Friday, July 29, 2011

KENAPA SIFAT 20 & KENAPA WAJIB BELAJAR

Oleh : Musafir Kelana


Kadang kala ada pertanyaan, “Mengapa sifat Allah yang wajib diketahui oleh setiap mukallaf hanya dua puluh sifat? Bukankah sifat-sifat Allah yang terdapat dalam al-Asma’ al-Husna ada Sembilan puluh Sembilan?”.

“Perlu diketahui bahawa Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah tidak membataskan sifat-sifat Allah kepada dua puluh kerana sifat dua puluh itu adalah sifat Dzat Allah yang menjadi syarat ketuhanan (syart al-Uluhiyyah). Sedangkan sifat-sifat Allah yang lain adalah sifat af`al (sifat yang berkaitan perbuatan) Allah ta`ala. Dan sifat-sifat af`al Allah itu jumlahnya banyak serta tidak terbatas.”[1]

MENGAPA WAJIB MENGETAHUI SIFAT 20?

Dalam ma`rifatullah, Mazhab Ahl al-Sunah Wa al-Jama`ah telah mengetengahkan pemahaman terhadap konsep sifat 20 yang wajib bagi Allah. Konsep ini sangat masyhur dan wajib diketahui oleh setiap individu muslim yang mukallaf. Akhir-akhir ini terdapat satu golongan/fahaman telah mempersoalkan sifat 20 tersebut dengan mengemukakan beberapa alasan yang antara lainnya adalah; tidak terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Hadis nas yang mewajibkan pengetahuan umat Islam terhadap sifat 20. Bahkan termaktub di dalam hadis sendiri bahawa nama-nama Allah (al-Asma’ al-Husna) jumlahnya sembilan puluh sembilan. Dari premis ini, timbul sebuah pertanyaan; mengapa sifat yang wajib bagi Allah yang harus diketahui itu hanya terhad kepada dua puluh sifat sahaja, bukan sembilan puluh sembilan sebagaimana yang terdapat di dalam al-Asma’ al-Husna?

Para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dalam menetapkan sifat dua puluh tersebut sebenarnya bersumberkan daripada kajian dan penelitian yang cermat dan mendalam. Mereka bukan mencipta ilmu baru tetapi hanya men’tajdid’ kaedah pembelajaran ilmu dan menyusun ilmu supaya masyarakat mudah memahami dan mengetahui keutamaan ilmu yang fardu. Contohnya; untuk pandai membaca Quran dan mengenal huruf Quran, para ustaz menyusun ilmu membaca Iqra’. Disusun satu persatu ilmu Iqra dengan mengikut tertib supaya orang mudah membaca Quran dengan mengenal huruf. Dengan kaedah pembelajaran Iqra’ maka orang awam termasuk kanak-kanak hari ini dapat membaca Quran. Bacaan Quran itu adalah wajib kerana ianya dibaca dalam solat. Terdapat beberapa alasan ilmiah yang logik serta relevan dengan fakta nas yang sedia ada yang telah dikemukakan oleh para ulama’ berhubung latar belakang wajibnya mengetahui sifat dua puluh yang wajib bagi Allahsubhanahu wata`ala, antaranya ialah:

Pertama, setiap orang yang beriman harus meyakini bahawa Allah ta`ala wajib memiliki semua sifat kesempurnaan yang layak bagi keagungan-Nya. Mereka harus meyakini bahawa mustahil Allah ta`ala memiliki sifat kekurangan yang tidak layak bagi keagungan-Nya. Mereka juga harus meyakini pula bahawa Allah berkuasa melakukan atau meninggalkan penciptaan segala sesuatu yang bersifat mumkin iaitu seperti menciptakan, mematikan, menghidupkan, memberi rezeki, mengurniakan kebahagiaan, menimpakan kecelakaan dan lain-lain lagi. Kesemua ini adalah sekian bentuk keyakinan yang paling dasar yang perlu wujud di dalam hati setiap orang Islam.

