Friday, July 22, 2011

MUJADDID

SOALAN:

Salam. 1.Saya ingin tahu tentang ciri-ciri mujaddid (sumber kitab?) dan siapakah yang menetapkan seseorang itu mujaddid pada sesuatu zaman? 2.Saya diberitahu oleh pelajar Timur Tengah bahawa mujaddid kurun ini adalah Syeikh Badiuz Zaman Said An-Nursi di Turki... betulkah fakta ini?


JAWAPAN:

Memandangkan begitu besar dan hebatnya kebangkitan Islam kali kedua sepertimana yang dijadualkan oleh Tuhan untuk umat akhir zaman, maka kita wajib mencari pemimpin kepada kebangkitan itu. Kalau di masa-masa biasa pun Tuhan meme­rintahkan kepada para hamba-Nya untuk mencari petunjuk dan pemimpin untuk keselamatan hidup manusia di dunia dan Akhirat, lebih-lebih lagilah wajib mencari pemimpin ke­pada kebangkitan yang akan berlaku.

Allah berfirman di dalam Al Quran:

Maksudnya: “Selamatkan dirimu dan keluargamu dari api Neraka.” (Tahrim: 6)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taat­lah kepada Allah dan taatlah ke­pada Rasul dan kepada pemimpin dari kalangan kamu.” (An Nisa: 59)

Allah berfirman lagi:

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, hendak­lah kamu bertaqwa kepada Allah dan hendaklah kamu berserta golongan yang benar (siddiqin).” (At Taubah: 119)

Imam Al Ghazali dalam Ihya Ulumiddin, Jilid 3 menegas­kan tentang pentingnya mencari pemimpin yang memandu kepada Tuhan (mursyid) iaitu:

“Seorang murid memerlukan seorang syeikh yang bo­leh diikutinya, agar syeikh akan menunjukkannya arah jalan yang benar. Sesungguhnya jalan agama itu adalah samar dan jalan-jalan syaitan terlalu banyak dan mudah. Sesiapa yang tidak ada syeikh yang memimpinnya maka syaitanlah yang memim­pinnya. Sesiapa yang berjalan di lembah-lembah yang bahaya tanpa orang menjaga ke­selamatannya sesungguhnya dia telah membahayakan dan membinasakan dirinya. Orang yang ber­sendiri (tanpa syeikh) adalah seperti pokok yang tumbuh sendiri dan mudah mati; jika pokok itu terus hidup ia takkan berbuah. Orang yang mengawasi seorang murid ialah syeikhnya. Maka hendaklah murid itu berpegang teguh terhadap syeikhnya itu.”

Sehubungan dengan kata-kata Imam Ghazali itu, Allah juga ada berfirman:

Maksudnya: “Sesiapa yang disesatkan oleh Allah ma­ka kamu tidak akan dapati padanya seorang pemimpin yang memberi petunjuk padanya.” (Al Kahfi: 17)

Imam Fakhruddin Ar Razi dalam Mafatih al Ghayib ber­kata:

“Dalam Al Fatehah bila disebut: ‘Tunjukkan kami jalan yang lurus’, tidak memadai setakat itu, Allah me­nyam­bung, ‘iaitu jalan orang-orang yang Engkau bagi nikmat ke atas mereka (golongan rasul-rasul, nabi-nabi dan para siddiqin)’. Ertinya seseorang itu memerlukan pe­mimpin yang memandunya ke arah jalan yang benar dan menjauhkannya dari jatuh ke lembah kesalahan dan kesesatan.”

Imam Fakhrurrazi menggunakan kaedah usul fiqhnya di dalam ayat ini iaitu:

“Tidak sempurna yang wajib itu melainkan dengan kewu­judan­nya maka perkara itu juga wajib.”

Di dalam menghuraikan Surah Al Fatehah, Imam Fakhrur­razi mengatakan hukum untuk mendapatkan jalan yang lurus, yakni jalan kebenaran dari Tuhan, adalah wajib. Jalan ke­benaran ini tidak akan sempurna kita kecapi dan miliki me­lainkan dengan sesuatu yang akan sampaikan kita kepada­nya. Ertinya di sini, mendapatkan pemimpin kebenaran itu hukumnya juga adalah wajib agar kita berada di jalan yang lurus dan benar.

