adalah peneraju bagi gerakan ummah samada berorentasikan gerakan dakwah masjid, pertubuhan kebajikan atau apa jua bentuk peranan yang lebih dominan yang sepatutnya mereka mainkan sesuai dengan cabaran zaman yang tidak lagi memerlukan kelompok ulama elit yang lagaknya duduk di bilik mewah berkenderaan kelas A dan sentiasa sibuk ala-ala CEO agama.

Pengalaman Satu

Setahun yang lalu dengan biaya yang diberikan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan saya menerbitkan sebuah dokumentari mengenai kisah seorang gadis AIDS yang sudah berada ditahap kronik dan dilaporkan oleh doktor mempunyai peluang hidup antara enam bulan ke dua tahun. Gadis ini adalah mangsa rogol ketika masih kanak-kanak dan kemudian tercampak ke Chow Kit lalu menjadi pelacur dan penagih dadah.

Enam tahun lalu, ketika ditahanan penjara, gadis ini disahkan HIV positif, dan mula menerima kesan kemerosotan kesihatan yang sangat mendadak. Ini menyebabkan dia mengalami radang paru-paru dan menghabiskan sebahagian besar waktunya dengan terbaring di kaki lima jalan.

Atas persetujuan AADK, gadis ini kami pilih sebagai watak utama dalam dokumentari khas yang ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri 2008 melalui Saluran Ria.

Tragedi gadis ini bukan sekadar penderitaan HIV, tetapi lebih menyedihkan enam tahun lalu, ketika mengalami masalah kesihatan dan ketiadaan biaya untuk mendapatkan bekalan ubat bagi penyakit HIV yang dideritainya gadis ini ditemui oleh sekumpulan pendakwah wanita beragama Kristian dan diberikan perlindungan disebuah gereja dengan peruntukan perubatan bagi merawat penyakitnya yang menjadi sangat kronik kerana beliau juga mengidap asma yang serius.

Akhirnya tanpa dipaksa dia mengaku kepada saya telah memeluk agama Kristian kerana amat terharu dengan kasih sayang, perhatian dan sokongan yang diberikan oleh pihak gereja ketika beliau melalui sisa–sisa kehidupan yang perit di penghujung hidupnya.

Waktu itu, penagih dadah dan pelacur dianggap jijik oleh masyarakat dan menjadi bertambah jijik dengan kempen-kempen dan pandangan sempit para ulama, yang menjual air liur dengan mencela golongan ini sebagai puak yang dilaknat Allah, dan apa yang mereka deritai sebagai pembalasan akibat dosa mereka.

Pandangan ulama dan pendakwah memberi pengaruh yang amat besar kepada masyarakat kerana mereka adalah jurupandu yang menentu bentuk mentaliti umat Islam terhadap sesuatu isu dan pengaruhnya menjadi lebih kuat apabila golongan ulama memberikan tafsiran menggunakan hukum agama tanpa menggunakan budi bicara, khemah dan hikmah serta nilai-nilai murni dalam Islam berhubung konsep keinsanan dan kemanusiaan.

Ketika pertemua awal gadis ini memberikan syarat: Dia hanya bersetuju kisahnya didokumentarikan sekiranya pihak produksi saya sanggup membantunya untuk kembali kepada Islam dan mengaturkan pertemuan dengan pihak yang bertanggungjawab (ulama dan pendakwah) untuk mengislamkan kembali dirinya.

Penerbit dokumentari ini menghubungi seorang ustaz yang amat-amat terkenal di tanahair dan mempunyai pengaruh yang sangat luar biasa dalam masyarakat. Kami menjelaskan hasrat produksi untuk meminta bantuan beliau mengislamkan kembali gadis yang sudah pun murtad ini namun usaha kami gagal kerana tiga pekara yang disyaratkan oleh ustaz itu yang pada saya sangat menjijikkan.

Bayaran enam ribu ringgit bagi kemunculan beliau di dalam dokumentari ini. Produksi mesti menyediakan bilik hotel lima bintang berkelas suite untuk beliau dan keluarganya. Membayar semula klim minyak dan tol untuk perjalanan beliau hadir di lokasi penggambaran.

Secara komersialnya, apa yang diminta oleh ustaz yang terkenal ini terutama dari segi kewangan adalah terlalu tinggi dan tidak mungkin mampu kami bayar bagi sebuah produksi berbajet kecil yang kami hasilkan semata-mata untuk menyedarkan masyarakat mengenai ribuan pelacur dan penagih wanita yang tersadai dijalanan menunggu kematian tanpa sebarang pembelaan.

Dalam keadaan waktu yang suntuk, penerbit program ini teringat akan Datuk Zainal Abidin Sakom, ahli politik dan aktif dalam kegiatan dakwah. Melalui notis enam jam, Datuk Zainal terus bersetuju, malah sangat teruja hingga kami dapat mendengar suaranya yang sebak di telefon, mengucapkan ribuan terima kasih kerana penerbitan kami memberikan beliau peluang untuk melaksanakan satu ibadat yang tidak pernah beliau lakukan seumur hidupnya.

Akhirnya Datuk Zainal hadir dan majlis berjaya dilakukan dimana hampir semua krew, pelacur dan penagih dadah wanita di sekitar Chow Kit dan serta jemaah surau turut sebak dan menitiskan airmata kerana peristiwa begini hampir tidak pernah disaksikan.

Datuk Zainal sendiri menangis dan menyampaikan sumbangan peribadi bagi membolehkan gadis itu mendapatkan rawatan kerana ketika itu tahap asmanya sudah kronik.

Persoalan saya ialah apa kejadahnya ustaz popular itu, menuntut begitu banyak harta dunia untuk melaksanakan satu kewajiban dunia akhirat, yang sepatutnya menjadi tanggungjawab beliau melakukannya secara ikhlas?

