Sunday, July 24, 2011

PERUBATAN TRADISIONAL & MODEN - YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH

Dalam kehidupan moden, yang lama dianggap lapuk dan tidak lagi berguna. Maka atas dasar itu, yang lama terus tersisih, tidak diperlukan malah enggan mempedulikannya kerana kononnya mendakwa yang moden itu mempunyai prinsip terbaik dan diterima umum.

Begitu halnya dengan sistem perubatan tradisional yang telah ditinggalkan zaman kerana kebanyakan pengamal perubatan hari ini, malahan orang ramai sendiri lebih memberikan tumpuan dan mengutamakan sistem perubatan alopati (moden) yang dikatakan lebih berjaya berbanding dengan sistem perubatan tradisional.

Perubatan moden yang berasaskan kepada kepakaran pengamalnya di samping penggunaan peralatan canggih, umpamanya jarum suntikan, ubat-ubatan secara mekanikal, alatan pembedahan, teknologi komputer dan sebagainya yang dikatakan dapat mengesan dan merawat sesuatu jenis penyakit yang dihadapi oleh pesakit dengan pantas. Namun, tanpa kita sedari bahawa terdapat juga beberapa kelemahan ketara sehinggakan sesetengah penyakit tidak dapat dirawat dengan sempurna, pesakit mendapat kesan sampingan dan ada yang menemui maut berpunca dari beberapa faktor tertentu.

Amat malang sekali, sistem perubatan tradisional tidak mempunyai ruang untuk menyumbang jasa walaupun sebelum kehadiran sistem perubatan moden merampas takhta dunia perubatan, sistem perubatan tradisional turut memainkan peranan penting dalam menangani dan membendung masalah penyakit sehinggakan penyakit-penyakit yang kronik dapat diubati dengan sempurna menyebabkan pesakit-pesakit yang pernah menjadi mangsanya dapat hidup dengan sempurna.

Istilah sistem perubatan tradisional ialah sistem penjagaan kesihatan yang diamalkan oleh orang-orang tua seperti bomoh, bidan, dukun, singseh, penyembuh yang menggunakan ayurveda, sidha serta pengamal perubatan di kalangan orang-orang asli.

Malaysia sebuah negara yang terdiri dari berbilang kaum turut melahirkan pengamal-pengamal perubatan tradisional termasuk Melayu, Cina, India dan orang asli. Kebanyakannya menggunakan sumber alam seperti tumbuh-tumbuhan yang berasaskan kepada akar-akar kayu, buah, kuduk, badang dan daun sebagai ubat-ubatan asli yang masih segar selain penggunaan tumbuh-tumbuhan herba dan ulam dalam usaha untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang merupakan beberapa konsep sepadu dalam dunia perubatan tradisional.

Amalan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dan urutan refleksi yang menggunakan kepakaran dalam ilmu saraf tradisi adalah gabungan yang mantap sehingga pesakit dapat merasai kehebatan dan luar biasanya sistem perubatan berkenaan.

Namun, apabila wujudnya sistem perubatan moden yang diasas dan ´dihebohkan´ oleh saintis dan pengamal perubatan Barat, sistem perubatan tradisional tidak lagi diiktiraf dan pergerakannya terus dihalang oleh undang-undang kesihatan. Sedangkan tanpa disedari umum, sistem perubatan tradisional adalah pengasas dan pelopor asal dunia perubatan. Sebaliknya sistem perubatan moden yang sering dibangga-banggakan oleh perubatan Barat dan segelintir masyarakat moden hari ini adalah cedokan dan saduran dari perubatan tradisi masyarakat dahulu yang kemudiannya disesuaikan menurut kehendak sistem perubatan hari ini.

Melalui sistem perubatan moden kebanyakan pesakit yang mengalami masalah kesihatan yang teruk, rawatannya memerlukan pebelanjaan yang terlalu mahal. Jika mangsanya ialah golongan yang berkemampuan, ia tidak menjadi masalah tetapi bagaimana pula dengan golongan yang berpendapatan rendah?

Satu hal yang perlu diutarakan ialah, perubatan moden banyak menggunakan kaedah rawatan menggunakan ubat-ubatan umpamanya dalam bentuk pil, kapsul mahupun dalam bentuk cecair. Kesemuanya ubat-ubatan yang dihasilkan mengandungi bahan-bahan kimia yang secara langsung atau tidak, boleh menimbulkan kesan sampingan terhadap pesakit, menyebabkan alahan dan mungkin boleh melumpuhkan sistem imun dalam tubuh manusia. Ini kerana, ubat-ubatan yang berasaskan kepada bahan-bahan kimia akan lebih beracun jika berlakunya kecuaian dan aspek penjagaanya yang tidak diberikan keutamaan.