Allah berfirman:

Maksudnya: “Bolehkah aku mengikuti tuan su­paya tuan dapat mengajarkan aku ilmu yang benar dari ilmu-ilmu yang diajarkan-Nya kepada tuan.” (Al Kahfi: 66)

Kata-kata Nabi Musa a.s. kepada Nabi Khidir a.s. di dalam ayat di atas meyakinkan lagi kepada kita tentang pentingnya mencari pemimpin kebenaran walau di taraf mana kita ber­ada. Syeikh Abdul Wahab Asy Syaarani mengulas dengan berkata bahawa Imam Ahmad Hanbal meminta pimpinan Abu Hamzah Al Baghdadi. Imam Ahmad Suraij meminta pimpinan Abu Qasim Al Junaid. Imam Al Ghazali yang kedudukannya adalah Hujjatul Islam juga mencari pimpinan. Syeikh Izzudin Abdul Salam yang digelar sultanul ulama di waktunya juga meminta pimpinan Syeikh Abu Hassan Asy Syazili.

Begitu sekali keadaannya para nabi, para ulama muktabar dan para kekasih Allah mewajibkan diri mereka mencari mur­syid dan pemimpin kebenaran untuk mendapatkan kesela­matan hidup di dunia dan di Akhirat. Masakan kita orang awam akhir zaman yang sudah jauh dari Rasulullah me­rasakan sudah cukup belajar sendiri melalui kitab-kitab dan buku-buku agama? Apakah boleh hijab hati kita dibuka dan selamat menuju Allah tanpa pimpinan mursyid dan pemimpin kebenaran? Tentulah tidak.

Justeru itu kita wajib mencari mursyid, bahkan kita amat beruntung kerana di akhir zaman ini Tuhan utuskan mujaddid yang juga merupakan Putera Bani Tamim, orang kanan Imamul Mahdi. Tentang Putera Bani Tamim, Rasulullah tidak menyebut salasilahnya tetapi banyak memperkatakan ciri-ciri kepimpinannya, perjuangan dan pengikutnya. Oleh itu untuk mencari mujaddid akhir zaman ini, kita carilah ciri-ciri dan stail perjuangannya, bukan salasilahnya.

Antara ciri-ciri mujaddid secara umum ialah:

1. Zahir di awal kurun

Setiap mujaddid mesti zahir dan berperanan di awal kurun iaitu sekitar suku kurun yang awal. Sekiranya ada tokoh-tokoh pejuang Islam yang hebat ciri-ciri dan kepimpinannya, dia tidak dianggap mujaddid jika dia tidak zahir di awal kurun.

Disebutkan dalam sebuah Hadis:

Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengu­tus pada umat ini di setiap awal 100 tahun seorang (mujad­did) yang akan memperbaharui urusan agama mereka.” (Ri­wayat Abu Daud)

2. Dilantik oleh Tuhan

Berdasarkan nas Hadis di atas juga adalah jelas bahawa para mujaddid ditunjuk oleh Tuhan, diutus oleh-Nya untuk umat di setiap awal kurun. Para pemimpin kebenaran dilantik atau ditunjuk oleh Allah sama ada melalui wahyu, Hadis, ilham atau oleh Ahlul Halli wal Aqdi. Rasul-rasul ditunjuk oleh wahyu. Khulafaur Rasyidin ditun­juk oleh Hadis dan Ahlul Halli wal Aqdi. Para mujaddid ditun­juk oleh Hadis dan ilham. Tholut dan Zulkarnain ditunjuk oleh wahyu. Muhammad Al Fateh ditunjuk oleh Hadis dan ilham. Nabi Isa a.s. ditunjuk oleh Al Quran dan Hadis. Imam Mahdi ditunjuk oleh Hadis dan ilham. Putera Bani Tamim juga ditunjuk oleh Hadis dan ilham.

Kenaikan kepimpinan para mujaddid tiada siapa yang melantik, sekalipun oleh dirinya sendiri atau oleh mana-mana sistem dunia yang ada. Mereka diterima oleh orang di se­kitarnya kerana ibadah, taqwa, akhlak, ilmu, pengorbanan, pimpinan khidmat dan kasih sayang yang diberikan kepada masyarakat. Sekalipun orang yang bukan Islam tidak masuk Islam, tapi mereka senang dengan kepimpinannya. Kepim­pinan mereka diterima oleh hati bukan oleh ‘jari’.