Sampai sekarang timbul perasaan benci dan marah terhadap peristiwa itu, di mana saya langsung tidak dapat menerima hakikat seorang pendakwah yang sentiasa muncul di kaca tv dan hampir keseluruhan jadual hidupnya dipenuhi dengan programi ceramah dan koleksi vcd ceramah yang bertimbun laris di pasaran, tergamak mengenakan syarat yang demikian.

Pada saya, ini satu kesesatan yang melampau, seakan-akan ilmu yang ada padanya itu, satu aset komersial yang perlu dibayar, sekalipun terhadap mereka yang ingin menyerahkan diri kembali ke jalan Allah.

Pengalaman kedua

Anak saudara saya berjaya menjadi guru sandaran di sebuah sekolah rendah di Shah Alam. Dia baru sahaja lulus dari Universiti Utara Malaysia dan kebetulan tinggal di kampung, maka pengetahuan dan pengalamannya untuk mengendalikan satu program yang diamanahkan oleh pihak sekolah, terasa amat berat.

Satu hari, dia datang meminta bantuan saya: Mencari nombor telefon seorang pendakwah yang tersohor.

Kisahnya begini, PIBG sekolah tersebut mula merasakan hubungan di antara guru dan ibu bapa pelajar berada di dalam keadaan amat renggang, malah sudah berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya. Justeru Jawatankuasa PIBG mengambil keputusan untuk menjemput seorang pendakwah tersohor bagi menarik kehadiran ibubapa sebagai kaedah mengakrabkan hubungan.

Topik ceramah dicadangkan menyentuh mengenai betapa pentingnya hubungan guru-guru dan ibubapa demi kebaikan murid-murid, terutama isu yang menyentuh prestasi pendidikan dan akhlak. Ceramah itu secara umumnya juga, diharap dapat menjadi satu pedoman atau tazkirah kepada semua yang hadir agar mengambil berat akan soal anak-anak, serta melihat makna tanggungjawab tersebut dari perspektif Islam.

Malah jawatankuasa sekolah itu turut bercadang untuk menaikan kain rentang, di sekitar kawasan perumahan berdekatan sekolah tersebut dengan harapan menjadikan kawasan sekolah bukan sekadar temapt untuk murid-murid tetapi setahun sekali mampu menjadi pusat kemasyarakatan melalui majlis-majlis dakwah ke arah penyatuan umat.

Saya segera memberikan nombor telefon seorang pendakwah terkenal untuk dihubungi dan saya percaya sekiranya kain rentang yang dicadangkan oleh pihak sekolah memaparkan wajah sang tokoh ini maka sudah tentu populariti dan rasa hormat masyarakat terhadap ketrampilan beliau yang selama ini memonopoli pelbagai program di hampir semua saluran tv tempatan akan mampu menarik ibu bapa, penduduk malah golongan muda bukan sahaja disekitar Shah Alam tetapi juga dari kawasan–kawasan berdekatan terutama Klang.

Al kisahnya begini, apabila anak sudara saya menghubungi sang tokoh yang memiliki ilmu agama yang kalau ditimbun boleh menjadi beratrus-ratus bakul banyaknya, dan jawabannya amat mengecewakan. Beliau meletakkan syarat lapan ribu ringgit untuk 90 minit sesi ceramah walaupun anak saudara saya memaklumkan pihak sekolah hanya memiliki bajet sekitar RM3 ribu hasil sumbangan tabung PIBG.

Maka sekali lagi anak saudara saya datang menemui saya untuk mendapatkan bantuan kedua. Yakni mencari dermawan untuk mendapatkan dana tambahan RM5 ribu untuk menampung kos bayaran kepada penceramah tersohor ini.

Saya terkedu dan tidak percaya tetapi itulah kenyataannya dan akhirnya apa yang dapat saya katakan hanyalah satu jawaban yang mudah. “Lupakanlah, kalaulah itu permintaannya majlis ini tidak mendapat barakah kerana yang diundang adalah seorang yang memperniagakan kalam-kalam Allah”.

Memandangkan sudah kesuntukan masa anak saudara saya memaklumkan bahawa penceramah itu ada mencadangkan beberapa nama penceramah yang lain yang sememangnya rate bayaran mereka sekitar RM4 ribu maka disebutlah anak saudara saya satu demi satu nama yang disenaraikan nama penceramah tersohor itu sekiranya pihak sekolah hanya mampu menyediakan dana sekitar RM 4 ribu adalah disebutkan empat lima nama yang sebahagiannya saya kenal dan sebagaiannya tidak pernah saya dengar namanya.

Namun yang jelas pada waktu itu nama-nama itu tidak lagi penting, kerana saya diserang tekanan perasaan yang luar biasa hingga keseluruhan tubuh saya menggigil dan menyebabkan anak saudara saya menjadi takut lalu segera pulang. Untuk pertama kali walaupun sudah 16 tahun berada di dalam dunia media massa saya mendengar kewujudan rate harga berdasarkan standard dan populariti seseorang pendakwah yang telah pun ditentukan di dalam pasaran semasa.

1 comment:

  1. Assalammualaikum,

    Ini yg kerap berlaku dewasa ini lebih2 lagi kalangan ulama perubatan islam.....ilmu dijual beli sewenang-wenangnya.

    15 tahun lalu, saya kerap mengikuti ayah angkat saya seorang penceramah bebas di kawasan KL memberi ceramah tiap2 malam.....tak ade pulak saya tengok beliau dibayar malah duit minyak kereta pun beliau tanggung sendiri.

    Kita sebagai orang awam pun tau menilai jg! Anda Ulama, bagaimana pulak?

    ReplyDelete