Kedua, para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah sebenarnya tidak membataskan sifat-sifat kesempurnaan Allah hanya kepada 20 sifat sahaja. Bahkan setiap sifat kesempurnaan yang layak bagi keagungan Allah, sudah pasti Allah wajib memiliki sekian sifat tersebut, sehingga sifat-sifat kamalat (kesempurnaan dan keagungan) Allah itu sebenarnya tidak terbatas pada sembilan puluh sembilan sahaja sebagaimana yang telah dikatakan oleh al-Imam al-Hafiz al-Bayhaqi:[2]

“وَقَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((إِنَّ لِلَّهِ تَسْعَةً وَتِسْعِيْنَ اِسْمًا)) لايَنْفِيْ غَيْرَهَا, وَإِنَّمَا أَرَادَ وَاللهُ أَعْلَمُ أَنَّ مَنْ أَحْصَى مِنْ أَسْمَاءِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ تِسْعَةً وَ تِسْعِيْنَ اِسْمًا دَخَلَ الْجَنَّةَ”.

Maksudnya: “Sabda Nabi sallallahu`alaihi wasallam : Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama”, tanpa menafikan nama-nama selainnya. Nabi sallallahu`alaihi wasallam hanya bermaksud -wallahu a`lam-, bahawa barangsiapa yang menghitung sembilan puluh sembilan nama tersebut akan dijamin masuk syurga”.

Pernyataan al-Hafiz al-Bayhaqi di atas bahawa nama-nama Allah ta`ala sebenarnya tidak terbatas dalam jumlah sembilan puluh sembilan dengan didasarkan pada hadith shahih: [3]

“عَنِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ، قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ… أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ بَصَرِيْ، وَجَلاءَ حَزَنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ “.

Maksudnya: ”Ibn Mas’ud berkata, Rasulallah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:” Ya Allah, sesungguhnya aku Hamba-Mu. Aku memohon dengan perantara setiap Nama yang Engkau miliki, baik yang Engkau namakan Dhat-Mu dengan-Nya, atau yang Engkau turunkan nama itu dalam kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkannya kepada sesiapa di kalangan makhluk-Mu, atau yang hanya Engkau sahaja yang Mengetahui-Nya dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, jadikanlah al-Quran sebagai taman/pengubat hatiku, cahaya mataku, penghilang kesedihanku dan penghapus rasa gundahku”.

Hadis di atas menjelaskan bahawa di antara nama-nama Allah ta`ala yang telah dijelaskan di dalam al-Qur’an, ada di antaranya yang diketahui oleh sebahagian hamba-Nya dan ada yang hanya diketahui oleh Allah ta`ala sahaja. Sehingga berdasarkan kepada hadis tersebut, nama-nama Allah itu sebenarnya tidak terbatas pada 99, maka apatah lagi 20 sifat yang telah dirumuskan oleh para ulama’ yang melaut ilmu mereka itu.

Ketiga, para ulama’ telah membahagikan sifat-sifat khabariyyah, iaitu sifat-sifat Allah yang terdapat di dalam Al-Qur’an dan hadis seperti yang terdapat di dalam al-Asma’ al-Husna, kepada dua bahagian. Pertama, Sifat al-Af`al al-Zat iaitu sifat-sifat yang ada pada Zat Allah ta`ala, yang antara lain adalah sifat 20. Dan kedua, Sifat al-Af`al, iaitu sifat-sifat yang sebenarnya adalah perbuatan Allah ta`ala, seperti sifat al-Razzaq, al-Mu`thi, al-Mani`, al-Muhyi, al-Mumit, al-Khaliq dan lain-lain. Perbezaan antara keduanya adalah, sifat al-Zat merupakan sifat-sifat yang menjadi Syarat al-Uluhiyyah, iaitu syarat mutlak ketuhanan Allah ta`ala. Kesemua sifat tersebut telah menyucikan zat Allah ta`ala daripada sebarang sifat yang tidak layak bahkan mustahil untuk disandarkan kepada zat Allah yang Maha Agung. Dari sini para ulama’ telah menetapkan bahawa Sifat al-Zat ini adalah azali (tidak ada permulaan), dan baqa’ (tidak ada pengakhiran bagi Allah). Hal tersebut berbeza dengan Sifat al-Af`al, ketika Allah ta`ala memiliki salah satu daripada Sifat al-Af`al, maka lawan kepada sifat tersebut adalah tidak mustahil bagi zat Allah ta`ala, bahkan ia menunjukkan lagi perihal kehebatan dan keagungan Allah kerana mampu menciptakan dua perkara yang berlawanan berdasarkan fungsi yang terkandung di dalam nama-nama dan sifat-sifat yang telah ditetapkan oleh Allah ta`ala kepada zat-Nya yang Maha Agung seperti; sifat al-Muhyi (Maha Menghidupkan), al-Mumit (Maha mematikan), al-Dhar (Maha Memberi Bahaya) danal-Nafi` (Maha Memberi Manfaat), al-Mu`thi (Maha Pemberi) dan al-Mani` (Maha Pencegah) dan lain-lain. Di samping itu, para ulama’ mengatakan bahawa Sifat al-Af`al itu adalah baqa’.[4]