Walaupun dia cuba disingkirkan oleh musuh-musuh hing­ga tinggal seorang diri, manusia akan datang menyerah diri kepadanya untuk dipimpin dan dididik. Mujaddid di setiap kurun tiada tukar ganti. Tidak ada undi tidak percaya kepada­nya dan kepimpinannya tidak disukat-sukat oleh masa.

Kenaikan secara nature ini adalah mirip kenaikan para rasul yang dilantik oleh Tuhan. Tuhan lakukan perlantikan utusan-Nya bagi setiap generasi yang memerlukan petunjuk-Nya.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan bagi setiap generasi ada yang memberi petunjuk.” (Ar Raad: 7)

3. Dia paling bertaqwa di zamannya

Para mujaddid adalah manusia yang paling kenal, paling cinta dan paling takutkan Tuhan di zamannya. Ketaqwaannya yang paling tinggi di zamannya menyebabkan Tuhanlah yang men­jadi misi utama kehidupannya. Dia datang untuk memberi Tuhan kepada hati-hati manusia yang sudah kehilangan Tuhan. Ini kerana punca utama kepada kerosakan dan keza­lim­an yang berlaku di dunia disebabkan manusia telah me­lupakan Tuhan. Kedatangannya umpama kedatangan Rasu­lullah kepada masyarakat Arab jahiliah, memperkenal­kan Allah sebagai Tuhan dan Islam sebagai cara hidup yang selamat dan menyelamatkan. Para mujaddid menyambung tugas Rasulullah dengan mengajak manusia bertaqwa kepada Allah.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah berwasiat (memerintahkan) kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan juga kepada kamu, bertaqwalah kepada Allah.” (An Nisa: 131)

Maksudnya: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah kamu yang paling bertaqwa.” (Al Hujurat: 13)

Maksudnya: “Akan Aku wariskan bumi ini kepada orang-orang yang soleh (bertaqwa).” (Al Anbiya: 105)

4. Mendapat ilmu ilham atau ilmu laduni
Kalaulah kepada para rasul dan nabi Allah beri ilmu melalui wahyu manakala kepada para mujaddid diberi jalan singkat oleh Allah untuk memahami ilmu-ilmu Allah secara ilham atau laduni. Yakni ilmu yang terus Tuhan jatuhkan ke hati yang bertaqwa. Ertinya mereka menimba ilmu secara direct dari Allah dan Rasul, bukan dari hasil pengajian mana-mana sistem pendidikan dunia yang ada. Ilmu ilham ini adalah sumber ilmu bagi manusia yang bertaqwa. Inilah ilmu yang paling unggul kerana ia datang dari saluran Tuhan.

Allah berfirman:

Maksudnya: “Bertaqwalah kamu, Tuhan akan menga­jar kamu.” (Al Baqarah: 282)

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Barang siapa mengamalkan apa yang dia tahu, Allah akan mengajarkan apa yang dia tidak ketahui.”

Ilham itu membawa makna baru tentang tafsiran dan kefahaman mengenai wahyu dan syariat. Setiap mujaddid membawa ilham (minda) tersendiri yang sesuai untuk zaman­nya. Mindanya adalah ilmu yang baru, yang berbeza dari sebelumnya. Namun ia bukan syariat yang baru.

Setiap mujaddid membawa minda yang berbeza. Ini kerana mereka hidup di zaman yang berbeza dan menghadapi permasalahan yang berbeza. Kerosakan di setiap zaman itu tidak sama. Ini menunjukkan wahyu itu dapat ditafsirkan dan dihidupkan dengan berbagai kaedah untuk berbagai zaman kerana ayat-ayat Al Quran itu mempunyai 70 lapis pengertian­nya. Itulah rahmat Allah. Imam Syaarani telah menulis ten­tang hal ini di dalam kitabnya: “Wahyu membawa syariat baru. Ilham membawa pengertian baru.”