Malah sesuatu yang mengerikan ialah apabila seseorang pesakit itu memerlukan pembedahan. Konsep pembedahan yang cermat dan sentiasa berhati-hati mungkin tidak akan menimbulkan sebarang masalah dan dapat menghadapi risiko yang bakal wujud. Namun jika berlakunya kecuaian yang berpunca dari tidak menumpukan kepada kerja dengan sepenuhnya atau bersikap sambil lewa, pesakit akan menjadi mangsa. Keadaan ini menimbulkan kesukaran dan tentunya boleh menakutkan orang ramai untuk mendapatkan khidmat perubatan berkenaan.

Di Malaysia, sistem perubatan tradisional lagaknya kurang mendapat tempat dalam mewujudkan keseimbangan kesihatan yang sepatutnya diperolehi oleh setiap pesakit. Keadaan ini bukan sahaja didorong oleh kekangan undang-undang kesihatan tetap juga sikap di kalangan sesetengah pengamal perubatan moden itu sendiri termasuk beberapa pandagan oleh penulis pro-perubatan moden dan iklan-iklan yang disebarkan melalui risalah dan juga dalam media-media cetak elektronik.

Dalam dunia global hari ini yang sering berubah, sudah nampak beberapa negara yang seolah-olah ingin kembali kepada sistem perubatan tradisional. Ini kerana konsep perubatan moden yang kerap menemui kegagalan apabila khidmatnya untuk merawat pesakit sering mengalami masalah. Telah ramai saintis moden yang menyedari bahawa, rawatan secara tradisi menggunakan kaedah alam semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan, serangga dan hidupan kecil mampu menjadikannya penawar dan pesakit yang malang dapat hidup lebih lama.

Contoh yang paling jelas ialah apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta kumpulan pertubuhan kesihatan lain turut menyedari bahawa perubatan tradisional memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan orang ramai pada masa lalu dan untuk masa hadapan. WHO sendiri sedang giat menggalakkan perubatan tradisional sebagai satu komponen sistem kesihatan negara yang penting.

Kebanyakan negara telah kembali kepada sistem perubatan tradisional kerana konsep dan amalan yang wujud dalam rawatan tradisional tidak menyusahkan dan tidak menakutan pesakit. Malah orang ramai menerimanya sebagai rawatan yang terbaik sama ada boleh dilakukan sendiri dengan nasihat, tunjuk ajar atau dengan bantuan pengamalnya.

Di Singapura, hampir seorang bagi setiap lapan orang rakyatnya memilih untuk rawatan tradisional berbanding perubatan Barat. Di China, sistem perubatan tradisional diiktiraf secara rasmi dan disatukan ke dalam sistem penjagaan kesihatan. Di Vietnam, kerajaan menggalakkan setiap keluarga menanam sekurang-kurangnya 12 daripada 58 tanaman berubat di rumah masing-masing.

Tahun lalu, India menggandakan belanjawannya untuk menggalakkan amalan perubatan tradisional seperti ayurveda, sidha, unani, naturopati, ubatan dari Tibet dan homeopati. Kementerian Kesihatan juga telah meminta semua menteri untuk mengenalpasti sistem perubatan tradisional untuk membiayai belanja perubatan pekerja dalam sektor kerajaan.

Maka apabila dilihat kepada jasa dan sumbangan sistem perubatan tradisional terhadap kemampuannya mengubati pelbagai jenis penyakit yang sukar dirawat oleh sistem perubatan moden, maka apakah perubatan tradisional akan disia-siakan begitu sahaja? Apakah tidak ada alternatif lain supaya sistem perubatan tradisional diiktiraf dan dapat bergerak seiring dengan perubatan moden di samping dapat berkongsi ilmu dan kepakaran masing-masing?

Dalam konteks ini, sudah tiba masanya sistem perubatan tradisional di negara ini diberikan laluan sepenuhnya tanpa mendapat kekangan dan halangan dari memberikan khidmat yang terbaik dan terus berkembang supaya tidak ditinggalkan zaman. Biarlah masyarakat umum yang membuat pilihan dan menilai sendiri, sistem perubatan mana yang dianggap terbaik yang dianggap ´mesra kesihatan´ atau menakutkan malah membebankan mereka dalam urusan perbelanjaan rawatan.

No comments:

Post a Comment