Keempat, dari sekian banyak Sifat al-Zat yang wujud tersebut, maka sifat dua puluh dianggap cukup dalam memberi kefahaman kepada kita bahawa Allah ta`ala memiliki segala sifat kesempurnaan dan maha suci Allah daripada segala sifat kekurangan. Di samping itu, kesemua Sifat al-Zat yang telah terangkum dalam sifat dua puluh tersebut, dari sudut fakta, telahpun ditetapkan berdasarkan dalil al-Qur’an, al-Sunnah dan dalil-dalil aqli.[5]

Kelima, sifat dua puluh tersebut dianggap cukup kuat untuk menjadi benteng kepada akidah seseorang daripada terpengaruh dengan faham yang keliru atau menyeleweng dalam memahami sifat Allah ta`ala. Sebagaimana yang telah kita maklum aliran-aliran yang menyimpang daripada fahaman Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah seperti Wahhabi, Syiah, Muktazilah, Khawarij, Musyabbihah, Mujassimah, Karramiyyah dan lain-lain telah menyifatkan Allah ta`ala dengan sifat-sifat makhluk yang kesemua sifat tersebut dilihat dapat meruntuhkan kesempurnaan dan kesucian zat Allah ta`ala. Maka dengan memahami sifat dua puluh tersebut, iman seseorang akan dibentengi daripada keyakinan-keyakinan yang menyongsang fahaman arus perdana umat Islam berhubung zat Allah ta`ala. Misalnya, ketika golongan mujassimah mengatakan bahawa Allah ta`ala itu duduk di atas `Arasy, maka hal ini akan ditolak dengan salah satu daripada sifat Salbiyyah yang wajib bagi zat Allah ta`ala iaitu; Qiamuhu Binafsih (Allah ta`ala tidak berhajat kepada sesuatu), ketika musyabbihah mengatakan bahawa Allah ta`ala memiliki anggota tubuh badan seperti mata, tangan, kaki, muka, betis dan lain-lain, maka dakwaan tersebut akan ditolak pula dengan sifat wajib bagi Allah ta`ala yang lain iaitu sifat Mukhalaftuhu lilhawadith (Allah tidak menyerupai sesuatupun), ketika golongan Muktazilah menafikan kewujudan sifat ma`ani pada zat Allah ta`ala dengan mengatakan bahawa Allah ta`ala maha kuasa tetapi tidak mempunyai sifat qudrat, maha mengetahui tetapi tidak mempunyai ilmu, maha berkehendak tetapi tidak mempunyai iradat, maka dakwaan songsang tersebut akan ditolak dengan sifat-sifat ma`ani yang jumlahnya adalah tujuh iaitu qudrat, iradat, ilmu, hayat, sama`, basar dan kalam. Demikian pula dengan sifat-sifat yang lain.[6]

الْقَائِدَةُ: “الْجَهْلُ بِالصِّفَاتِ يُؤَدِّيْ إِلَى الْجَهْلِ بِالْمَوْصُوْفِ مَنْ لا يَعْرِفُ صِفَاتِ الله لا يَعْرِفُ الله”.

Kaedah: “Jahil tentang sifat (Allah) membawa kepada jahil dengan yang mempunyai sifat (Allah), sesiapa yang tidak mengenal sifat Allah, tidak mengenal Allah ta`ala”.