Ilmu ilham yang dianugerahkan oleh Allah kepada para mujaddid diberi untuk menyelesaikan keperluan masyarakat umum dan perjuangan semasa. Contohnya Imam Al Ghazali diberi ilham bagaimana untuk menyatukan semula syariat, tasawuf dan aqidah yang sudah terpisah-pisah dan berpecah di zamannya. Imam Abu Hassan Asyaari pula diberi ilham menyusun sifat dua puluh dalam usaha menyelamatkan aqidah umat yang telah tergugat oleh fahaman-fahaman fal­safah yang rosak.

Minda para mujaddid mampu menyelesaikan segala per­masalahan yang terjadi di kurun itu. Ilmunya sangat global dan tepat melalui kaedah tajdid yang sangat praktikal se­hingga mampu mematahkan segala falsafah dan ideologi karut dan rosak di waktu itu. Misalnya bagaimana memecah­kan masalah sosial, bagaimana menyelesaikan krisis ke­pim­pinan, krisis ekonomi dan sebagainya.
Barangkali kerana pembawaan yang terbaru dan berbeza dengan yang lama inilah maka para mujaddid ditentang oleh ulama-ulama sezaman yang masih terikat dengan pandangan lama.

5. Memiliki karamah

Kalau para rasul dan nabi dikurniakan mukjizat oleh Allah untuk memperlihatkan kebenaran Allah kepada setiap per­juangan kebenaran maka kepada para mujaddid Tuhan beri­kan karamah.

Karamah adalah kejadian luar biasa yang berlaku pada diri wali-wali Allah dan para mujaddid. Karamah juga dapat dikategorikan kepada dua jenis:

1. Karamah lahir atau karamah hissi seperti boleh terbang, boleh berjalan atas air, usap daun bertukar jadi duit, tidak merasa panas dibakar dan sebagainya.
2. Karamah maknawi seperti diberi istiqamah dalam ber­amal, diberi kesabaran untuk mendidik dan berjuang, di­beri ilmu-ilmu yang mampu mengubah hati manusia kembali kepada Tuhan, diberi ilmu-ilmu strategi per­juangan dan sebagainya.

Wali yang berwatak nabi biasanya Allah beri banyak ka­ramah lahiriah untuk meningkatkan lagi wibawanya di tengah masyarakat kerana mereka biasanya tidak berjuang dan tidak membangunkan jemaah. Sedangkan wali yang berwatak rasul dan para mujaddid yang mendidik manusia lain, Allah beri karamah maknawiyah untuk memudahkan mereka mendidik dan membawa masyarakat kepada Allah.

Dalam sebuah Hadis Qudsi Allah berfirman:

Maksudnya: “Dan hamba-Ku yang sentiasa taqarub kepada-Ku dengan nawafil (ibadah sunat) sehingga Aku mencintai-Nya maka jadilah Aku seolah-olah sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan se­bagai kakinya yang ia bertindak dengannya. Dan andai­kata ia memohon pasti akan Aku beri padanya. Dan andai­kata ia berlindung kepada-Ku, pasti Aku lindungi.” (Ri­wayat Bukhari)

Hadis ini selari dengan ayat Al Quran:

Maksudnya: “Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu dari kalangan nabi-nabi, para siddiqin, syuhada dan solehin, dan me­reka itulah teman yang sebaik-baiknya.” (An Nisa: 69)

6. Membangun toifah atau jemaah

Kepimpinan para mujaddid membina toifah-toifah setiap za­man dan setiap kurun dengan tujuan menjaga bara api Islam agar tidak padam. Inilah mafhum Hadis Rasulullah yang bermaksud:

“Akan berlaku di akhir zaman orang yang memperta­han­kan agamanya seperti menggenggam bara api.” (Riwayat Tirmizi)

Dalam Al Quran dan Hadis, Allah SWT dan Rasul-Nya dengan jelas dan tegas memerintahkan umatnya mengikut jemaah para pemimpin kebenaran. Ini terdapat dalam ayat yang berbunyi:

Maksudnya: “Sesungguhnya pemimpin kamu hanya­lah Allah dan Rasul-Nya dan orang mukmin, iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan menge­luarkan zakat dan mereka adalah orang-orang yang rukuk (tunduk dan patuh pada perintah Allah). Barang siapa yang memilih Allah, Rasul dan orang mukmin (sebagai pemimpin) maka sesungguhnya itulah Parti Allah. Merekalah yang akan berjaya.” (Al Maidah: 55-56)

Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Wajib ke atas kamu berjemaah, sesung­guh­nya tangan (bantuan) Allah adalah bersama jemaah.”

