Setiap manusia yang berada di muka bumi ini tidak terlepas dari ditimpa ujian dan kesakitan. Ujian tetap menimpa samada dia suka atau tidak, samada dia seorang ahli ibadah atau tidak, samada dia berjaga-jaga atau tidak, samada dia seorang Mukmin atau kafir, samada dia seorang Mukmin yang bertaqwa atau Mukmin yang asi.
Ada tiga tujuan utama kenapa dan mengapa Allah timpakan penyakit pada seseorang itu:
Untuk Penghapusan Dosa, Rahmat Dan Peningkatan Darjat
Sakit bukan sahaja menjadi bala tetapi juga rahmat dan kasih sayang Allah pada kita. Kalau kita berzikir,beristigfar, sembahyang dan sebagainya, belum tentu Allah terima amal tersebut. Oleh sebab itu sakit dan ujian yang ditimpakan, kalau dia berdosa, itu adalah penghapusan dosa. Kiranya dia tidak berdosa, itu akan jadi darjat atau pangkat untuknya di Akhirat kelak.
Penginsafan
Cara inilah Allah hendak insafkan seseorang itu.Selama ini apabila dengar kuliah agama, baca buku atau risalah agama tak boleh sedarkannya. Nak tunjuk ajar dan nasihat, dia marah. Tapi apabila ditimpa sakit,itulah didikan Allah padanya. Itulah Rotan Allah. Sebab itu ada sesetengah orang, dia insaf sewaktu ditimpa sakit. Insaf itu rahmat Allah. Dia sedar dan insaf bahawa hakikat sakitnya adalah kerana dosa-dosanya. Aku ada dosa ni. Mudah-mudahan Allah ampun dosa aku. Dia sabar dan redha dengan ketentuan Allah itu. Kalau mati pada waktu itu, insyaAllah dia mati dalam keadaan baik. Di dunia lagi dia sudah diazab, sebelum di Akhirat. Kalau dia insaf, itulah rahmat untuknya. Macam kita pukul anak kerana main tepi kolam. Kita takut dia lemas. Kita pukul sikit. Bukan pukul membinasakan tapi pukul kerana sayangkan dia.
Kutukan Allah
Apabila Allah sudah marah atau kutuk pada seseorang itu, maka di azab-Nya di dunia lagi sebelum di Akhirat. Biasanya kalau ada hubungan dengan kutukan Allah, susah hendak baik (sembuh). Kadangkalanya mati pun dalam keadaan terhina. Biasanya tanda orang semacam ini, apabila ditimpa sakit, samada sudah sembuh atau sedang sakit, dia akan bertambah jahat. Bertambah lupa dengan Allah. Sakitnya membawa iman semakin rosak. Syariat juga semakin longgar. Barangkali dari sembahyang, jadi tak sembahyang. Kalaupun dia sembahyang, dia cuai dan lalai. Atau mungkin dia bertambah mengarut dan mencarut tidak tentu arah. Itulah kutukan Allah padanya. Kebanyakan kategori golongan ini, mereka mati dalam keadaan terhina.
Doktor Islam
Setiap doktor Islam, ia mestilah seorang yang warak dan bertaqwa. Sebelum mengubat seseorang pesakit, dia mesti pastikan biodata atau letarbelakang pesakit itu terlebih dahulu. Apa punca-punca sebenar penyakitnya itu. Adakah sakit itu disebabkan oleh:
1. Kerana Allah sayang atau
2. Kerana Allah marah (kutuk), atau
3. Kerana Allah nak insafkan dia.
Maknanya doktor dalam Islam adalah bukan sebarangan doktor. Begitu juga dengan pesakit. Sebab itu orang yang sangat soleh (saleh) atau orang yang mempunyai ketaqwaan yang tinggi, dia tidak mahu berubat. Dia rasa beruntung bila dapat sakit. Samada itu merupakan penghapusan dosa atau peningkatan darjat. Dia inginkan pahala percuma dari Allah. Sakit itu pahala percuma, anugerah Tuhan tanpa kita berbuat apa-apa amal ibadah. Itu lebih selamat daripada kita berbuat amalan-amalan yang lain. Apabila kita sembahyang, puasa, berdakwah kemana-mana; kadang-kadang riyak, megah, ujub menyerang kita. Tapi bila sakit mana nak rasa megah, riyak dan sebagainya. Adakah kita akan kata, Aku rasa bangga dapat sakit ini . Tak ada. Tak ada orang yang rasa bangga bila mendapat sakit.
Ada beberapa penyakit yang sukar hendak disembuhkan walaupun pada zahirnya dia sudah diberi ubat. Kecuali dia sungguh-sungguh bertaubat dan meminta maaf. Sesetengah penyakit zahir, ia adalah luahan daripada penyakit batin. Penyakit zahir ini tidak akan sembuh selagi penyakit batin ini tidak diubati terlebih dahulu. Sebab itu seorang doktor Islam, hendaklah faham mengapa dan kenapa seseorang itu ditimpa sakit. Adakah sakit itu semata-mata penyakit zahir ataupun luahan daripada penyakit batin.