Rujukan:

[1] KH. Muhyiddin @[100000128911792:Ab]d al-Somad (2009), Aqidah Ahlussunnah Wal Jama`ah Terjemah dan Syarh Aqidah al-Awam, Jakarta: Khalista Surabaya, h. 25.

[2] Al-Hafiz al-Bayhaqi (1959), al-I`tiqad `ala Mazhab al-Salaf Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, Abu al-Fadhl Abdullah Muhammad al-Siddiq al-Ghumari (ed.), Kaherah: Dar al-`Abd al-Jadid, , h. 14.

[3] Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad (3528), al-Hakim di dalam al-Mustadrak(1830) dan al-Tabarani di dalam al-Mu`jam al-Kabir (10198). Al-Hafiz Ibn Hibban menilainya sahih di dalam Sahih-nya (977).

[4] Al-Hafiz al-Bayhaqi(1959), op.cit., h. 15, 21 dan 22; Abu Mansur Abdul Qahir al-Baghdadi (1981), Usul al-Din, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyah, h. 122-125. Dari sini dapat kita fahami bahawa pernyataan sebagian kalangan beberapa tahun yang lalu, bahawa untuk saat ini sifat Rahmah Allah ta`ala adalah lebih layak ditekankan untuk diketahui daripada sifat-sifat yang lain, adalah tidak ada asasnya. Ini adalah bertitik tolak daripada ketidakfahaman mereka terhadap sifat al-Zat yang menjadi Syart al-Uluhiyyah dan Sifat al-Af`al yang bukan Syart al-Uluhiyyah.

[5] Hasan al-Ayyub (2003), Tabsit al-`Aqaid al-Islamiyyah, Kaherah: Dar al-Salam, h. 17.

[6] Lihat pernyataan Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali tentang tujuan mempelajari ilmu kalam menerusi kitabnya al-Munqidz min al-Dhalal, lihat al-Ghazzali (1998), al-Munqidz min al-Dhalal, Abdul Halim Mahmud (ed.), Kaherah: Dar al-Ma`arif, h. 36.

Antara Nama-nama Besar Ulama’ Al-Asya’irah

Antara Ulama’-Ulama’ dalam Bidang Aqidah yang Bermazhab Al-Asya’irah

Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari, pengarang kitab Al-Luma’ dan Maqolat Islamiyyin

Imam Al-Baqillani (405H)

Abu Ishaq Al-Isfarayini (418 H)

Imam Ishaq As-Syirazi (476 H)

Imam Al-Juwaini

Imam Al-Haramain Abu Al-Ma’ali Al-Juwaini (478 H), pengarang kitab An-Nizomiyah

Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali r.a. pengarang kitab Al-Iqtisod fi Al-I’tiqod (505 H)

Imam Ibn ‘Asakir (576 H), pengarang kitab tabiyiin Kazb Al-Muftari

Imam As-Syahristani (548 H)

Imam Fakhruddin Ar-Razi pengarang kitab Asas At-Taqdis (606 H)

Imam Al-Allamah Al-Amadi (631 H)

Imam Al-Iji (756 H)

Imam Sa’ad At-Taftazani (793 H) pengarang kitab syarh Al-Maqosid

Imam As-Syarif Al-Jurjani (816 H)

Imam Abu Mansur At-Tamimi

Imam Nas Al-Maqdisi

Imam Al-Farawi

Imam Abu Al-Walid Al-Baji

Imam Al-Bahili

Imam Sultonul Ulama’ Izz ibn Abdis Salam

Imam HibbatulLah Al-Makki

Imam Al-Baijuri

Antara Mufassir-mufassir Bermazhab Al-Asy’ari

Imam Al-Mufassir Al-Allamah Al-Qurtubi r.a.

Imam Al-Mufassir Ibn Kathir (rujuk buku tobaqot As-Syafi’iyyah Al-Kubra 10/200 karangan Imam As-Subki, Ad-Durar Al-Kamin 1/85 karangan Ibn Hajar dan sebagainya)

Imam Al-Mufassir Ibn ‘Athiyyah Al-Andalusi r.a., pengarang kitab tafsir Al-Muharrar Al-Wajiz

Imam Al-Mufassir Abu Hayyan Al-Andalusi r.a., pengarang kitab Al-Bahr Al-Muhith.