Di dalam toifah atau jemaah kebenaran, mujaddid adalah guru, ayah, pemimpin dan sahabat seperjuangan. Peribadi dan sikap serta akhlak mujaddid adalah cermin tempat pengi­kut melihat dirinya dan contoh ikutan untuk mereka mem­baiki diri.

Sebagaimana Sahabat-Sahabat memberi cinta kepada Ra­sulullah, demikian pengikut toifah mencintai para mujad­did. Luar biasanya pengikut para mujaddid walaupun bi­langan mereka sedikit tetapi sangat taat setia kepada pemim­pin dan hidup berkasih sayang di kalangan mereka umpama keluarga dari satu ayah dan ibu.

7. Menzahirkan kebenaran, bukan sekadar memperkata­kannya

Toifah-toifah pimpinan para mujaddid dapat melahirkan kebenaran Islam dalam seluruh aspek kehidupan manusia dan membangunkan kesyumulan Islam dalam jemaahnya sehingga kebenaran yang dizahirkan itu menjadi role model beragama Islam sebagai cara hidup.
Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Akan sentiasa ada toifah di kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, mereka tidak akan dirosakkan oleh penentang mereka hinggalah da­tang­nya ketentuan Allah (Kiamat).” (Riwayat Muslim)

Mujaddid zahir di waktu agama sudah rosak. Dia datang membawa sistem Tuhan dengan kaedah baru, gaya baru yang sangat cantik dan indah hingga mampu menolak semua sistem lama yang rosak dan merosakkan manusia. Toifahnya tidak bersandar pada musuh dalam sebarang sistem hidup. Bahkan sistem yang dibangunkannya bukan saja mampu menaungi pengikutnya tetapi mampu menjadi tempat bersandar ma­syarakat umum sekalipun orang bukan Islam.

8. Perjuangannya tidak dapat dihalang atau dirosakkan oleh musuh

Kepimpinan para mujaddid mempunyai pengaruh yang besar kepada masyarakat dan disegani oleh pemerintah di zaman­nya. Kerana itulah para mujaddid juga mendapat tentangan hebat oleh musuh-musuh Islam dan juga para penentang di kalangan pemerintah dan ulama suk.

Walaubagaimana dahsyatnya kebencian dan tekanan musuh; sekalipun di medan perang; namun perjuangan kebe­naran yang dibawa oleh mujaddid tidak dapat dirosakkan. Mereka tetap akan dibantu Tuhan kecuali jika ada di antara pengikutnya yang tidak mengikut disiplin, contohnya seperti­mana yang berlaku dalam pepe­rangan Uhud.

Jemaah kebenaran tidak akan dapat dirosakkan sama ada dalam peperangan senjata mahupun peperangan dingin. Mungkin boleh dicacatkan fizikalnya tetapi aqidah dan sya­riat­nya tidak dapat dirosakkan. Lebih-lebih lagi jemaah itu tidak dapat dibubar atau diharamkan. Tidak juga dapat dipecahbelahkan oleh musuh-musuh dalam selimut. Musuh tidak dapat menipu dan mempermain-mainkannya. Ini kerana jemaah itu mempunyai benteng yang cukup kuat dan kukuh. Kekuatan toifah ini adalah kekuatan dalaman bukan luaran. Kalau di luar dapat dicacatkan tapi di dalam tidak dapat di­cacatkan. Yang di dalam itu ialah iman dan keyakinan. Bahkan musuhlah yang akan kucar-kacir dan tertipu selalu. Akhirnya musuhnya tewas dan jatuh. Jemaah kebenaranlah yang menang.

Firman Allah:

Maksudnya: “Dan jika mereka bermaksud hendak me­nipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatkanmu dengan pertolongan‑Nya, dan dengan para mukmin dan (Dia ) yang mempersatukan hati-hati mereka (orang yang ber­iman).” (Al Anfal: 62)

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Akan sentiasa ada toifah di kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, mereka tidak akan dirosakkan oleh penentang mereka hinggalah da­tang­nya ketentuan Allah (Kiamat).” (Riwayat Muslim)

9. Mujaddid adalah tafsiran Al Quran dan Sunnah ber­gerak di zamannya

Para mujaddid yang juga ulama arifbillah yang diutus setiap 100 tahun, peribadinya adalah salinan kepada peribadi Rasu­lullah SAW. Mereka mewarisi peribadi dan perjuangan para rasul dan nabi.

