Ad-Durrah an-Nafisah bahasan tasawuf, guna bahasa beradab
Bersama Wan Mohd Shaghir Abdullah
Kitab dipercayai dikarang Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari
SEBUAH kitab tasawuf peringkat tinggi yang cukup terkenal di dunia Melayu yang banyak kali dicetak adalah Ad-Durr an-Nafis karya Syeikh Muhammad Nafis bin Husein al-Banjari. Kitab ini ditulis pada 1200 hijrah/1785 masihi dan dicetak pertama kalinya seratus tahun kemudian iaitu pada 1300 hijrah/1882.
Cetakan pertama ditashhih oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Kitab yang saya perkenalkan dalam artikel ini bukan Ad-Durr an-Nafis, tetapi Ad-Durrah an-Nafisah fi Bayan Wahdah fi al-Af'al wa al-Asma' wa ash-Shifat wa az-Zat al-Muqaddasah yang ditulis kira-kira 39 tahun selepas Ad-Durr an-Nafis.
Tarikh tepat penulisan mulai waktu Dhuha, Jumaat, 15 Rabiulakhir 1239/19 Disember 1823. Ia selesai ditulis pada tengah malam Isnin, 9 Muharam 1240/3 September 1824.
Kitab ini belum pernah diterbitkan dalam bahan cetakan. Manuskrip yang ada hanya sebuah dan ada dalam simpanan saya.
Sungguhpun tidak ada nama pengarang, dapat diduga ia adalah karangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari. Ia adlah syarah kitab beliau yang berjudul Ad-Durr an-Nafis. Jadi, manuskrip yang sekarang menjadi koleksi peribadi saya adalah asli tulisan tangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari.
Sebelum memasuki kandungan Ad-Durrah an-Nafisah, sebagai mukadimah Syeikh Muhammad Nafis bin Husein al-Banjari memperkenalkan dua karya ringkas mengenai tasawuf. Sebuah 18 muka dan satu lagi 14 halaman. Kedua-duanya tanpa judul. Sebuah tanpa tahun dan sebuah lagi selesai penulisan pada malam, 30 Jamadilawal 1235/16 Januari 1820.
Pada mukadimah risalah yang pertama, Syeikh Muhammad Nafis bin Husein al-Banjari menyebut mengenai ‘diri’ ada empat jenis.
Kata beliau: “Pertama, diri yang berdiri, iaitu diri jasad atau tubuh badan. Kedua: diri yang terperi. Ketiga, diri yang nyata pada ilmu Allah. Keempat, diri yang sebenar-benar diri.”
Keempat-empat ‘diri’ dihuraikan dengan agak panjang menurut kaedah dalam ilmu tasawuf.
Kedua-dua risalah yang dianggap sebagai mukadimah Ad-Durrah an-Nafisah, saya tinggalkan dan langsung saja kepada manuskrip yang sedang diperkenalkan.
Syeikh Muhammad Nafis bin Husein al-Banjari memulakan bicara dengan katanya: “Aku memulai akan risalah ini pada hijrah Nabi SAW seribu dua ratus tiga puluh sembilan tahun, pada tahun Alif, pada lima belas hari bulan Rabiulakhir, yaum al-Jum’ah, waktu Dhuha, jam pukul dulapan (maksudnya: Jumaat, jam 8 pada 15 Rabiulakhir 1239 pen:)”
Sebab beliau menulis kitab itu juga dinyatakan dalam mukadimah pada halaman berikutnya. Kata beliau: “Kemudian daripada itu, maka tatkala adalah tahun seribu dua ratus tiga puluh lima tahun, daripada tahun hijrah, pada hari yang ketiga puluh cukup, daripada bulan Jamadilawal, (maksudnya: pada 30 Jamadilawal 1235, pen:).”
Selanjutnya beliau jelaskan: “Sanya memintalah kepadaku setengah daripada saudaraku yang telah dibukakan [oleh] Allah hatiku dan hatinya dengan cahaya terang musyahadah, yakni cahaya terang memandang dan mengenal.” Beliau jelaskan selanjutnya: "Bahawa itu aku perbuatkan baginya akan suatu risalah yang simpan (maksudnya: yang ringkas) perkataannya dengan bahasa Jawi-Melayu yang lemah lembut...”
Barangkali oleh kerana kandungan keseluruhan Ad-Durrah an-Nafisah adalah tasawuf peringkat tinggi, maka diperlukan bahasa yang beradab. Itulah yang dimaksudkannya dengan ‘bahasa Jawi-Melayu yang lemah lembut’ bukan bahasa Melayu yang kasar, yang tiada beradab atau tiada berakhlak atau boleh juga dikatakan tiada berbudi bahasa.
Sebelum memasuki bahasan tasawuf, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari terlebih dulu membicarakan mazhab dalam akidah. Megenai perkara ini ada yang beliau bicarakan dalam Ad-Durr an-Nafis. Tetapi, selepas dibanding ternyata dalam manuskrip Ad-Durrah an-Nafisah penambahan dan bahasan jauh lebih banyak serta perbicaraan jauh lebih luas dan mendalam.
Mengenai dua mazhab iaitu Qadariyah dan Jabariyah tidak banyak tambahan, tetapi mengenai mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Ad-Durrah an-Nafisah ada tambahan yang sangat banyak.
Dalil mengenai mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, beliau jelaskan ketika turun ayat al-Quran mengenai ‘kaum yang kasih kepada Allah’ salah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah. Nabi menjawab dan menunjuk sahabat Baginda, Abu Musa al-Asy'ari. Manakala muncul keturunan beliau, iaitu Imam Abu Hasan al-Asy'ari, maka sepakatlah ulama bahawa Imam Abu Hasan al-Asy'ari R.A adalah ‘imam’ mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari menyebut pula, ‘mazhab yang berpegang kepada iktikad Imam al-Asy'ari ini, iaitu Imam Malik ibnu Anas dan Imam Muhammad anak Idris Syafie. Maka, mazhab Imam Abu Hanifah ibnu Tsabit dan Imam Ahmad ibnu Hanbal itu adalah mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang pada iktikad itu, iaitu Imam Abu Manshur Maturidi.’
Selepas membicarakan tiga mazhab di atas, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari membahas pula mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah golongan Ahl al-Kasyaf dan Musyahadah.
Walaupun karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari judul Ad-Durr an-Nafis yang pernah dicetak berlaku kontroversi dengan beberapa tokoh ahli zahir, namun bagi saya Ad-Durrah an-Nafisah yang juga syarah Ad-Durr an-Nafis mesti diperkenalkan. Kedua-dua kandungan kitab itu tidak salah menurut ulama ahli sufi.
- dipetik dari Berita Harian, Selasa 27hb. Disember. 2005.
No comments:
Post a Comment