Imam Al-Mufassir Fakhruddin Ar-Razi r.a., pengarang kitab tafsir mafatih Al-Ghaib

Imam Al-Mufassir Al-Hafiz Al-Buhgowi, pengarang kitab tafsir Al-Bughowi dan kitab Syarh As-Sunnah.

Imam Al-Mufassir Abu Al-Laith As-Samarqandi r.a., pengarang kitab tafsir Bahr Al-Ulum, kitab bustanul Arifin dan tanbih Al-Ghafilin.

Imam Al-Mufassir Abu Al-Hasan Ali An-Naisaburi pengarang kitab asbab An-Nuzul.

Imam Al-Mufassir Abu At-Thana’ Syihabuddin Al-Alusi Al-Husaini Al-Hasani r.a.

Imam Al-Mufassir At-Thamin Al-Halabi r.a., pengarang kitab tafsir Ad-Durr Al-Mashun.

Imam Al-Mufassir Al-Hafiz Jalaluddin As-Suyuti r.a., pengarang kitab tafsir Ad-Durr Al-Manthur.

Al-Imam Al-Khotib As-Syirbini r.a., pengarang kitab tafsir As-Siraj Al-Munir.

Imam Al-Allamah At-Thohir bin Asyur, pengarang kitab At-Tahrir wa At-Tanwir

Imam Az-Zarkasyi

Imam Mutawalli As-Sya’rawi r.a.

Ulama’-ulama’ Muhaddithin (hadith) yang bermazhab Al-Asya’irah

Imam Al-Hafiz Abu Al-Hasan Ad-Darqutni r.a.

Imam Al-Hafiz Abu Nu’aim Al-Ashbahani r.a., pengarang kitab hilyatul Auliya’

Imam Al-Hafiz Al-Hakim An-Naisaburi, pengarang kitab Mustadrak

Imam Al-Hafiz Ibn Hibban, pengarang kitab At-Thiqat

Imam Al-Hafiz Abu Sa’id Ibn As-Sam’ani r.a., pengarang kitab Al-Inshof

Imam Al-Hafiz Abu Bakr Al-Baihaqi r.a., pengarang kitab-kitab hadith dan kitab Al-Asma’ wa As-Sifat.

Imam Al-Khatib Al-Baghdadi

Imam Al-Hafiz Muhyiddin Yahya bin Syarf An-Nawawi r.a., pengarang kitab syarh sahih muslim dan banyak lagi.

Sheikhul Islam Imam Al-Hafiz Abu Amr bin As-Solah

Imam Al-Hafiz Ibn Daqiq Al-‘Aid

Imam Al-Hafiz Ibn Abi Jamrah Al-Andalusi, musnid Ahlul Maghrib

Imam Al-Hafiz Al-Karmani, pengarang syarah sahih Al-Bukhari

Imam Al-Hafiz Al-Munziri, pengarang At-Targhib wa At-Taqrib

Imam Al-Hafiz Al-Abi, pensyarah sahih Muslim

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqolani, pengarang fahtul Bari dan sebagainya.

Imam Al-Hafiz As-Sakhowi r.a.

Imam Al-Qostollani r.a. pengarang Irsyad As-Sariy

Imam Al-Hafiz Al-Munawi r.a..

Imam Al-Hafiz Ad-Dimyathi r.a.

Sheikh Al-Hafiz Waliyullah Al-Dahlawi r.a.

Sheikh Abu Al-Mahasin Al-Qouquji

Sheikh Al-Hafiz Ahmad As-Siddiq Al-Ghumari r.a..

Sheikh Al-Musnid Muhammad Al-Hafiz At-Tijani.

Sheikh Musnid Ad-Dunya, Sheikh Muhammad Yasiin Al-Fadani.

Sheikh Al-Musnid Abbas Al-Maliki

Antara Ulama’-ulama’ Sirah yang Bermazhab Al-Asy’ari

Imam Qadhi ‘Iyad, pengarang kitab As-Syifa fi syama’il wa ahwal Al-Mustofa

Imam As-Suhaili r.a., pengarang kitab Ar-Raudh Al-Unf

Sheikh Ibn Khaldun

Imam Ibn Athir r.a.