Ada beberapa sebab atau punca mengapa sesuatu penyakit itu sukar disembuhkan:
1. Derhaka pada kedua ibu bapa, guru atau mencabar Allah.
2. Mencacatkan orang Allah
3. Akibat zalim pada makhluk Allah.
Sifat Derhaka
Katakanlah doktor sudah tahu apa penyakit si pesakit. Katakan dia derhaka kepada mak ayah atau guru dan sebagainya. Kalau ada penyakit ini, maka payah hendak disembuhkan. Boleh diberi ubat, tapi tunggulah sampai mati, dia takkan sembuh. Kecuali dia insaf, pergi minta maaf dan bertaubat sungguh-sungguh. Atau sesetengah orang itu dia sepak Al Quran, memaki Allah dan sebagainya. Kemudian dia jatuh sakit. Itu juga payah nak disembuhkan. Itu sakit dikutuk.
Sebab itu bila seseorang itu hendak berubat, dia serahkan dirinya pada doktor. Itu sebabnya mengapa doktor itu mesti seorang yang bertaqwa dan faham tentang Islam. Jadi kalau seseorang itu sakit kerana derhaka kepada ibu bapa atau guru, doktor yang taqwanya kuat, akan dapat mengesannya. Maka disuruh sahaja dia pergi meminta maaf. InsyaAllah selesai. Selagi dia tak selesai, insyaAllah dia takkan sembuh. Kalau ibubapa dan gurunya masih hidup lagi, alhamdulillah. Tapi kalau sudah mati, lagi susahlah hendak disembuhkan.
Cacatkan Orang Allah
Mencacatkan orang-orang Allah terutamanya ulama (guru) yang bertaqwa. Rasulullah saw bersabda:
Daging para ulama itu racun. Barangsiapa yang memakannya nescaya ia binasa.
Bukan semua ulama tapi ulama yang amilin. Siapa yang mengata atau mengeji para ulama amilin, kalau dia tidak betul-betul taubat, kalau mati nanti mungkin dia akan terhijab untuk mati dalam iman. Ramai orang yang tidak sedar dalam hal ini. Kesalahan tanpa sedar. Manalah dia terfikir sebab itu yang boleh mencacatkan dirinya. Sebab itu bila dia sakit ataupun sudah sembuh tapi hidupnya sudah tidak menentu. Pergi sana orang benci. Dengan anak isteri pun bergaduh. Kadang-kadang hidup merempat. Kalaulah sudah derhaka pada orang-orang Allah, kiranya dia masih hidup, pesakit itu sedar pula akan kesalahannya, senang sikit untuk meminta maaf. Tetapi kalau sudah mati? Cuma yang boleh, selalu hadiahkan bacaan Al Fatihah, Qulhuwallah dan lain-lain amalan bakti padanya.
Akibat Zalim Pada Makhluk Allah
Pernah seorang lelaki telah berbelas tahun kena penyakit. Macam-macam doktor pakar dia pergi. Kemudian dia pergi kepada seorang doktor Islam. Doktor itu tanya, Apa yang kamu buat di rumah atau ada bela itu atau ini? Dia pun cerita, ada bela ikan dalam balang dan burung-burung dalam sangkar. Ini yang menyiksa kamu. Kamu bela ikan dan burung dalam benda kecil. Mereka tidak bebas. Azab makhluk Tuhan, patutlah Allah azab kamu. Cuba awak lepaskan. Dia lepas, kemudian kejap saja dia sembuh. Orang yang zalim, di dunia lagi dia akan dibalas kezaliman yang dibuatnya.
Asas Setiap Ubat; Bangunkan Jiwa
Kadang-kadang sakit ini ada hubungan dengan jiwa. Dia tidak boleh diganggu jiwanya. Dia tak boleh kena uji. Mungkin dengan ragam isteri, suami atau orang kata, dia tak tahan. Kadang-kadang kesan daripada jiwa selalu bergolak, memberi kesan kepada fizikal. Sebab itu kadang-kadang apabila doktor periksa, pada zahirnya tidak ada sakit. Tapi dirinya terasa ada sakit. Ada memberi kesan pada dirinya seperti terasa sakit, letih, tak lalu makan, kurus atau apa-apa saja.
Jadi kalau doktor yang faham, akan menanya:
Apa masalah kamu?
Bila ada masalah, apa yang kamu rasa
oh, jiwa tak kuat.
Padahal bagi orang lain, perkara itu kecil saja. Tidak ada apa benda. Tetapi pada dia, oleh kerana jiwanya tidak kuat, ia boleh memberi effect pada fizikal. Oleh itu kalau ada doktor yang bertaqwa, pesakit seumpama ini perlu dikuatkan dengan jiwa tauhid. Kena bangunkan jiwanya. Cerita bahawa Allah itu ada, Allah berkuasa. Beri juga ubat, tetapi beri kekuatan tauhid itu asasnya. Ubat itu hanya sampingan saja tapi bukan asas. Bangunkan jiwa itu asas. Ubat itu sampingan. Kena juga diberi ubat, sebab ada kesan pada fizikal. Tapi puncanya, jiwa atau fikiran tidak tenang, perlu diutamakan.
Allah swt berfirman yang maksudnya:
mengingati Allah itu menenangkan jiwa (hati).
Jadi orang yang tidak kuat hubungan dengan Allah swt, jiwanya tidak kuat. Itu sebabnya ia memberi kesan kepada fizikal.
No comments:
Post a Comment