Sabda Nabi SAW:

Maksudnya: “Ulama adalah pewaris para nabi.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan lain-lain)

Al Quran adalah wahyu yang membawa sistem Tuhan. Maka tugas Rasulullah ialah menghidupkan sistem Tuhan dalam realiti kehidupan. Akhlak Rasulullah yang diperlihat­kan dalam kehidupan seharian itulah akhlak Al Quran. Ibadah Rasulullah adalah ibadah Al Quran, sistem kehidupan yang Rasulullah bangunkan itulah sistem kehidupan Al Quran.

Maka para mujaddid yang menggantikan tugas Rasul di zaman sudah tiada Rasul, mereka memberi nyawa kepada Al Quran dan Sunnah di zamannya. Ertinya, para mujaddid adalah tafsiran Al Quran dan Sunnah yang bergerak di zaman­nya. Mereka menghidupkan kembali sistem yang terkandung dalam Al Quran dan Sunnah. Oleh kerana para mujaddid di­pantau terus oleh Rasulullah, peribadi, perjuangan dan sis­tem yang dibangunkannya adalah persis, saling tak tumpah sebagaimana yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah memonitor para mujaddid sehingga merekalah manusia yang paling faham akan kehendak Al Quran dan Sunnah serta dianugerahkan kebolehan mentafsir Al Quran dan Sunnah dengan tepat di kurunnya. Sehingga Al Quran itu dihidupkan dalam diri dan perjuangannya. Para mujaddid adalah tafsiran Al Quran dan Sunnah bergerak di kurunnya bukan kerana mampu hafal Quran dan Hadis, tapi kerana isi dan roh Al Quran dihidupkan hingga manusia melihat betapa cantik dan indahnya isi Al Quran. Melihat peribadi dan per­juangan mujaddid ertinya kita melihat isi Al Quran dan Sun­nah diterjemahkan dalam realiti kehidupan.

10. Mendapat ilham dan isyarat-isyarat ghaib dari Allah

Para mujaddid diberi ilham dan isyarat-isyarat ghaib oleh Allah. Seseorang mujaddid sentiasa menerima maklumat dan arahan Rasulullah melalui yaqazah dan mimpi yang benar. Kekuatan ini adalah senjata paling canggih yang musuh Islam seperti Yahudi dan Nasrani tidak mampu mengesan. Para mujaddid menerima panduan dari Rasulullah tentang bagai­mana membangunkan dan membina kekuatan perjuangan mereka dan usaha-usaha musuh-musuh Islam dalam menen­tang perjuangan mereka. Kerana itu mereka selalu berada di depan strategi dan perancangan musuh-musuh.

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Takutilah firasat orang mukmin, kerana mereka melihat dengan nur Allah.” (Riwayat Tirmizi)

11. Mampu mengubah hati-hati manusia

‘Power’ taqwa yang ada pada para mujaddid mampu mengu­bah hati-hati manusia yang sekian lama sudah jauh dari Tuhan, kembali mentaati dan mencintai Allah dan Rasul. Ma­nusia yang selama ini sombong dan angkuh bertukar merasai dirinyalah paling hina dan tidak berguna. Yang selama ini rasa dirinya baik dan pandai, akhirnya merasai dirinya bodoh dan jahat.

Rasulullah SAW mencipta rekod dalam sejarah kepimpinan dunia yakni dalam tempoh hanya 23 tahun kerasulan berjaya mengubah masyarakat Arab jahiliah yang zalim, kasar dan jahat menjadi para Sahabat yang hatinya terlalu lunak dengan Tuhan, cinta Tuhan, takutkan Tuhan dan rindu pada Akhirat.