Imam As-Solihi Ad-Dimasqi, pengarang kitab Subulul Huda wa Ar-Rosyad

Sheikh Yusuf An-Nabhani r.a..

Antara Ulama’-ulama’ Fiqh yang Bermazhab Al-Asy’ari

Menurut Imam Tajuddin As-Subki, majoriti ulama’ mazhab As-Syafi’ie, Malikiyah, Hanafiyah dan Sebahagian ulama’ Hanabilah bermazhab Al-Asy’ari. Demikian diriwayatkan daripada Imam Izzuddin bin Abdil-Salam yang turut diakui oleh Imam Abu Amr ibn Hajib dan Jamaluddin Al-Husairi. (At-Tobaqot 3/365)

Namun, kita senaraikan antara fuqaha’ yang kuat mempertahankan mazhab Al-Asy’ari ini iaitu:

Imam Tajuddin As-Subki, pengarang kitab Al-Saif As-Saqil

Imam Sheikhul Islam Zakaria Al-Ansori r.a..

Imam Ar-Rafi’ie As-Syafi’e

Imam Ibn ‘Abidin

Imam Ibn Hajib.

Imam Al-Habib Abdullah bin ‘Alawi Al-Haddad r.a.

Imam ‘Alauddin Al-Bukhari

Imam Al-Baidhowi r.a.

Imam Az-Zabidi r.a.

Imam Al-Qorofi r.a.

Mufti Makkah Sheikh Ahmad Zaini Dahlan As-Syafi’e

Antara Ulama’-ulama’ Qiraat yang Bermazhab Al-Asy’ari

Imam Al-Qari’ Ibn Jazri

Imam As-Syatibi r.a.

Antara Pemimpin-pemimpin Islam yang Masyhur yang Bermazhab Al-Asy’ari

Sultan Salehuddin Al-Ayubi

Sultan Muhammad Al-Fateh

Dan ramai lagi para ulama’ Islam yang bermazhab Al-Asy’ari…

Semoga Allah s.w.t. memberkati mereka dan seluruh umat Islam….Amiin

Peringatan: Di sini saya ingin memperingatkan akan PERINGATAN PENTING kepada semua sahabat-sahabat, ini adalah ANTARA SEBAHAGIAN ULAMA BESAR AL ASHAIRAH(TIDAK TERMASUK ULAMA AL MATURIDIAH LAGI)….DAN MEREKA SEMUA INI TERMASUK ULAMA SALAFUSSOLEH(SUDAH KITA MAKLUM SEPERTI PARA SAHABAH NABI,IMAM HANAFI,IMAM MALIK,IMAM SYAFIE,IMAM AHMAD HANBAL,IMAM AUZA’I DAN SEMUA ULAMA MUTTAQIN MINASSALAFUSSOLEH)RADHIALLAHU ‘ANHUM adalah tergolong di dalam sabda Rasulullah ” tidak berhimpun umatku di atas kesesatan”….

Dan mereka semua BERAKIDAH adalah seperti yg dinaqalkan oleh Imam Khatib Al Baghdadi al-Imam Abu Mansur Abdul Qahir ibn Tahir al-Baghdadi wafat 429 H dalam kitabnya al-Farq baynal-Firaq(ms 33):

وأجمعوا – أي أهل السنة والجماعة – على أنه – أي الله – لا يحويه مكان ولا يجوي عليه زمان

Maksudnya:

“Dan mereka – iaitu Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah – BERIJMAK bahawa Dia – iaitu Allah – tidak diliputi oleh suatu tempat dan tidak dilalui ke atas-Nya oleh suatu masa”.

Oleh itu, berpeganglah dengan MAJORITI UMAT ISLAM iaitu akidah sebagaimana para ulama SALAFUSSOLEH WAL KHALAFUTTOYYIB di atas….semoga dengan sedikit perkongsian ini mendapat manfaat oleh kita semua insyaallah…..

wallahua’lam

No comments:

Post a Comment