Para mujaddid mewarisi karamah maknawi ini sehingga mendengar percakapan mereka manusia mudah ikut dan mudah taat. Bahkan melihat wajah para kekasih Allah ini sahaja pun cukup untuk membuatkan manusia mendapat pe­tunjuk. Kemampuan kepimpinan bertaraf tinggi ini hanya diberikan kepada pemimpin kebenaran yang Tuhan janjikan. Sedangkan sejarah kepimpinan dunia yang ada hari ini hanya menjadikan manusia semakin hilang kemanusiaannya dan semakin dahsyat kejahatannya.

Allah berfirman:

Maksudnya: “Allah jadi pembela (pembantu) kepada orang-orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19)

12. Rezekinya dijamin
Bagi para mujaddid, rezekinya dijamin Tuhan. Tuhan anuge­rahkan kepada para kekasih-Nya lebih-lebih lagilah kepada para pemimpin kebenaran rezeki yang mencurah-curah dari sumber yang tidak diduga. Bahkan rezeki yang diperolehinya turut memayungi seluruh jemaah perjuangannya dan masya­rakat sekelilingnya.

Allah berfirman:

Maksudnya: “Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96)

Maksudnya: “Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana datangnya.” (At Talaq: 2-3)

13. Yang sayang terlalu sayang, yang benci terlalu benci

Golongan yang sayang terlalu sayang dan golongan yang benci terlalu benci. Begitulah sunnah perjuangan kebenaran sepertimana yang dilalui oleh para rasul dan nabi-nabi. Hati mujaddid yang sangat kenal dan terlalu mencintai Tuhan, sangat mengajak manusia mencintai Tuhan dan membesarkan Tuhan sehingga Tuhan menjadi modal dan aset utama dalam kehidupan manusia. Hati-hati yang diikat atas nama Allah inilah yang menyebabkan manusia yang sayang kepadanya terlalu sayang kerana Tuhan. Sehingga mereka sanggup mati kerana Tuhan.
Allah berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran: 76)

Dengan itu terjadilah keadaan di mana terdapat satu go­longan yang amat menyanjunginya. Manakala satu golongan lain sangat membenci dan menekannya. Bila ini terjadi, akan terserlahlah kebenaran dan terserlah juga kemungkaran. Senanglah masyarakat menilai dan membuat pilihan.

14. Doanya makbul

Rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang sangat mendalam yang ada pada para pemimpin kebenaran menyebabkan doanya selalu dikabulkan Tuhan. Bahkan hati mereka tidak pernah putus atau lekang dari ingatan dan rintihan kepada Tuhan. Hatinya sentiasa bersama Tuhan di setiap waktu dan ketika, lebih-lebih lagi waktu diuji dan diancam oleh musuh-musuh. Hingga kerana itulah Tuhan tidak mempersia-siakan permintaan mereka. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya menerima ibadah orang-orang yang bertaqwa.” (Al Maidah: 27)

15. Mereka memperjuangkan kasih sayang

Para mujaddid memiliki hati yang sangat menyayangi dan mengasihi manusia terutama kepada para pengikutnya. Dia bukan sahaja menjadi pemimpin bahkan menjadi guru, ayah, ibu dan kawan kepada para pengikutnya. Dia juga mampu mendidik murid dan pengikutnya berkasih sayang antara satu sama lain. Para mujaddid sangat memperjuangkan kasih sa­yang kerana itulah juga yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada­mu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.”
(At Taubah: 128)

Firman-Nya lagi:

Maksudnya: “Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang se­sama mereka.” (Al Fath: 29)

Ikatan ukhwah di antara pengikut para mujaddid ini bagai­kan batu-bata yang tersusun rapi dan rapat. Tidak ada peluang atau susah sekali bagi musuh untuk mencelah. Ramah mesra dan kasih sayang, rasa bersama, bekerjasama dan bertolong bantu di antara mereka terserlah, hasil meniru peribadi pe­mimpinnya. Juga kerana ukhwah dijadikan asas kekuatan jemaah sesudah iman.

Inilah ciri khusus milik orang-orang bertarekat yang mana hati mereka dirangkai-rangkai oleh gurunya, lalu dipegang tali rangkai itu oleh si guru. Tali itu ialah iman dan kasih sayang hasil zikrullah yang tidak dapat dilakukan oleh ulama-ulama dan pemimpin-pemimpin yang lain.

No comments:

Post a Comment